Keamanan dan keselamatan yang dinikmati Singapura sejak sekian lama boleh menyebabkan rakyatnya mengambil sikap sambil lewa terhadap aspek kewaspadaan dan kesiapsiagaan.

Namun, sikap ini dapat membawa padah kepada negara ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Semasa berucap di acara memperingati ulang tahun ke-10 gerakan nasional SGSecure di Our Tampines Hub (OTH) pada 23 September, beliau berkata keselamatan Singapura bergantung pada kepercayaan masyarakat, tahap kesiapsiagaan masyarakat dan tanggungjawab peribadi.

Dilancarkan pada September 2016 oleh Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, SGSecure tertumpu pada usaha mempersiapkan rakyat Singapura menghadapi serangan pengganas serta melengkapkan mereka dengan kemahiran menangani krisis.

Justeru, warga Singapura harus kekal berwaspada, lebih-lebih lagi dengan ancaman seperti radikalisme dalam talian dan keganasan masih berterusan, ujar Encik Wong.

Beliau berkata:

“Hari biasa di Singapura berlalu tanpa ada sebarang peristiwa dramatik – kita memang tidak mahu peristiwa dramatik berlaku.

“Hari biasa di Singapura bermakna kanak-kanak pergi ke sekolah, orang ramai ke tempat kerja, rakan-rakan menikmati hidangan bersama… kita jarang memikirkan perkara ini secara mendalam, dan begitulah cara kita terbiasa dengan keamanan serta keselamatan di Singapura.

“Kita harus menghargai (keamanan dan keselamatan ini), tetapi jangan sesekali kita memandang remeh akan hal itu.”

Beliau hadir di acara itu selaku tetamu terhormat, yang turut dihadiri beberapa anggota Kabinet lain.

Antaranya termasuk Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Pendidikan, Encik David Neo; dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.

Turut hadir ialah Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar, Cik Sim Ann; Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang; dan Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash.

Encik Zaqy dalam catatan Facebook pada 23 September berkata tanggungjawab terhadap keselamatan Singapura tidak terletak pada agensi keselamatan semata-mata, tetapi individu dan masyarakat umum.

“Kekuatan kita terletak pada rakyatnya serta ikatan yang kita kongsi sebagai satu masyarakat. Dengan sentiasa bersiap sedia, saling menjaga antara satu sama lain dan bersatu padu, kita mampu membina Singapura lebih selamat dan berdaya tahan demi diri serta generasi akan datang,” ujarnya.

Sehubungan itu, Encik Wong menambah bahawa beliau akur dengan beberapa rancangan keganasan yang berjaya dikenal pasti dan dipatahkan pada peringkat awal sepanjang beberapa tahun sebelum ini.

Sungguhpun demikian, beliau berkata wujud kebimbangan sekiranya rancangan keganasan itu lolos daripada pemantauan pihak keselamatan pada masa hadapan, memandangkan “tiada sistem keselamatan yang memberikan jaminan 100 peratus”.

“Inilah sebabnya kita tidak boleh ambil sikap sambil lewa tentang keselamatan di Singapura,” ujarnya.

Beliau menyentuh berkenaan kemajuan yang telah dicapai setakat ini bersama SGSecure, dengan lebih ramai rakyat Singapura kini lebih peka terhadap apa yang perlu dilakukan semasa krisis.

Ini termasuk cara membantu individu dalam kesusahan dan melindungi orang di sekeliling mereka.

Kawasan kejiranan, tempat kerja, sekolah, serta pertubuhan keagamaan dan masyarakat kini lebih bersedia untuk menangani kecemasan, tambah beliau.

“Malah, kita telah membina ikatan kepercayaan yang lebih kukuh dalam kalangan masyarakat kita. Ikatan ini menjadi amat penting sekiranya sesuatu serangan yang didorong oleh unsur perkauman atau agama,” kata Encik Wong.

Beliau memberi contoh bagaimana Respons Meja Bundar Masyarakat GRC Tampines segera menghimpunkan pemimpin agama pada 2024 untuk menolak ideologi pelampau dalam masyarakat.

Ini menyusuli penahanan seorang remaja Singapura berusia 17 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2024, setelah belia itu merancang untuk melakukan serangan di kawasan kejiranan berhampiran Kelab Masyarakat Tampines West.

Encik Wong berkata:

“Mereka (pemimpin agama dan anggota masyarakat) bersatu dan menyampaikan mesej yang jelas – ideologi pelampau ganas seumpama itu tidak mewakili mana-mana komuniti kita, dan ia tidak akan memecahbelahkan kita. Itulah daya tahan yang kita perlukan.”

Sebagai sebahagian daripada acara memperingati ulang tahun SGSecure ke-10, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam 23 September menyatakan sebuah pameran turut diadakan di OTH dari 23 hingga 27 September.

Menurut MHA, pameran itu meraikan dan memberi peringatan berkenaan keperluan melindungi kehidupan dan keamanan Singapura dalam kalangan warga.