Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat bas tutup mendadak: Dua sekolah lantik operator baru

Dec 14, 2024 | 3:55 PM
Sekolah Awam Pei Chun berkata ia dimaklumkan lebih awal bahawa Yeap Transport akan hentikan perkhidmatan bas pada 4 November. Menurut laman web sekolah itu, Transland kini merupakan penyedia perkhidmatan bas sekolahnya.
Sekolah Awam Pei Chun berkata ia dimaklumkan lebih awal bahawa Yeap Transport akan hentikan perkhidmatan bas pada 4 November. Menurut laman web sekolah itu, Transland kini merupakan penyedia perkhidmatan bas sekolahnya. - Foto ST

Beberapa pekerja dan sekolah hadapi masalah selepas kematian pengasas dan ketua eksekutif Yeap Transport, yang menyebabkan syarikat itu ditutup.

Sekolah Awam Pei Chun dan Sekolah Rendah Cedar telah melantik pengendali bas baru untuk tahun persekolahan 2025 selepas kontraktor terdahulu mereka, Yeap Transport, ditutup secara mengejut pada awal November.

Pekerja dari syarikat itu juga terjejas dengan penutupan itu, dengan beberapa pekerja memfailkan laporan kepada pihak berkuasa bahawa gaji mereka belum dibayar.

Kematian pengasas dan ketua eksekutifnya Encik Adrian Yeap pada 29 Oktober diumumkan oleh syarikat itu dalam catatan media sosial dua hari kemudian pada 31 Oktober.

Syarikat itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai punca kematiannya.

Menjawab pertanyaan, Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) berkata ia dimaklumkan pada 30 Oktober bahawa beberapa pekerja Yeap Transport telah memfailkan aduan mengenai tidak dibayar gaji, lapor The Straits Times.

Pada 11 November, kesatuan itu bertemu dengan ahli kesatuan yang terjejas akibat penutupan mengejut itu.

Memandangkan Yeap Transport tidak mempunyai kesatuan sekerja, tidak semua pekerjanya diwakili secara rasmi oleh NTWU.

Kira-kira 30 pekerja menyertai sesi dengan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), di mana mereka diberi taklimat tentang pemadanan kerja dan sokongan latihan yang boleh mereka gunakan.

NTWU turut membantu ahli yang terjejas dengan proses tuntutan gaji, kata kesatuan itu.

NTWU difahamkan bahawa beberapa pekerja yang terjejas akibat penutupan itu telah pun mendapat pekerjaan dalam sektor yang sama, tambahnya.

Ia berkata:

“Walaupun Yeap Transport adalah syarikat bukan kesatuan, penahanan gaji disebabkan pekerja tidak boleh diterima.”

Menjawab pertanyaan, Sekolah Awam Pei Chun berkata ia dimaklumkan lebih awal bahawa Yeap Transport akan menghentikan perkhidmatan bas pada 4 November.

Menjelang 3 November, pihak sekolah telah mendapatkan pengendali bas alternatif untuk dua minggu terakhir tahun persekolahan, dan telah memaklumkan kepada ibu bapa mengenai aturan itu, katanya.

Ia menambah bahawa ibu bapa tidak perlu keluar bayaran tambahan bagi aturan pengangkutan alternatif.

Menurut laman web sekolah, Transland kini merupakan penyedia perkhidmatan bas sekolahnya.

Pengetua Sekolah Rendah Cedar, Encik Chua Choon Hock berkata berikutan tamatnya perkhidmatan bas sekolah Yeap Transport, sekolah di Upper Serangoon itu juga membuat aturan bagi memastikan pelajar terus mendapat akses kepada perkhidmatan bas sekolah sepanjang tempoh tersebut.

Ibu bapa juga tidak perlu keluar bayaran tambahan untuk perkhidmatan ini.

Laman web Cedar Primary menyenaraikan pengendali bas SFX Transport untuk perkhidmatan bas yang digunakan.

Beberapa sekolah antarabangsa, termasuk Dover Court sebuah sekolah British di Dover Road turut terjejas.

Encik Edmund Lee, pengarah Perkhidmatan Pengangkutan EML, berkata syarikatnya menyediakan perkhidmatan bas ke sekolah itu sebagai sub-kontraktor untuk Yeap Transport.

Sejak Yeap Transport menghentikan operasi pada awal November, syarikatnya terus menyediakan perkhidmatan kepada sekolah itu, termasuk menghantar kira-kira 950 hingga 1,000 pelajar dalam tiga sesi.

Beliau menambah bahawa beliau telah membuat perjanjian dengan pihak sekolah, dan berharap untuk mengambil alih sebagai kontraktor utama tahun depan.

“Saya melangkah masuk untuk meneruskan perkhidmatan ke Dover Court, kerana tidak baik untuk reputasi industri jika syarikat boleh menghentikan perkhidmatan begitu sahaja,” kata Encik Lee yang juga pengerusi Persatuan Pengangkutan Sekolah Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg