Syarikat katering Gourmetz didenda $13,000 atas kesalahan keselamatan makanan selepas murid Sekolah Rendah River Valley mengalami gastroenteritis (radang perut dan usus) akibat memakan makanan yang disediakan syarikat tersebut.

Syarikat itu mengendalikan kantin sekolah tersebut di bawah model baharu penyediaan makanan sekolah menggunakan dapur pusat.

Syarikat itu mengaku bersalah atas tiga tuduhan pada 9 Oktober, manakala tiga lagi diambil kira dalam penjatuhan hukuman.

Agensi Makanan Singapura (SFA) pada 9 Oktober menyatakan pihaknya dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) menerima laporan mengenai kejadian gastroenteritis yang menjejas 45 murid sekolah itu pada Januari lalu.

Seorang murid dimasukkan ke hospital tetapi sudah pulih, menurut agensi itu.

Pada 16 Januari, CDA dan SFA memeriksa pusat operasi Gourmetz di 1 Enterprise Road, berhampiran Jalan Boon Lay, dan menemui beberapa pelanggaran peraturan keselamatan makanan.

Ini termasuk pelapik getah pintu bilik penyejuk daging didapati rosak, yang boleh menjejas suhu bilik dan daging yang disimpan di dalamnya.

Rak dalam bilik penyejuk makanan laut didapati kotor akibat pengumpulan lendir, manakala siling bilik penyejuk sayur-sayuran dipenuhi tompok hitam.

Pendakwa raya SFA memohon denda $13,000 terhadap syarikat itu, dan diluluskan oleh mahkamah.

Wakil syarikat yang hadir di mahkamah pada 9 Oktober pula tidak mengemukakan sebarang rayuan untuk meringankan hukuman.

SFA menyatakan semua pengendali makanan mesti memastikan tempat operasi mereka bersih, diselenggara dengan baik dan mematuhi syarat keselamatan makanan.

Agensi itu menegaskan bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pengendali makanan yang melanggar Akta Penjualan Makanan 1973 dan Peraturan Penjualan Makanan (Perniagaan Makanan Bukan Runcit).

Orang ramai yang mendapati amalan keselamatan makanan kurang memuaskan di tempat penyediaan atau penjualan makanan dinasihatkan supaya mengelak daripada mendapatkan makanan di situ dan melaporkannya kepada SFA melalui borang maklum balas dalam talian.