Pengendali syarikat tilam, katil dan peralatan tempat tidur untuk hotel, Hotel Bed Company, telah diberi amaran oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCS) kerana menggunakan logo dan penarafan ulasan masyarakat dalam talian, Trustpilot, dengan cara mengelirukan pengguna.
Menurut CCS, siasatan dijalankan pada Mac selepas ia menerima aduan mengenai amalan pemasaran mengelirukan oleh penjual tilam di sini dalam satu kenyataan pada 20 November.
Siasatan mendapati Hotel Bed Company, yang membekalkan tilam, katil sofa, cadar dan bantal kepada hotel di Singapura, memaparkan logo di laman web serta platform dalam talian dengan kenyataan seperti ‘Hotelier Standard For Excellence’ (Piawaian Pemilik Hotel untuk Kecemerlangan) dan ‘Hospitality Standards’ (Piawaian Layanan Tamu), lapor The Straits Times (ST).
CCS berkata kenyataan tersebut memberikan tanggapan ia adalah piawaian rasmi industri, walaupun sebenarnya tiada piawaian seperti itu wujud.
Syarikat itu turut memaparkan penilaian 4 setengah bintang Trustpilot.
Trustpilot ialah platform ulasan dalam talian yang membolehkan pengguna berkongsi penilaian terhadap perniagaan.
Namun, CCS mendapati Hotel Bed Company tidak mempunyai akaun Trustpilot yang aktif, dan penarafan tersebut pula berdasarkan ulasan yang kebanyakannya ditulis oleh pihak syarikat sendiri.
Logo dan penarafan berkenaan dicipta dan mula digunakan oleh bekas pemilik, H&S, yang juga memaparkan penarafan daripada akaun Trustpilot yang tidak aktif.
Pada Januari, H&S menjual jenama itu kepada pemilik baru, Adcasa.
Bagaimanapun, Adcasa tidak menyemak ketepatan maklumat tersebut selepas mengambil alih dan meneruskan penggunaannya.
Sehubungan itu, CCS mengeluarkan dua amaran, iaitu satu kepada H&S kerana memulakan perbuatan berkenaan, dan satu lagi kepada Adcasa kerana meneruskannya.
Adcasa telah bersetuju untuk memadam logo yang mengelirukan itu dan penarafan Trustpilot tersebut.
CCS berkata kes ini menimbulkan kebimbangan lebih luas mengenai amalan pemasaran bagi produk tilam di Singapura, terutama dakwaan seperti ‘gred layanan tamu’, ‘gred hotel’ atau ‘gred ortopedik’ yang boleh memberi pengguna salah tanggapan produk itu memenuhi piawaian rasmi tertentu.
Pengguna digalakkan untuk menilai dakwaan pemasaran dengan lebih teliti serta meminta perniagaan memberikan maklumat terperinci, seperti piawaian khusus yang dipenuhi produk, dokumen sokongan dan waranti.
Mereka juga disaran membandingkan harga antara peruncit, mencuba produk di kedai jika boleh, dan meneliti dasar jaminan serta pemulangan.
Ketua Eksekutif CCS, Encik Alvin Koh, berkata pihaknya baru-baru ini mengeluarkan panduan mengenai tuntutan berkaitan mutu bagi membantu pengguna mengenal pasti dakwaan palsu dan mengelakkan pembelian yang tidak menepati keperluan mereka.
Hotel Bed Company tidak memberikan maklum balas ketika dihubungi ST.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg