Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syukuri kepimpinan baik S’pura

Pemimpin bijaksana, amanah, berwawasan lebih ‘berharga’ berbanding sumber asli
Oct 6, 2024 | 5:30 AM
Pertubuhan Melayu/Islam baru-baru ini menganjurkan satu Majlis Makan Malam Penghargaan buat Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (gambar).
Pertubuhan Melayu/Islam baru-baru ini menganjurkan satu Majlis Makan Malam Penghargaan buat Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (gambar). - Foto ZAOBAO

Tersenyum saya tatkala mendengar jawapan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, apabila ditanya tentang satu perkara yang tidak disukainya mengenai Singapura.

“Jangan mulakan dengan pemikiran (soalan) tentang apa yang anda tidak suka mengenai tempat ini. Ini adalah negara kita. Tuhan memberikannya kepada kita dan memutuskan untuk memberi kita tanah ini, sejarah dan penduduknya dan itulah yang kita ada dan apa yang kita boleh lakukan daripadanya.

“Kita boleh menyukainya atau tidak. Kita boleh mengatakan saya berharap kita diberi lebih banyak. Kita harap mempunyai minyak di dalam tanah, malah berlian lebih baik. Tetapi kita tidak diberikan itu, (tapi) kita diberi akal dan saya rasa kita harus bersyukur untuk itu. Jadi saya fikir itu adalah pemikiran yang lebih produktif untuk melihat dunia dan memikirkan tentang Singapura,” jawabnya.

Pendek kata, beliau menjelaskan, walaupun Singapura tidak sesempurna yang dimahukan sesetengah pihak, wajar kita bersyukur dengan apa yang ada di negara ini, malah harus kita berusaha menjadikan negara ini lebih baik.

Jawapan Encik Lee mencerminkan mutu kepimpinan yang ada di Singapura dengan beliau sebelum ini menerajui kepimpinan negara selama 20 tahun, sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Encik Lawrence Wong, pemimpin generasi keempat (4G) pada 15 Mei lalu.

Walaupun negara ini tidak dianugerahkan dengan sumber asli seperti minyak atau berlian, Singapura masih bertuah kerana mempunyai sumber penting – penduduk yang umumnya bukan sahaja berilmu, bahkan mahu berusaha gigih demi kemakmuran diri sendiri dan negara.

Malah, Singapura turut bertuah kerana dianugerahi kepimpinan bermutu tinggi sejak dulu lagi, dimulai dengan Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew; Perdana Menteri kedua, Encik Goh Chok Tong; disusuli Encik Lee Hsien Loong; dan kini Encik Wong. Malah, Singapura juga mempunyai pemimpin politik pembangkang yang semakin bermutu.

Menyentuh tentang kepimpinan Encik Lee dalam satu majlis penghargaan kepadanya anjuran pertubuhan Melayu/Islam (MMO) baru-baru ini, beberapa pemimpin pertubuhan itu menyatakan bahawa Encik Lee telah berjaya mengemudi Singapura dengan baik sepanjang dua dekad sebagai perdana menteri.

Ini termasuk, antara lain, dalam mengharungi masa mencabar seperti pandemik Covid-19, menangani isu sensitif negara seperti perlindungan takrif perkahwinan selain penglibatan mendalam dan berterusan beliau bersama masyarakat Melayu/Islam.

Pemimpin masyarakat juga menekankan bahawa Encik Lee telah menunjukkan komitmen mendalam untuk menyokong dan meningkatkan prestasi masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Mereka turut berkongsi bahawa kepimpinannya telah memupuk keharmonian, kemakmuran dan perpaduan sosial – meninggalkan kesan ketara dalam usaha membangunkan Singapura yang berbilang bangsa dan agama.

Dalam satu majlis berasingan anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) pula, pengerusinya, Encik Lim Ming Yan, berkata Encik Lee telah secara tekal memperjuangkan dasar properniagaan yang telah membantu negara ini mengharungi kekusutan ekonomi termasuk krisis kewangan sejagat dan cabaran yang dibawa pandemik Covid-19.

“Di bawah kepimpinannya, Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) per kapita telah meningkat kira-kira tiga kali ganda, dengan peningkatan enam kali ganda dalam jumlah perusahaan.

“Rakyat Singapura telah meraih manfaat daripada pekerjaan baik dan gaji lebih tinggi, dengan pendapatan median meningkat dua kali ganda sepanjang dua dekad lalu,” ujar Encik Lim.

Rumusannya, selama dua dekad Encik Lee telah berjaya menerajui Singapura dalam membangunkan kemakmuran dan kemajuan negara ini.

Singapura, walaupun menghadapi keterbatasan tanah dan sumber asli, masih ‘bernasib baik’ kerana mempunyai kepimpinan bermutu.

Mentelah, negara ini bertuah kerana wujud budaya kuat dari segi membangunkan rakyat yang bermutu di samping membangunkan barisan pelapis kepimpinan negara yang baik dari satu generasi ke generasi selanjutnya.

Kini tugas utama Encik Lee telah beralih kepada Encik Wong, walaupun pengalaman, kebijaksanaan Encik Lee dalam pengurusan negara masih amat berharga kepada kumpulan kepimpinan 4G.

Semoga Singapura terus dianugerahkan dengan golongan pemimpin yang bijaksana, amanah, bertanggungjawab dan tulus berkhidmat demi negara dan rakyat.

Ciri-ciri ini boleh dilihat sebagai amat ‘berharga’ kepada negara ini berbanding sumber asli seperti minyak dan berlian, dan telah kita saksikan sebilangan negara yang walaupun mempunyai sumber tersebut, keadaan ekonomi dan sosial mereka masih tidak menentu.

Bagi saya, jawapan tentang apa pula yang saya sukai tentang Singapura adalah adanya golongan pemimpin Singapura yang amanah, bertanggungjawab dan berwawasan dalam menerajui negara ini untuk terus mencapai kemajuan dan kemakmuran yang sekali gus memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg