Topik diikuti
Pergi ke BHkuTadbir urus baik, meritokrasi terus jadi pegangan bagi syarikat S’pura berjaya di luar negara
Tadbir urus baik, meritokrasi terus jadi pegangan bagi syarikat S’pura berjaya di luar negara
Tadbir urus baik, meritokrasi terus jadi pegangan bagi syarikat S’pura berjaya di luar negara
Dalam mengembangkan perniagaan di luar Singapura, perkara utama yang penting bagi perniagaan tersebut adalah untuk menyesuaikan diri dengan budaya dan cara kerja dijalankan di negara lain.
Namun, bagi pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kowabunga! Global, Encik Muhammad Taufiq Yahya, apa yang turut dititikberatkan dan tidak pernah dilupakan adalah tadbir urus yang baik dan meritokrasi – dua unsur yang telah lama menjadi pegangan Singapura dan meletakkan negara ini di persada dunia.
Itulah prinsip yang ditekankan Encik Taufiq, 43 tahun, dalam menjalankan perniagaan, dengan syarikatnya kini telah menebarkan sayap ke empat negara termasuk Malaysia, Indonesia, Kemboja, dan baru-baru ini, Thailand.
Diasaskan pada 2007, syarikat keusahawanan sosial itu menyediakan khidmat perundingan, khususnya program dan pendidikan dalam isu kemampanan serta impaknya terhadap masyarakat.
Ia kemudian mula meluaskan cabang ke negara lain pada 2020, bermula dengan Malaysia menyusuli pembukaan pejabat penjualan di Kuala Lumpur.
Encik Taufiq merupakan antara tiga rakyat Singapura yang disebut Presiden Tharman Shanmugaratnam semasa majlis jamuan bagi warga Singapura yang menetap di Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Singapura, Kuala Lumpur, pada 13 Julai.
Sekitar 150 individu hadir di majlis itu, yang diadakan sempena lawatan negara pertama Tuan Presiden ke Malaysia dari 12 hingga 15 Julai.
Ditemui Berita Harian (BH), bapa enam orang anak itu berkongsi bahawa meski setiap negara mempunyai pendekatan atau cara berbeza dalam melakukan sesuatu, adalah penting untuk terus mengekalkan prinsip seperti meritokrasi yang sudah sebati dalam dirinya sebagai rakyat Singapura.
“Sebagai warga Singapura, saya terapkan apa yang saya pelajari di Singapura dari segi tadbir usus baik, kerja keras dan meritokrasi.
“Itulah asas yang kami pelajari daripada sistem pendidikan (di Singapura) dan kami bawa dalam perniagaan bukan sahaja di Malaysia, tetapi di negara yang kami beroperasi,” kata beliau.
Dalam ucapannya di majlis itu, Tuan Presiden berkata warga Singapura yang menetap di Malaysia memainkan peranan penting dalam mengekalkan kemesraan hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia.
Encik Taufiq berkata syarikat Singapura yang mahu menembusi pasaran luar negara tidak seharusnya mengabaikan aspek tersebut, memandangkan ia secara tidak langsung mampu “memberi kesan positif di luar Singapura”.
Mengimbau pengalamannya mula bertapak di Malaysia pada 2020, beliau mengakui bahawa walaupun kedua-dua negara itu berkongsi budaya dan sejarah yang serupa, beliau tetap berdepan cabaran ekoran perbezaan ketara dari segi dasar dan cara urus niaga.
“Satu perkara yang saya dapati sama di sini (Malaysia) adalah penekanan tinggi yang diberikan terhadap pendidikan... Tetapi apa yang berbeza adalah dari segi pelaksanaan – wujud dasar atau rancangan bagaimana untuk terapkan pendidikan, tetapi pelaksanaannya (dasar atau rancangan) berbeza dari Singapura.
“Di Malaysia, kebanyakan sekolah dibiayai sendiri ataupun disokong pihak swasta. Jadi kami sebenarnya perlu mendapatkan sokongan daripada badan korporat, daripada yayasan (dan sebagainya) untuk benar-benar menjalankan program kami,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, Kowabunga! Global mempunyai sekitar 1,500 pelajar – dari peringkat usia prasekolah, tadika hingga remaja – di sekolah-sekolah merentasi lima negara.
Sepanjang tiga tahun lalu, syarikat itu telah memperolehi empat sekolah, di samping menjalankan program persekolahan dan latihan bagi guru.
Dengan hampir dua dekad penglibatan dalam arena pendidikan, beliau menyifatkan syarikatnya kini bertindak sebagai “pendaya keupayaan bagi sekolah-sekolah”.
“Terdapat ramai pendidik yang bersemangat di seluruh rantau ini yang menubuhkan sekolah atau pusat mereka sendiri.
“Namun, mereka tidak dapat menjalankan tadbir urus secara profesional. Di situlah kami ingin bantu untuk benar-benar meningkatkan tahap pendidikan di rantau ini.
“Kami ingin mewujudkan ekosistem di mana para guru bukan sahaja menjalankan tugas dengan baik, tetapi sekolah tersebut dikelola dengan baik,” kata beliau.
