Topik diikuti
Pergi ke BHkuTahap keandalan MRT kekal lepasi sasaran S’pura, walau merosot sedikit pada Okt
Dua daripada lima laluan rel lama catat prestasi lebih rendah
Tahap keandalan MRT kekal lepasi sasaran S’pura, walau merosot sedikit pada Okt
Tahap keandalan rangkaian MRT pada Oktober kekal jauh melepasi sasaran Singapura, walaupun terdapat sedikit penurunan keseluruhan apabila dua daripada lima laluan rel lama merekodkan prestasi lebih rendah.
Antara November 2025 dengan Oktober 2026, tren MRT mencatat purata 3.14 juta kilometer-tren (km-tren) antara gangguan melebihi lima minit.
Demikian menurut satu laporan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 19 November.
Angka itu menurun daripada rekod tertinggi 3.38 juta km-tren antara gangguan melebihi lima minit dalam laporan bulanan sebelumnya.
Namun, pencapaian terkini itu masih melebihi sasaran Singapura, iaitu sejuta km-tren bagi keseluruhan rangkaian MRT, berdasarkan purata jarak mengikut kilometer antara kerosakan (MKBF).
MKBF ialah ukuran kejuruteraan yang digunakan secara meluas bagi keandalan rel, menunjukkan jarak perjalanan tren sebelum berlaku kelewatan melebihi lima minit.
Semakin tinggi angka MKBF, semakin tinggi keandalan rel. Angka LTA berdasarkan purata bergerak 12 bulan.
Ini kali kedua MKBF rangkaian MRT melepasi tiga juta km-tren dan bulan ketujuh berturut-turut MKBF melebihi dua juta km-tren.
Dua laluan yang mencatat sedikit kemerosotan dalam keandalan ialah Laluan Circle (CCL) kendalian SMRT dan Laluan Downtown (DTL) kendalian SBS Transit.
MKBF bagi CCL merosot daripada 2.57 juta km-tren kepada 1.97 juta km-tren, manakala DTL susut daripada 4.19 juta km-tren kepada 4.18 juta km-tren.
Laluan Timur-Barat (EWL) kendalian SMRT kekal pada 3.36 juta km-tren.
Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Timur Laut (NEL) mencatat peningkatan kecil.
NSL kendalian SMRT meningkat daripada 2.48 juta km-tren kepada 2.49 juta km-tren.
NEL kendalian SBS Transit pula kekal paling andal, meningkat daripada 4.5 juta m-tren kepada 4.51 juta km-tren.
Kelima-lima laluan itu tidak mengalami sebarang gangguan besar yang melebihi 30 minit sepanjang Oktober.
Ketepatan masa tren dan peratusan khidmat yang mengikut jadual turut meningkat.
Ketepatan masa keseluruhan tren meningkat daripada 99.36 peratus kepada 99.63 peratus, kecuali EWL yang merosot daripada 99.9 peratus kepada 99.65 peratus, manakala CCL kekal dalam prestasinya.
Perkhidmatan EWL mengikut jadual pula menurun daripada 99.96 peratus kepada 99.95 peratus, sementara laluan lain meningkat.
Secara keseluruhan, 99.96 peratus perkhidmatan beroperasi mengikut jadual pada Oktober, berbanding 99.84 peratus bulan sebelumnya, tambah laporan itu.
Laluan Thomson-East Coast (TEL) dikecualikan daripada angka keseluruhan kerana masih pada peringkat awal operasi.
Pada Oktober, tahap keandalan TEL merosot kepada 439,000 km-tren daripada 498,000 pada bulan sebelumnya.
Namun, laluan itu tidak mengalami sebarang gangguan yang melebihi 30 minit.
LTA menjangkakan prestasi TEL akan meningkat selepas beroperasi sepenuhnya. Stesen Bedok South dan Sungei Bedok bakal dibuka pada 26 Disember.
Tahap keandalan rangkaian LRT pula meningkat pada Oktober, dengan purata jarak perjalanan antara gangguan naik daripada 622,000 kepada 813,000 km-gerabak.
LRT Sengkang-Punggol meningkat daripada 776,000 kepada 911,000 km-gerabak.
LRT Bukit Panjang pula meningkat daripada 443,000 km-gerabak kepada 667,000 km-gerabak, yang kata LTA merupakan rekod tertinggi laluan itu.
LTA mengaitkannya dengan kerja pembaharuan yang hampir selesai.