Tangkapan berkaitan dadah di pusat pemeriksaan Singapura meningkat pada 2025 berbanding tahun sebelumnya (2024).

Bahkan, jumlah tangkapan berkaitan dadah di pusat pemeriksaan Singapura meningkat sebanyak 53 peratus – daripada 635 kes pada 2024 kepada 975 kes pada 2025.

Kesalahan yang dikesan merangkumi pengimportan, pemilikan dan pengambilan dadah.

Demikian menurut kenyataan bersama Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) serta Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 29 September.

Secara keseluruhan, sebanyak 1,417 operasi bersama agensi Home Team dijalankan pada 2025, meningkat sekitar 34 peratus berbanding 1,053 pada 2024.

Menurut dua agensi itu, peningkatan tangkapan mencerminkan ancaman dadah yang terus berterusan di sempadan Singapura, selain usaha pengesanan dan penguatkuasaan yang dipertingkat.

Dalam kebanyakan kes, dadah dikesan disembunyikan dalam barangan peribadi atau ruang tertentu dalam kenderaan.

“Penyeludup dadah terus mengubah taktik dan meneroka kaedah baharu untuk mengelak daripada dikesan di sempadan Singapura.

“Bagi menangani ancaman yang sentiasa berubah, ICA dan CNB terus memperkukuh keselamatan sempadan menerusi penilaian risiko dan penyasaran lebih awal, peningkatan keupayaan pegawai, penggunaan teknologi serta kerjasama erat antara agensi.

“Usaha ini membolehkan cubaan penyeludupan dadah di pusat pemeriksaan dikesan dan ditangani dengan lebih bersasar,” tambah kenyataan itu.

Dalam satu demonstrasi kepada media, individu yang dikenal pasti menerusi pemeriksaan ICA akan dirujuk kepada CNB untuk penilaian dan siasatan lanjut.

Ketua Kumpulan Pencarian dan Pemeriksaan di Komand Woodlands, Inspektor Pusat Pemeriksaan (CI) Muhamed Salmin Mohamed Sadli, berkata usaha pengesanan melibatkan pemprofilan oleh pegawai di lapangan serta penyasaran dipertingkat oleh Pusat Penyasaran Bersepadu.

Pusat itu, yang ditubuhkan bagi menyokong Konsep Pelepasan Baharu ICA yang dilaksanakan pada 2024, menggunakan maklumat dan analisis data untuk mengenal pasti pengembara, kenderaan dan kargo yang berisiko lebih tinggi.

Pelancong dan kenderaan yang tiba kemudian boleh dirujuk untuk pemeriksaan lanjut, sekali gus membolehkan pendekatan yang lebih bersasar.

“Kami juga dilatih untuk mengenal pasti petanda tertentu seperti ‘bahasa’ tubuh pengembara serta tanda-tanda pengubahsuaian pada kenderaan, sebelum merujuk mereka untuk pemeriksaan lanjut,” kata CI Muhamed Salmin, yang telah berkhidmat di ICA selama 12 tahun.

Ini selain bantuan alat teknologi, seperti pengimbas X-ray serta alat Pengesan Kesan Bahan Letupan dan Narkotik (ENTD) bagi mengesan dadah tersembunyi atau kesan dadah.

Pegawai CNB turut dilihat mengendalikan ujian air liur semasa demonstrasi itu.

Kit ujian air liur digunakan pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) bagi menyaring individu yang disyaki mengambil dadah.
Kit ujian air liur digunakan pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) bagi menyaring individu yang disyaki mengambil dadah. - Foto ST

Keseluruhan proses, termasuk pemeriksaan kenderaan dan tubuh badan, mengambil masa kurang 15 minit.

Pegawai Narkotik di Pusat Pemeriksaan Tuas, Staf Sarjan Kanan (SSGT) Muhammad Radi Aziz, 39 tahun, berkata penyeludup menggunakan pelbagai kaedah untuk menyembunyikan dadah bagi mengelak daripada dikesan.

“Ada yang mengubah suai kenderaan dengan mewujudkan ruang tersembunyi, manakala ada pula yang menyembunyikan dadah di bahagian seperti ruang penapis udara pada enjin hadapan kenderaan.

“Bungkusan dadah juga pernah ditemui di bawah tempat duduk pemandu dan penumpang.

“Ada juga penyeludup yang menyembunyikan dadah pada tubuh sendiri ketika melalui pusat pemeriksaan, termasuk di bahagian perut dan paha, serta di dalam pakaian dalam, stoking atau kasut,” katanya.

Barangan harian seperti pakaian, periuk nasi, peket kopi segera dan tin susu tepung juga pernah digunakan untuk menyembunyikan dadah, tambah beliau.

Antara kes yang dikesan ialah seorang lelaki warga Malaysia, 33 tahun, ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands selepas ditemui dengan sebuah termos hitam yang mengandungi bungkusan disyaki dadah terkawal pada Julai 2025.

Dadah yang dirampas daripada seorang lelaki warga Malaysia pada 22 Disember 2025 di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Dadah yang dirampas daripada seorang lelaki warga Malaysia pada 22 Disember 2025 di Pusat Pemeriksaan Woodlands. - Foto CNB

Namun, pemeriksaan lanjut oleh CNB turut menemui satu lagi bungkusan dadah yang disembunyikan pada lelaki itu.

Siasatan susulan membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga Singapura, 52 tahun, di kawasan Bras Basah pada hari yang sama.

Timbalan Pegawai Pemerintah, Divisyen Penguatkuasaan ‘L’ Guo Jingwen, berkata Singapura mengambil pendirian tegas tanpa toleransi terhadap dadah terkawal.

“Kami ingin mengingatkan warga Singapura dan Penduduk Tetap bahawa pengambilan dadah terkawal di luar negara tetap merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang Singapura.

“CNB akan meneruskan usaha penguatkuasaan di pusat pemeriksaan dan di dalam negara.

“Kami menggesa orang ramai supaya menjauhi dadah, tidak kira di mana-mana mereka berada,” tegasnya.