Topic followed successfully
Go to BHkuTapak binaan Pasir Ris guna AI beri amaran awal tekanan haba pekerja
Tapak binaan Pasir Ris guna AI beri amaran awal tekanan haba pekerja
Tapak binaan Pasir Ris guna AI beri amaran awal tekanan haba pekerja
Tapak pembinaan jalan raya utama di Pasir Ris telah mula menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk memberi amaran awal tekanan haba tinggi kepada 400 pekerjanya.
Perisian ini menggabungkan ramalan cuaca dengan data tekanan haba hari sebelumnya dari meter automatik, lalu meramal keadaan haba untuk hari berikutnya.
Ia turut mencadangkan langkah penyejukan bagi pekerja, selaras dengan garis panduan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Semua maklumat ini akan dihantar terus kepada penyelia, secara automatik, melalui WhatsApp.
Jika suhu glob bebuli basah (WBGT) diramal mencecah 33 darjah Celsius pada pukul 2 petang, penyelia akan segera mengingatkan pekerja agar minum air dengan kerap dan berehat 15 minit bagi setiap jam kerja.
Untuk memastikan data sentiasa tepat, ramalan baharu dijana beberapa kali sehari.
Sistem AI ini, yang dimulakan Mac lalu sebagai rintis di Jejambat Loyang, bukan hanya menawarkan amaran awal, tetapi juga meningkatkan kecekapan pemantauan haba.
“Kini, pekerja tidak perlu lagi memeriksa suhu WBGT secara manual setiap jam, seperti yang dituntut oleh MOM,” jelas Encik Lim Eng Boon, Pengarah Projek Hwa Seng Builder.
Firma binaan ini bukan sekadar mematuhi syarat wajib MOM, malah mengambil inisiatif tambahan melindungi pekerja luar daripada bahang cuaca yang kian meningkat.
Inisiatif ini termasuk amaran berkuasakan AI, penyediaan pancuran air sementara, dan ves penyejuk.
Ketika meninjau tapak binaan di Pasir Ris pada 11 Mei, Menteri Negara (Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, memuji sikap proaktif dan progresif Hwa Seng Builder dalam mengutamakan keselamatan pekerjanya.
“Walaupun kes tekanan haba di sini masih terkawal, usaha melindungi kebajikan pekerja tetap kritikal agar kita sentiasa melangkah di hadapan dalam aspek keselamatan,” ujar beliau.
Sejak 2023, MOM telah menetapkan piawaian keselamatan haba yang ketat bagi mengawal selia operasi kerja-kerja di lapangan terbuka.
Sebagai contoh, aoabila bacaan WBGT mencecah paras bahaya 32 darjah Celsius, pekerja yang melakukan kerja fizikal berat diwajibkan berehat sekurang-kurangnya 10 minit setiap jam.
Pekerja juga diingatkan untuk membasahkan tekak secara berkala, dengan saranan pengambilan air sebanyak 300 mililiter bagi setiap sesi rehat pendek tersebut.
Sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, MOM mencatatkan 24 kes berkaitan haba tanpa sebarang kematian.
Menurut jawapan parlimen pada Februari lalu, sebahagian besar kes tersebut melibatkan kerja luar, manakala hampir separuh daripadanya memerlukan rawatan lanjut di hospital.
Meskipun kebanyakan tapak binaan seperti Hwa Seng mematuhi peraturan, Encik Dinesh berkata kementeriannya telah mengambil tindakan terhadap 151 majikan pada 2024 dan 62 majikan pada 2025 kerana melanggar peraturan keselamatan haba.
Memandangkan Singapura kini sedang mengharungi fasa cuaca panas yang terik, pemeriksaan tapak terus dipergiat bagi mengumpul data kepatuhan yang lengkap untuk tahun 2026.
Langkah penguatkuasaan yang diambil termasuklah pengeluaran arahan henti kerja dan kompaun bagi memastikan majikan tidak mengambil mudah akan keselamatan pekerja.
Dalam siri pemeriksaan lalu, beberapa tapak dikesan gagal memasang meter WBGT, satu peralatan yang sangat penting bagi memantau risiko haba secara nyata.
Pemasangan alat pemantau ini merupakan syarat wajib bagi semua tapak binaan berskala besar, limbungan kapal, serta fasiliti pemprosesan dan pengilangan.
Ini kerana WBGT menilai risiko secara menyeluruh dengan mengambil kira suhu, kelembapan, kelajuan angin, serta tahap sinaran matahari pada satu-satu masa.
Sambil menegaskan bahawa penyakit akibat cuaca panas ini mampu dicegah, Encik Dinesh berkata:
“Mungkin terdapat kurang kesedaran mengenai (meter) yang tersedia di pasaran. Mungkin mereka bimbang ia terlalu mahal.
“Dan untuk melaksanakan perkara tertentu seperti menyediakan kawasan berteduh untuk pekerja berehat – ia bukanlah sesuatu yang di luar kemampuan majikan kita. Kami berharap dapat melihat penurunan dalam isu berkaitan haba di tapak binaan kami.”
Encik Lim berkata Hwa Seng Builder memutuskan untuk melaksanakan langkah penyejukan dan keselamatan haba tambahan kerana ia mampu meningkatkan produktiviti pekerja.
“Kos bagi AI tersebut tidaklah tinggi, (hanya) beberapa ribu. Ia bukan soal kos segera, tetapi kos operasi jangka panjang yang dapat kami jimatkan selama bertahun-tahun.”
