Topik diikuti
Pergi ke BHkuTarif elektrik isi rumah turun 10.4% pada suku keempat 2026
Tarif elektrik isi rumah turun 10.4% pada suku keempat 2026
Isi rumah di Singapura akan menikmati penurunan tarif elektrik sebanyak 10.4 peratus dari Oktober hingga Disember, berikutan kos tenaga yang lebih rendah.
Tarif elektrik isi rumah akan ditetapkan pada 28.59 sen setiap kilowatt sejam (kWh), turun daripada 31.91 sen setiap kWh pada suku sebelumnya.
Pengendali grid, SP Group, berkata dalam satu kenyataan pada 30 September bahawa purata bil elektrik bulanan bagi keluarga di flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan turun sebanyak $12.99, sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Secara keseluruhan, tarif elektrik sebelum GST, termasuk tarif untuk premis bukan kediaman, akan turun secara purata sebanyak 10.6 peratus atau 3.32 sen setiap kWh, berbanding suku sebelumnya.
Dalam satu kenyataan berasingan, pembekal gas bandar melalui paip, City Energy, berkata tarif gas bagi isi rumah akan turun sebanyak 8.6 peratus, daripada 23.48 sen setiap kWh pada suku sebelumnya kepada 21.45 sen setiap kWh dari 1 Oktober hingga 31 Disember.
Menurutnya, penurunan itu disebabkan oleh kos bahan api yang lebih rendah berbanding suku sebelumnya.
SP Group dan City Energy menyemak tarif elektrik dan gas setiap suku tahun berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh pengawal selia, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).
Tarif elektrik dan gas boleh berubah setiap suku tahun disebabkan turun naik harga bahan api global yang dipengaruhi oleh faktor geopolitik.
Tarif tersebut sebahagian besarnya ditentukan berdasarkan harga gas dalam tempoh dua bulan setengah pertama pada suku sebelumnya. Oleh itu, perubahan harga bahan api dalam sesuatu suku hanya akan ditetapkan dalam tarif elektrik pada suku berikutnya.
Perunding kanan di Rystad Energy, Encik David Chew, berkata penurunan tarif tersebut selaras dengan jangkaannya dan merupakan “berita baik yang dialu-alukan rakyat Singapura”.
“Julai dan Ogos menyaksikan harga minyak yang jauh lebih rendah berbanding suku sebelumnya dan ini merupakan faktor utama di sebalik penurunan tarif elektrik,” katanya.
Namun, beliau menjangkakan kenaikan tarif dalam lingkungan satu digit pada suku pertama 2027, kerana peningkatan ketegangan di Timur Tengah telah menyebabkan harga minyak meningkat pada pertengahan September.
Rakan kongsi dan ketua bahagian infrastruktur Asia-Pasifik di KPMG, Encik Sharad Somani, pula berkata melainkan terdapat trend penurunan baharu dalam harga minyak dalam beberapa bulan akan datang, penurunan tarif elektrik selanjutnya adalah tidak mungkin.