Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tawaran lebih $10,000 bagi gerai Marine Parade bukan perkara biasa

Harga tender median yang berjaya untuk gerai makanan di semua pusat penjaja ialah sekitar $1,800 pada 2023
Sep 10, 2024 | 3:41 PM
Tawaran $10,158 untuk unit di Pasar dan Pusat Penjaja Marine Parade Central ini baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan setengah pihak mengenai kesan sewa gerai yang tinggi terhadap harga makanan di pusat penjaja.
Tawaran $10,158 untuk unit di Pasar dan Pusat Penjaja Marine Parade Central ini baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan setengah pihak mengenai kesan sewa gerai yang tinggi terhadap harga makanan di pusat penjaja. - Foto ST

Walaupun beberapa gerai di lokasi popular telah menarik tawaran bidaan yang tinggi, dengan lima di pusat penjaja di Marine Parade Central mencecah $8,000, harga tender sebegitu bukanlah perkara biasa, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon.

Beliau memberi jawapan pada 9 September kepada Anggota Parlimen, Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang), yang bertanya sama ada bidaan baru-baru ini melebihi $10,000 untuk gerai di Pasar dan Pusat Penjaja Marine Parade Central itu menunjukkan trend peningkatan penyewaan gerai penjaja dan bagaimana ini akan memberi kesan kepada kemampuan makanan untuk rakyat Singapura.

Tawaran baru-baru ini sebanyak $10,158 untuk unit kosong di pusat penjaja itu telah menimbulkan keresahan di kalangan netizen pada Ogos, dengan sesetengah pihak menyatakan kebimbangan mengenai kesan sewa gerai yang tinggi terhadap harga makanan di pusat penjaja, lapor The Straits Times.

Dr Koh memberitahu Parlimen bahawa harga tender median yang berjaya untuk gerai makanan masak di semua pusat penjaja ialah kira-kira $1,800 pada 2023.

Kira-kira satu perlima daripada gerai tersebut telah diberikan tender pada atau di bawah $500 pada 2023.

Median sewa bulanan gerai makanan masak tanpa subsidi di seluruh pusat penjaja ialah kira-kira $1,250, dan kekal pada tahap ini sejak 2015, tambahnya.

Menurut notis tender pada Julai, bidaan $10,158 merupakan bidaan kedua tertinggi untuk gerai di Pasar dan Pusat Penjaja Marine Parade Central itu, selepas bidaan $10,680 ditarik balik. Tiga tawaran tertinggi seterusnya dalam julat antara $8,113 dengan $9,500.

Dr Koh berkata tender baru-baru ini untuk gerai itu “agak kompetitif”, menarik lebih daripada 40 bidaan.

Beliau berkata pusat penjaja itu sangat popular kerana ia dibuka untuk tiga kali waktu makan sepanjang hari dan mempunyai ramai pelanggan.

Stesen MRT Marine Parade, yang dibuka pada 23 Jun, mempunyai satu pintu keluar yang menghala ke pusat penjaja itu.

Tinjauan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mendapati sewa gerai menyumbang kurang 10 peratus daripada kos operasi pemegang gerai, berbanding bahan mentah (56 peratus) dan tenaga kerja (20 peratus), kata Dr Koh.

Menjawab soalan Encik Yip mengenai sokongan kepada pemilik perniagaan kecil dan penjaja baru untuk membantu mereka menangani peningkatan sewa gerai, Dr Koh berkata hanya kira-kira 4 peratus gerai makanan masak di pusat penjaja hari ini membayar sewa melebihi sewa pasaran yang dinilai.

Baki 6,000 gerai membayar sewa tidak lebih daripada nilai ini.

NEA – yang mengendalikan 121 pusat penjaja di Singapura – telah mengambil langkah untuk memastikan harga sewa gerai penjaja adalah adil dan bukan spekulatif, tambahnya.

Ini termasuk tidak membenarkan kegiatan sewa atas sewa atau penentuan gerai penjaja, bagi menghalang pegerai daripada terlibat dalam tingkah laku mencari sewa, dan mengeluarkan sewa simpanan dalam tender gerai kosong untuk membolehkan kadar sewa mencerminkan keadaan pasaran sepenuhnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg