Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeater baharu 1,000 tempat duduk bakal dibina di Tanglin pada 2030
Kemudahan akan sokong pementasan skala besar; 585 individu dan penaung diiktiraf dalam Majlis Penyampaian Anugerah Penaung Seni
Bekas tapak Pusat Beli-Belah Tanglin bakal menempatkan sebuah teater baharu menjelang 2030.
Kemudahan itu akan menyokong pementasan berskala besar merentasi pelbagai bentuk seni, selain membuka peluang pekerjaan baharu, daripada bidang teater teknikal hingga kepada pengurusan seni.
Teater yang memuatkan 1,000 tempat duduk itu dijangka menyediakan lebih banyak ruang bagi seniman tempatan mempersembahkan karya mereka, termasuk teater, muzikal, tarian dan muzik.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Pendidikan, Encik David Neo, mengumumkan demikian pada 27 Ogos semasa Majlis Penyampaian Anugerah Penaung Seni (POAA) 2026, anjuran Majlis Seni Kebangsaan (NAC) yang diadakan di The Ritz-Carlton Singapore.
“Pemerintah amat berhasrat untuk bekerjasama dengan rakan sektor swasta bagi menyalurkan pelaburan untuk menyokong seni. Ini bukan sahaja merangkumi sumbangan kewangan bahkan juga dalam bentuk pelaburan prasarana yang transformatif,” kata beliau.
Menurut kenyataan NAC, teater itu akan dibiayai dan dibina oleh firma pelabur hartanah dan pemaju berpangkalan di Singapura, Pacific Eagle Real Estate (PERE), dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan NAC.
Ia juga menempatkan sebuah muzium yang akan diuruskan oleh Tanoto Art Foundation.
Ini menandakan kali pertama sebuah teater seni dan muzium kesenian kontemporari dibangunkan bersama di bawah program Insentif Pembangunan Strategik (SDI) kendalian Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Dalam acara itu juga, seramai 585 individu dan penaung korporat diiktiraf atas sumbangan mereka kepada bidang seni yang bernilai $89.5 juta, hampir seganda berbanding 2025.
Antara penerima ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Quantedge Capital, firma pelaburan berpangkalan di Singapura yang mempunyai pejabat di New York, Amerika Syarikat, Encik Suhaimi Zainul-Abidin.
Beliau menerima Anugerah Rakan Seni (’Friends of the Arts’) atas sumbangan peribadinya kepada inisiatif ‘Gift a Seat’ oleh Esplanade, dan pernah menerima anugerah yang sama pada 2023.
Seramai 480 penaung individu, atau 82 peratus daripada keseluruhan penaung, diiktiraf menerusi POAA 2026.
Secara keseluruhan, mereka menyumbang sekitar $58 juta, iaitu hampir 65 peratus daripada nilai sumbangan yang diiktiraf menerusi POAA 2026.
Menjelaskan lanjut, Encik Neo berkata teater baharu yang bakal dibina itu, bersama sokongan penaung, mencerminkan peranan individu dan syarikat yang semakin penting dalam menyokong perkembangan seni di Singapura.
“Ini akan menjana peluang bagi kumpulan seni dan seniman Singapura untuk membawa karya mereka kepada penonton, membina perkongsian, serta mengembangkan cita-cita,” tambah beliau.
POAA 2026 mencerminkan sokongan berterusan terhadap bidang seni di Singapura, dengan jumlah penaung individu yang mencapai paras tertinggi pada 2026, tambah kenyataan NAC pada 27 Ogos.
Antara penaung individu yang diiktiraf ialah penerima Darjah Utama Penaung Kesenian, Dr Leon KL Chew, yang membiayai dana endowmen bagi subsidi perjalanan untuk pelajar diploma sepenuh masa di Akademi Seni Nanyang (Nafa) yang menyertai program di luar negara.
Sementara itu, penerima Anugerah Penaung Seni, Keluarga De Miguel Solaguren, memberikan sokongan kewangan kepada Orkestra Simfoni Singapura bagi lawatan mereka ke China pada 2026, sekali gus membantu artis Singapura memperkenalkan bakat mereka kepada khalayak antarabangsa.
