Apabila Cik Nooryani Abdul Talib bergelar ibu tunggal kepada empat orang anak pada 2012, beliau bukan sahaja menanggung berat badan 60 kilogram, malah beban emosi akibat penceraian dan perasaan terpinggir.
Namun, apa yang bermula sebagai perjalanan untuk menurunkan berat badan dan mencari semula keyakinan diri berubah menjadi misi untuk memperkasa wanita melalui latihan kekuatan, khususnya menggunakan kettlebell, atau alat senaman besi berbentuk bulat dengan pemegang
“Saya tahu saya tak boleh terus tenggelam dalam kesedihan,” kongsi Cik Nooryani, lebih dikenali sebagai Yani, 47 tahun.
“Anak-anak saya masih kecil dan perlukan saya. Saya perlu bangkit, bukan untuk diri saya sahaja, tetapi untuk mereka.”
Cik Yani mula bersenam di gim tanpa sebarang ilmu – hanya “ikut-ikut orang”.
Tetapi apabila dibimbing oleh seorang jurulatih peribadi, beliau mula memahami asas nutrisi dan latihan bebanan. Hasilnya, dalam masa lapan bulan sahaja, beliau berjaya menurunkan berat badan sebanyak 15 kilogram.
“Kalau saya boleh buat, semua orang pun boleh. Ia soal mindset (penetapan minda),” katanya.
Berteraskan inspirasi dengan perubahan diri sendiri, beliau mengambil diploma dalam sains sukan dan menjadi jurulatih peribadi bertauliah.
Namun demikian, beliau mahukan kelainan. Pada 2014, beliau menemui latihan kettlebell.
Ia merupakan alat senaman besi berbentuk bulat dengan pemegang, yang boleh digunakan untuk pelbagai jenis latihan kekuatan dan kardio.
“Satu alat sahaja, tetapi boleh latih seluruh badan. Saya tak perlu ke gim pun. Saya terus jatuh cinta terhadap latihan kettlebell.”
Beliau dilatih oleh pelopor sukan kettlebell di Singapura, Cik Hayati Ramli, dan akhirnya menjadi jurulatih bertauliah.
Kini, Cik Yani mengasaskan Bloom Kettlebell Club, satu komuniti kecil wanita yang bukan sahaja berlatih untuk kecergasan, malah menyertai pertandingan sukan kettlebell.
Kettlebell digunakan dalam latihan kekuatan dan kardio untuk melatih otot secara menyeluruh, meningkatkan kekuatan teras, ketahanan, serta koordinasi pergerakan.
Ia juga sering digunakan dalam sukan kettlebell, dengan peserta mengangkat dan mengayun alat tersebut secara berulang untuk tempoh masa tertentu.
“Latihan ini meniru pergerakan berfungsi harian. Ia menguatkan otot teras dan meningkatkan pergerakan. Sesuai sangat untuk wanita, terutama apabila kita semakin berusia,” jelasnya.
Cik Yani melatih wanita berusia antara 24 dengan 55 tahun. Ada yang mahu menguruskan badan, ada yang mahu kekal cergas dan ada juga yang fokus kepada penuaan sihat.
“Ramai wanita berusia 40-an dan ke atas lebih mementingkan keupayaan untuk bergerak, bukan lagi soal saiz badan.”
Bagi Cik Yani sendiri, kecergasan adalah jalan keluar daripada tekanan emosi.
“Bersenam adalah tempoh ‘me time’ saya. Walaupun cuma sejam sehari, ia memberi kesan besar pada mental saya.”
Sebelum Covid-19, beliau melihat peningkatan besar dalam penyertaan wanita.
Selepas pandemik, ada yang kembali aktif, tetapi ramai juga masih teragak-agak, terutama mereka yang rasa bersalah untuk mengutamakan diri sendiri.
“Ramai yang rasa perlu minta izin suami dulu sebelum pergi gim. Tapi bagi saya, ini tentang diri anda. Satu jam di gim ialah 1 peratus daripada masa anda, iaitu masa untuk diri sendiri.”
Cik Yani juga menolak tanggapan bahawa angkat berat akan menyebabkan wanita mempunyai otot besar.
“Wanita tidak akan menjadi ‘bulky’ (berbentuk besar ). Kita tiada genetik macam lelaki. Tapi kita boleh jadi kuat, toned (kuat otot), dan lebih yakin,” katanya.
“Kalau takut untuk mula, cari gim wanita. Cuba kelas. Jangan tunggu sampai jatuh sakit baru nak mula,” nasihat beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg