Dalam kenangan Dr Emilia Idris, arwah bapanya, Allahyarham Idris Mohd Yusof, sering sibuk dengan tuntutan kerjaya.

Namun, ketika menerjemahkan memoir Aku, Idris & Muzik, tulisan ibunya, Cik Zaharah Jantan, dalam bahasa Inggeris, Pensyarah Kanan bahagian Pusat Pembangunan Pendidikan di Politeknik Republic (RP) itu mula memahami betapa mendalamnya kecintaan Allahyarham terhadap muzik.

“Sejak kecil lagi, saya tahu kerjaya membentuk sebahagian besar daripada kehidupan arwah bapa saya.

“Tetapi, saya tidak pernah melihatnya dari sudut pencapaian profesional kerana muzik datang begitu semula jadi kepadanya.

“Ia sebati dengan kehidupannya, malah saya rasa beliau sanggup melakukannya tanpa dibayar sekali pun.

“Sebagai anak, perkara seperti anugerah atau pengiktirafan itu bukan sesuatu yang saya fikirkan dahulu kerana ia juga bukan perkara yang begitu dipentingkan arwah bapa.

“Hanya apabila melihat kembali perjalanan kerjayanya, saya sedar betapa luar biasanya pencapaian beliau dalam bidang muzik,” kata Dr Emilia, 47 tahun, ketika ditemui Berita Harian (BH) di kediamannya sekitar Ceylon Road.

Wawancara itu diadakan susulan penerbitan edisi bahasa Inggeris, Music, Idris & Me, hasil terjemahan Dr Emilia, baru-baru ini.

Edisi itu dilancarkan dalam satu majlis pelancaran buku pada 5 September di The POD, Perpustakaan Negara (NLB).

Selain itu, naskhah tersebut merupakan penerima sulung Geran Writing+, yang disokong bersama Majlis Buku Singapura (SBC) dan Persatuan Pelesenan dan Pentadbiran Hak Cipta Singapura (Class).

Allahyarham Idris merupakan tokoh muzik yang menabur bakti kepada negara menerusi kerjayanya bersama Pancaragam Pasukan Polis Singapura (SPF) termasuk sebagai Pengarah Muzik daripada 1986 hingga 2004.

Selepas menamatkan khidmatnya bersama SPF pada 2004, beliau kemudian meneruskan penglibatan dalam bidang muzik sebagai perunding kepada Pancaragam Polis Abu Dhabi, antara 2012 dengan 2018.

Perjalanan hidup Allahyarham kemudian dirakamkan oleh balunya yang juga mantan guru Bahasa Melayu, Cik Zaharah, 79 tahun, menerusi Aku, Idris & Muzik, selepas pemergiannya pada 2021.

Naskhah asal dilancarkan pada 2024, sempena Bulan Bahasa.

Kini, Dr Emilia menggalas tanggungjawab menerjemahkan karya ibunya demi meneruskan impian mengabadikan legasi Allahyarham.

Ibu kepada tiga anak lelaki berusia 11, 16 dan 20 tahun itu turut berkata proses tersebut juga membuka perspektif baharu terhadap hubungan ibu bapanya.

“Saya melihat mereka seperti pasangan biasa. Tetapi apabila membaca dan menerjemah buku ini, saya sedar ibu bukan sekadar mencintai arwah bapa, malah amat mengaguminya.

“Sepanjang proses terjemahan, saya mula melihatnya sebagai kisah kehidupan mereka bersama.

“Jadi, penting bagi saya untuk mengekalkan sisi itu,” ujar anak ketiga dalam keluarga empat beradik itu.

Dalam pada itu, beliau berharap penerbitan buku itu dapat mendorong lebih ramai masyarakat Melayu merakam kisah dan sumbangan generasi terdahulu agar tidak hilang ditelan zaman.

“Arwah bapa saya bukan tokoh politik atau orang ternama, tetapi insan biasa yang bekerja keras dan pernah menyumbang kepada pembangunan Singapura.

“Jika kisah seperti ini tidak dirakam, mungkin tiada siapa akan mengetahuinya. Saya berharap lebih ramai dapat merakam kisah tokoh lain yang berpengaruh.

“Apabila cerita seperti ini dikongsi, kita mempunyai sesuatu untuk dikenang dan diwariskan kepada generasi seterusnya,” jelas Dr Emilia.

Buku yang berharga $30 senaskhah itu kini boleh didapatkan di kedai buku tempatan, Wardah Books, di 58 Bussorah Street.