Topik diikuti
Pergi ke BHkuTerus guna PMA tidak sah, pengguna ambil risiko didenda
Terus guna PMA tidak sah, pengguna ambil risiko didenda
Terus guna PMA tidak sah, pengguna ambil risiko didenda
Meskipun berdepan risiko penguatkuasaan, sebilangan pengguna Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA) bertegas akan terus menggunakan peranti mereka, melanggar peraturan baharu yang berkuat kuasa sejak 1 Jun.
Mereka enggan atau belum mendapatkan sijil perubatan yang diperlukan untuk membuktikan kelayakan penggunaan, malah tiada rancangan untuk memohonnya.
Ada pula yang didapati menggunakan peranti yang jelas melebihi had dimensi baharu yang telah ditetapkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Peraturan terkini menetapkan bahawa semua PMA di laluan awam tidak boleh melebihi 1.2 meter panjang, 0.7 meter lebar, 1.5 meter tinggi, dan had berat keseluruhan termasuk pengguna adalah 300 kilogram.
Pengguna skuter mobiliti juga diwajibkan mendapatkan Sijil Keperluan Perubatan daripada doktor atau ahli terapi pekerjaan yang berdaftar di Singapura, kecuali mereka yang layak mendapat pengecualian, seperti individu berumur 70 tahun ke atas.
Had kelajuan bagi semua PMA bermotor di laluan awam juga akan dikurangkan daripada 10 kilometer sejam kepada 6 kilometer sejam.
Mereka yang didapati memandu kenderaan mobiliti melebihi 6 kilometer sejam di laluan awam boleh dikenakan denda sehingga $2,000, dipenjarakan sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali. Hukuman yang lebih berat akan dikenakan terhadap pesalah berulang.
Pada Februari lalu, Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, berkata di Parlimen bahawa peraturan tersebut akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun, iaitu lebih dua tahun selepas cadangan oleh Anggota Panel Penasihat Mobiliti Aktif (Amap) diterima oleh pemerintah.
Beliau berkata pegawai penguat kuasa akan memberi perhatian tajam kepada individu yang kelihatan sihat dan tidak mempunyai masalah mobiliti tetapi menyalahgunakan skuter mobiliti.
Bagi menangani penunggang yang melanggar peraturan, pegawai penguat kuasa akan membuat rondaan di laluan awam dan menjalankan pemeriksaan terhadap pematuhan pengguna serta peranti yang digunakan, katanya. Kamera kamera litar tertutup (CCTV) yang memantau laluan awam juga telah dipasang di seluruh negara.
Satu pasangan warga emas dilihat di sepanjang Yishun Central menaiki sebuah PMA bersaiz besar, yang kelihatan melebihi had panjang 1.2 meter, bersama cucu perempuan mereka yang masih bersekolah rendah.
Wanita berusia 67 tahun itu berkata beliau dan suaminya yang berusia 72 tahun sudah biasa menggunakan peranti tersebut untuk menghantar dan mengambil cucu mereka ke sekolah. Suaminya juga menggunakan PMA itu untuk menghantarnya ke tempat kerja.
Walaupun suaminya berusia lebih 70 tahun dan dikecualikan daripada keperluan mendapatkan sijil tersebut, beliau sendiri perlu memilikinya tetapi tidak bercadang untuk memohon.
“Saya akan tengok keadaan dahulu, kerana jika kami tidak boleh menaiki PMA dengan dua orang sekali pun, maka PMA kami akan menjadi sia-sia,” katanya. Apabila ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk membeli peranti yang mematuhi peraturan baharu, beliau berkata keadaan kewangan mereka agak sempit.
