Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiada bukti gangguan sistem selepas 432 pelajar lapor percanggahan peperiksaan lisan Bahasa Inggeris peringkat O
Tiada bukti gangguan sistem selepas 432 pelajar lapor percanggahan peperiksaan lisan Bahasa Inggeris peringkat O
Tiada bukti gangguan sistem selepas 432 pelajar lapor percanggahan peperiksaan lisan Bahasa Inggeris peringkat O
Pemeriksa lisan dan pelajar dipaparkan soalan yang sama semasa peperiksaan Bahasa Inggeris peringkat O pada 15 Julai, dan siasatan mendapati tiada bukti gangguan sistem walaupun 432 calon melaporkan percanggahan.
Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary berkata di Parlimen pada 5 Ogos bahawa tiada sebarang corak ditemui dalam laporan daripada calon yang diperiksa 200 pasukan pemeriksa lisan. Ingatan mereka terhadap teks rangsangan juga berbeza-beza.
“Hanya terdapat satu sumber yang digunakan semua calon dan pemeriksa,” katanya sambil menjelaskan bahawa Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) telah mengesahkan bahan peperiksaan, menyemak log digital dan mendapati kejadian itu bukan berpunca daripada serangan siber.
Beliau menjawab lapan soalan Anggota Parlimen (AP) selepas beberapa calon mendakwa mereka dipaparkan soalan berbeza semasa tempoh persediaan 10 minit berbanding soalan yang dibacakan pemeriksa.
Isu itu mula timbul di Reddit sebelum SEAB memaklumkan pada 18 Julai bahawa tiada percanggahan ditemui.
AP meminta penjelasan mengenai siasatan, jumlah calon dan sekolah terjejas, sokongan kepada calon terjejas serta sama ada proses peperiksaan lisan akan dikaji semula.
Dr Janil berkata teks rangsangan sebenar ialah: “Pada pendapat anda, siapa akan pergi ke tempat seperti ini untuk menggunting rambut? Mengapa anda berkata demikian?”
Seramai 173 calon membuat laporan pada hari peperiksaan sebelum jumlah itu meningkat kepada 432 dalam beberapa hari berikutnya. Hampir 5,000 calon menduduki peperiksaan lisan pada 15 Julai.
SEAB menjalankan pemeriksaan sistem, menyemak rekod setiap calon, log penyediaan dan penghantaran bahan peperiksaan serta paparan pada skrin calon, selain audit keselamatan siber.
Siasatan menunjukkan teks rangsangan pada skrin calon sepadan dengan bahan peperiksaan yang diluluskan, dan semua pusat peperiksaan menggunakan bahan yang sama pada 15 Julai.
Tiada corak tertentu dikenal pasti. Percanggahan melibatkan ingatan calon terhadap teks rangsangan, bukannya soalan yang dibacakan oleh pemeriksa.
Malah, pelajar yang diperiksa oleh pasukan yang sama turut mengingati frasa yang berbeza.
SEAB menyimpulkan bahawa kejadian itu bukan berpunca daripada masalah teknikal atau tindakan berniat jahat.
Purata markah calon yang melaporkan percanggahan adalah setanding dengan calon lain yang menduduki peperiksaan itu pada 15 Julai. Purata markah calon yang terjejas juga setanding dengan purata calon yang menduduki empat sesi lain.
Bagi mereka mengalami tekanan hebat, pihak sekolah membantu memohon pertimbangan khas untuk menyemak gred akhir jika prestasi mereka terjejas akibat keadaan di luar kawalan semasa peperiksaan,yang akan dinilai berdasarkan merit setiap kes.
Menjawab soalan AP Cik Hany Soh (GRC Marsiling-Yew Tee), Dr Janil berkata beberapa permohonan telah dikemukakan dan pelajar yang mengemukakan rayuan akan dimaklumkan mengenai keputusan permohonan mereka.
Dr Janil berkata SEAB akan mengurangkan risiko teks rangsangan disalah baca dan menyediakan pelajar dengan lebih baik. AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Andre Low bertanya sama ada Kementerian Pendidikan (MOE) akan mempertimbangkan mereka bentuk semula atau menguji soalan peperiksaan lisan bagi mengelakkan kekeliruan yang sama berulang.
GovTech turut dilibatkan untuk menilai platform dan proses teknikal, dan mencapai kesimpulan yang sama seperti SEAB, kata Dr Janil ketika menjawab soalan AP Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied) sama ada SEAB akan membenarkan pihak luar menyemak bukti yang dimilikinya.
Pemeriksa menggunakan pendekatan “pemarkahan positif” dan menilai kemahiran lisan pelajar, bukannya pematuhan kepada jawapan contoh, kata Dr Janil ketika menjawab soalan AP Encik David Hoe (Jurong East-Bukit Batok) mengenai peranan pemeriksa apabila kejadian seperti ini berlaku.
Pemeriksa menilai perbendaharaan kata, struktur ayat serta cara pelajar menyusun dan mengembangkan idea, kata Dr Janil sambil menambah bahawa inilah antara sebab markah pelajar yang melaporkan percanggahan setanding dengan mereka yang tidak berbuat demikian.
“SEAB akan mengkaji semula proses peperiksaan lisan supaya pelajar membaca teks rangsangan dengan lebih teliti ketika tempoh persediaan 10 minit,” kata Dr Janil sambil menegaskan bahawa semua calon akan terus dinilai secara adil.
