Kebanyakan isi rumah Singapura menjangkakan perkembangan ekonomi dalam dan luar negara akan meningkatkan inflasi sepanjang 2027, di tengah-tengah ketidaktentuan politik sejagat dan dasar perdagangan.

Demikian menurut tinjauan suku tahunan DBS Group Research dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Jangkaan inflasi keseluruhan bagi 2027 kekal pada 3.4 peratus pada September, menyamai paras suku sebelumnya.

Daripada 510 peserta yang ditinjau pada September, 87.1 peratus menjangkakan perkembangan tersebut akan meningkatkan inflasi dalam tempoh 12 bulan akan datang, berbanding 87.7 peratus pada Jun.

Hanya 3.9 peratus menjangkakan perkembangan itu akan menurunkan inflasi, berbanding 4.3 peratus sebelumnya.

Walaupun terdapat kegusaran, jangkaan inflasi keseluruhan kekal pada 3.4 peratus pada September, serupa pada Jun.

Hasil tinjauan suku tahunan Indeks Jangkaan Inflasi Singapura (SInDEx) yang dijalankan oleh DBS dan SMU, dan diumumkan pada 20 Oktober, menunjukkan jangkaan inflasi teras tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet, meningkat kepada 3.6 peratus daripada 3.4 peratus.

Sebanyak 59 peratus peserta yang menjangkakan inflasi meningkat menyifatkan konflik Hamas-Israel, Ukraine-Russia dan Iran-Israel sebagai sebab utama.

Ketidaktentuan dasar perdagangan, termasuk tarif, disebut oleh 14.2 peratus peserta, meningkat daripada 9.4 peratus pada Jun, manakala 11.3 peratus menyebut gangguan rantaian bekalan.

Ketua Pakar Ekonomi DBS, Dr Taimur Baig, berkata inflasi Singapura kekal sederhana meskipun menghadapi tekanan harga akibat perang Iran, perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan fenomena cuaca El Niño.

Menurutnya, kebimbangan terhadap kenaikan harga jelas dalam tinjauan, namun peserta tidak menjangkakan keadaan bertambah buruk berbanding suku sebelumnya.

“Ketidaktentuan masih membayangi unjuran inflasi, namun keyakinan terhadap dasar terus memastikan jangkaan terkawal,” katanya.

Sementara itu, semakin sedikit isi rumah menjangkakan kewangan mereka merosot.

Peratusan peserta yang ditinjau menjangkakan kewangan isi rumah merosot kepada 38.6 peratus pada September daripada 46 peratus pada Jun.

Secara keseluruhan, peserta menjangkakan kewangan isi rumah kekal mantap dalam tempoh 12 bulan akan datang walaupun menjangkakan perbelanjaan meningkat sedikit.

Bagaimanapun, mereka menjangkakan keadaan perniagaan dan pembelian barangan mahal seperti perkakas rumah dan perabot menjadi kurang menggalakkan dalam tempoh yang sama.

Bagi tempoh lima tahun akan datang, peserta yang ditinjau menjangkakan keadaan perniagaan kekal mantap.

Pengangkutan mencatatkan kenaikan jangkaan inflasi terbesar.

Jangkaan inflasi pengangkutan bagi setahun meningkat kepada 5 peratus daripada 3.8 peratus pada Jun.

Jangkaan inflasi bagi pakaian dan kasut meningkat kepada 2.7 peratus daripada 2 peratus, manakala bagi maklumat dan komunikasi pula kepada 3 peratus daripada 2.5 peratus.

Jangkaan inflasi bagi makanan kekal 3 peratus, penjagaan kesihatan 4 peratus dan pendidikan 3 peratus.

Profesor Hong Zhang dari SMU, berkata corak perbelanjaan berbeza menghasilkan tekanan kos sara hidup berlainan.

“Walaupun jangkaan inflasi keseluruhan bagi tahun depan (2027) kekal pada 3.4 peratus, jangkaan inflasi pengangkutan meningkat daripada 3.8 kepada 5 peratus, manakala penjagaan kesihatan kekal pada 4 peratus, corak perbelanjaan berbeza menghasilkan tekanan berbeza terhadap belanjawan isi rumah,” katanya.

Jangkaan inflasi keseluruhan lima tahun meningkat kepada 4.4 peratus pada September daripada 4.3 peratus pada Jun.

Jangkaan inflasi teras meningkat kepada 4.2 peratus daripada 3.8 peratus dalam tempoh yang sama.

Profesor Zhang berkata peningkatan itu perlu diperhatikan kerana mempengaruhi simpanan dan perbelanjaan.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menjangkakan inflasi mereda lebih ketara mulai pertengahan 2027.

Dalam kenyataan dasar kewangan terbaharunya pada 14 Oktober, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengunjurkan purata inflasi teras antara 1.5 dengan 2 peratus pada 2026, manakala inflasi keseluruhan sekitar 2 peratus.

Bagi 2027, kededuanya diramalkan antara 1.5 dengan 2.5 peratus.