Inflasi teras Singapura meningkat pada Ogos, didorong oleh inflasi yang lebih tinggi bagi perkhidmatan, barangan runcit dan barangan lain, serta makanan.

Inflasi teras, yang tidak termasuk pengangkutan privet dan penginapan bagi mencerminkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih tepat, meningkat kepada 2.2 peratus daripada 2 peratus pada Julai, menurut Jabatan Perangkaan Singapura (SingStat) pada 23 September.

Inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.3 peratus pada Ogos daripada 2.2 peratus pada Julai kerana kenaikan inflasi teras melebihi penurunan inflasi pengangkutan privet.

Inflasi pengangkutan privet turun kepada 7.5 peratus pada Ogos daripada 8 peratus pada Julai kerana kadar kenaikan harga kereta lebih perlahan.

Inflasi perkhidmatan meningkat sedikit kepada 2 peratus pada Ogos daripada 1.7 peratus pada Julai kerana tambang penerbangan dan perkhidmatan pengangkutan dari satu tempat ke tempat lain meningkat lebih cepat.

Inflasi barangan runcit dan barangan lain meningkat kepada 1.8 peratus pada Ogos daripada 1.4 peratus pada Julai, didorong kenaikan inflasi pakaian, kasut dan produk penjagaan diri.

Inflasi makanan meningkat sedikit kepada 2.3 peratus pada Ogos daripada 2.2 peratus pada Julai, didorong inflasi perkhidmatan makanan yang lebih tinggi walaupun inflasi makanan tidak dimasak menurun.

Inflasi elektrik dan gas kekal pada 8.7 peratus pada Ogos, dengan harga elektrik meningkat pada kadar yang sama seperti Julai.

“Harga tenaga dunia yang tinggi telah menaikkan tarif elektrik dan gas serta tambang pengangkutan di Singapura,” kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam kenyataan bersama pada 23 September.

“Harga minyak dunia kekal tinggi dan tidak menentu, manakala cuaca buruk dijangka mengurangkan hasil pertanian dan meningkatkan harga makanan import Singapura.

“Apabila kenaikan kos disalurkan melalui rantaian bekalan dunia, harga bagi lebih banyak jenis barangan dan perkhidmatan yang diimport Singapura dijangka meningkat pada suku-suku akan datang,” tambah kenyataan itu.

Inflasi penginapan kekal 0.8 peratus, dengan kadar kenaikan sewa perumahan pada Ogos sama seperti Julai.