Topik diikuti
Pergi ke BHkuTinjauan: Rakyat muda S’pura ketepi 20% gaji buat keluarga, tangguh kebebasan kewangan
Tinjauan: Rakyat muda S’pura ketepi 20% gaji buat keluarga, tangguh kebebasan kewangan
Minimum 75% responden bawah 35 tahun rasa tanggungjawab keluarga hambat kebebasan kewangan jangka panjang
Tinjauan: Rakyat muda S’pura ketepi 20% gaji buat keluarga, tangguh kebebasan kewangan
Rakyat muda Singapura mengetepikan 20 peratus pendapatan bulanan mereka bagi kewajipan terhadap keluarga, yang dikatakan melambatkan hasrat kebebasan kewangan mereka.
Mereka turut memikul beban penjagaan lebih berat berbanding rakan mereka di rantau Asia, menurut satu tinjauan.
Tinjauan ‘Manulife Asia Care 2026’ mendapati 81 peratus responden berusia 18 hingga 24 tahun, dan 75 peratus daripada mereka yang berusia 25 hingga 34 tahun, berasa tanggungjawab kewangan terhadap keluarga menghambat keupayaan mereka untuk membuat persiapan kewangan jangka panjang.
Angka ini mengatasi purata negara serantau, iaitu 76 peratus bagi yang berusia 18-24 tahun dan 69 peratus bagi yang berusia 25 hingga 34 tahun.
Ini meskipun 92 peratus rakyat Singapura yang ditinjau berkata matlamat mereka adalah untuk kekal mampu diri selama mana yang boleh, dari segi kewangan, tanpa bergantung kepada orang lain.
Tinjauan tahunan oleh syarikat insurans itu meninjau 1,074 responden di Singapura, yang membentuk sebahagian kajian lebih luas iaitu lebih 9,000 orang dewasa di sembilan negara serantau, yang dijalankan antara Februari dengan Mac 2026.
Selain keselamatan kewangan asas, 46 peratus rakyat Singapura yang ditinjau itu mengaitkan mampu diri dengan privasi dan maruah, 44 peratus mengaitkannya dengan keupayaan membuat keputusan tanpa tekanan keluarga, dan 42 peratus dengan kebebasan untuk mengembara sambil mengakses penjagaan bermutu.
Para responden itu menyatakan bahawa mereka mahu mengelakkan diri daripada menurunkan tekanan kewangan dan fizikal kepada generasi akan datang, dengan 61 peratus tidak mahu “kebebasan dalam kehidupan yang panjang” menjadi beban kepada orang yang disayangi.
“Ramai yang menyokong keluarga sambil membina kehidupan sendiri, dan pada masa yang sama, memikirkan tentang masa depan mereka,” kata Encik Benoit Meslet, Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Singapore.
“Ini datang dengan pengorbanan yang nyata, dan tidak hairanlah ramai yang merasakan bahawa perancangan jangka panjang mereka tertangguh atau tidak dapat dicapai.”
Tekanan itu juga menjangkau lebih daripada sekadar dompet, dan turut menjejas amalan kesihatan dari segi pencegahan.
Tugas penjagaan telah mendorong 73 peratus rakyat Singapura berusia 18 hingga 24 tahun, bertangguh untuk mendapatkan rawatan perubatan peribadi.
Kadar pengorbanan kesihatan khusus ini adalah jauh lebih tinggi daripada purata tempatan sebanyak 51 peratus merentasi semua peringkat umur.
Ia juga melepasi purata negara serantau sebanyak 65 peratus bagi peringkat umur 18 hingga 24 tahun.
Penangguhan ini memburukkan lagi risiko jangka panjang, memandangkan jangka hayat rakyat Singapura telah meningkat kepada 83.9 tahun pada 2025, antara yang tertinggi di peringkat global.
Dengan jangka hayat lebih lama, 78 peratus orang dewasa berkata mereka bimbang tidak mampu menyara hidup yang panjang, dan 70 peratus bimbang tentang pembiayaan penjagaan masa depan – angka yang lebih tinggi daripada purata negara serantau sebanyak 66 peratus.
Walaupun ada kebimbangan meluas tentang kehabisan wang, 78 peratus responden berkata mereka masih banyak bergantung pada simpanan peribadi untuk membiayai persaraan mereka.
