Sekitar 95 peratus majikan di Singapura tidak akan melaksanakan cara bekerja empat hari seminggu, berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef).
Tinjauan itu, yang berlangsung dari 30 September hingga 7 Oktober, menerima maklum balas daripada 330 majikan untuk mengukur keterbukaan mereka menerima pakai cara bekerja empat hari seminggu.
Dalam tinjauannya, Snef mentakrifkan minggu kerja empat hari sebagai jadual yang memerlukan pekerja bekerja empat hari seminggu sehingga jumlah 36 jam, bukannya lima hari biasa sehingga 44 jam, sambil masih menerima bayaran yang sama, seolah-olah mereka bekerja selama lima hari.
Dalam kalangan mereka yang menentang, 260 majikan (79 peratus) berkata mereka tidak akan melaksanakan cara kerja empat hari seminggu, manakala baki 16 peratus berkata mereka tidak melaksanakannya, tetapi akan mempertimbangkan pilihan itu, lapor The Business Times.
Pada 1 November, Snef menyatakan dalam satu kenyataan bahawa majikan teragak-agak melaksanakan cara bekerja empat hari seminggu kerana operasi perniagaan mereka perlu berjalan sepanjang masa.
Sebab lain termasuk tidak dapat meningkatkan daya penghasilan untuk mengimbangi pengurangan tenaga kerja, serta menanggung kos yang lebih tinggi.
Encik Sim Gim Guan, pengarah eksekutif di Snef, berkata: “Keputusan ini mencerminkan hakikat yang dihadapi ramai majikan dalam pasaran tenaga kerja yang ketat dan persekitaran perniagaan yang kompetitif hari ini.”
Daripada kesemua responden, hanya 18 peratus berkata mereka mungkin mempertimbangkan cara bekerja empat hari seminggu.
Alasan mereka berbuat demikian termasuk ingin meningkatkan kesejahteraan pekerja mereka, antara lain.
Encik Sim menambah: “Walaupun sebahagian kecil majikan menyokong pelaksanaan kerja empat hari seminggu dalam pertubuhan mereka… kebolehlaksanaan operasi dan implikasi ekonomi menjadikannya satu cadangan yang mencabar untuk memenuhi keperluan perniagaan mereka.”
Dalam sektor pembuatan, 84 peratus daripada semua responden menyatakan bahawa mereka tidak akan melaksanakan cara kerja selama empat hari seminggu.
Baki 16 peratus tidak akan melaksanakannya, tetapi mereka akan mempertimbangkan pilihan itu.
Dalam segmen bukan pembuatan, hanya 7 peratus daripada 330 responden berkata mereka akan melaksanakannya.
Selebihnya berkata mereka tidak akan melaksanakannya, dengan beberapa responden menyatakan bahawa mereka akan mempertimbangkannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg