TMJ rancang bina banglo mewah di Holland Road selepas pertukaran tanah
TMJ rancang bina banglo mewah di Holland Road selepas pertukaran tanah
URA cadang tukar zon tanah bagi bolehkan pembangunan perumahan bertingkat rendah
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, merancang membangunkan perumahan bertingkat rendah di kira-kira 16 hektar tanah di Holland Road, hasil pertukaran tanah dengan pemerintah Singapura.
Dalam kenyataan pada 17 Mac, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mengesahkan telah meneliti permohonan itu bersama agensi teknikal.
URA mencadangkan penukaran zon tanah Tunku Ismail daripada “ruang terbuka” dan “kegunaan khas” kepada perumahan, dengan nisbah plot kasar 1.4.
Nisbah plot 1.4 bermaksud jumlah keluasan lantai yang dibenarkan bagi binaan adalah 1.4 kali ganda keluasan tanah.
Ia adalah penentu keluasan maksimum pembangunan. Kelulusan penukaran zon ini akan memudahkan rancangan pembangunan Tunku Ismail.
Pertukaran tanah diumumkan pada 10 Jun 2025, melibatkan Singapura menerima 13 hektar tanah bersebelahan Kebun Bunga Singapura (SBG), manakala Tunku Ismail menerima 8.5 hektar tanah negara sebagai pertukaran.
Kededua agensi ketika itu sepakat menyatakan plot yang ditukar mempunyai “nilai setara”.
Tujuan pertukaran tanah itu adalah bagi membolehkan Tunku Ismail membangunkan lot tanahnya di Holland Road, di samping memastikan pembangunan itu lebih jauh dari sempadan Tapak Warisan Dunia Unesco, SBG.
Kini, Tunku Ismail memiliki 16.6 hektar di kawasan tersebut.
URA menyatakan tapak itu sesuai untuk perumahan bertingkat rendah dengan bilangan unit terhad, selaras permohonannya.
Agensi itu turut mendedahkan permohonan tersebut merangkumi Banglo Kelas Baik (GCB), iaitu kategori banglo termewah.
Semakan agensi pemerintah mendapati pelan itu “serasi dan peka terhadap persekitaran kejiranan”.
Jika penukaran zon diluluskan, sebahagian tanah perumahan akan ditetapkan sebagai Kawasan GCB, mencerminkan jenis kediaman yang bakal dibangunkan.
Hanya banglo dibenarkan di kawasan itu, yang merupakan sebahagian daripada 39 kawasan GCB di Singapura, termasuk Ridout Park dan Eng Neo Avenue.
URA mewajibkan kajian alam sekitar perlu dilakukan oleh pihak pembangunan lot tanah di Holland Road (yang masih dilitupi hutan) sebelum kerja dimulakan, bagi mengurangkan kesan terhadap persekitaran.
Sementara itu, bagi plot 13 hektar yang diterima Singapura, URA menyatakan tiada pembangunan akan dijalankan buat masa ini, membiarkan rancangan masa depan tapak itu kekal terbuka.
Sebahagian tanah 13 hektar yang kini diperuntukkan bagi “kegunaan khas” dicadangkan ditukar kepada “ruang terbuka”.
Zon “kegunaan khas” bagi lot tanah di kawasan itu biasanya untuk kem tentera, yang mencerminkan sejarah penggunaannya oleh tentera British.

