Pejabat Peguam Negara (AGC) telah menarik balik semua tuduhan terhadap tiga lelaki berkenaan dakwaan sebut harga palsu yang melibatkan sebuah projek masjid.
Tuduhan bagi individu terakhir, Encik Mohamad Daud A Rahim, ditarik balik AGC pada 30 September, kata peguam belanya, Encik Ahmad Nizam Abbas dan Encik Amrun Hisyam, daripada Crescent Law Chambers LLC.
Semasa dihubungi Berita Harian (BH), Encik Ahmad Nizam berkata AGC telah menggunakan budi bicaranya untuk menarik balik pertuduhan ke atas Encik Daud setelah pihaknya menghantar surat perwakilan kepada AGC yang menggariskan apa yang berlaku dari sudut anak guamnya.
Menurut laman perundangan Singapore Legal Advice, surat perwakilan lazimnya menyatakan sebab-sebab AGC tidak patut mendakwa tertuduh, menggugurkan pertuduhan atau mendapatkan hukuman tertentu daripada mahkamah.
Encik Ahmad Nizam berkata: “Kami berbesar hati kepada AGC kerana mengambil kira perwakilan kami dan memutuskan untuk menarik balik pertuduhan itu. Anak guaman kami sangat lega ini telah berlalu dan bersyukur namanya bersih daripada tuduhan.”
Ketiga-tiga pengarah syarikat tersebut telah dikenakan tuduhan pada 31 Disember 2024.
Encik Daud, pengarah Qirom Consulting Pte Ltd, dikenakan empat tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah (PCA) dan Kanun Keseksaan kerana didakwa menghasut pihak lain memalsukan akaun dan menyerahkan sebut harga palsu.
Beliau didakwa menghasut Encik Mohd Nasir Mohd Sairi dan Encik Mohd Nasral Awang bagi menyediakan sebut harga palsu yang kemudian diserahkan olehnya kepada Masjid Sultan sebagai sebut harga untuk projek pendigitalan masjid itu.
Dalam laporan BH pada 31 Disember 2024, Encik Nasral, 44 tahun, merupakan pengarah Onaga Sys, manakala Encik Nasir, 59 tahun, merupakan pengarah Fatiin Multimedia.
Mereka masing-masing telah dikenakan satu pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan kerana didakwa menyediakan sebut harga palsu.
Pertuduhan mereka ditarik balik oleh AGC pada 1 Ogos untuk Encik Nasir dan 12 September bagi Encik Nasral, kata peguam bela mereka, Encik Aristotle Eng daripada Andre Jumabhoy LLC.
“Kami menghantar surat perwakilan kepada pihak pendakwa dan selepas (mereka) mempertimbangkan perwakilan kami, mereka menarik balik pertuduhan itu,” kata Encik Eng menjawab pertanyaan BH.
Menukil dokumen mahkamah, Encik Daud dikatakan menghasut Encik Nasir sekitar Ogos dan September 2022 untuk memalsukan sebut harga berjumlah $24,900 dan turut menghasut Encik Nasral supaya menyediakan sebut harga palsu berjumlah $56,000 pada Oktober 2022.
Encik Daud kemudian didakwa menyerahkan kedua-dua sebut harga palsu itu kepada pengurus masjid, pada tempoh berasingan.
Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan pada 31 Disember berkata sebut harga palsu itu didakwa bertujuan menipu Masjid Sultan agar mempercayai bahawa Fatiin Multimedia dan Onaga Sys bersedia melaksanakan projek digitalisasi untuk masjid tersebut pada harga yang dinyatakan.
CPIB menambah Encik Daud didakwa berniat memperdaya Masjid Sultan agar mempercayai Qirom Consulting, yang turut menyerahkan sebut harga untuk projek digitalisasi itu, telah mengemukakan sebut harga kompetitif.
Namun CPIB tidak memperincikan sama ada syarikat Encik Daud berjaya mendapatkan projek itu.
Bagi setiap pertuduhan memalsukan akaun, pesalah boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun, didenda atau kedua-duanya.
Bagi setiap pertuduhan di bawah PCA, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda sehingga $100,000 atau kedua-duanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg