Walaupun ramai pesakit menganggap ahli fisioterapi mempunyai “sentuhan ajaib”, Cik Fahria Abdul Rahman, sedar tugasnya jauh lebih luas daripada sekadar pemulihan fizikal.
Berbekal pengalaman bekerja sekitar 19 tahun di Hospital St. Luke, sebuah hospital masyarakat di Bukit Batok Street 11, Cik Fahria kini menggalas jawatan sebagai ketua fisioterapi.
Beliau memiliki Sarjana Sains dalam Fisioterapi dari Universiti Politeknik Hong Kong dan Diploma dalam Fisioterapi daripada Politeknik Nanyang (NYP).
Menyandang jawatan tersebut sejak 2023, antara tanggungjawabnya termasuk pengambilan pekerja, operasi dan piawaian klinikal.
Walaupun tugasnya kini lebih bersifat pentadbiran, Cik Fahria, 43 tahun, tetap terlibat secara aktif dalam penjagaan pesakit menerusi sesi hidroterapi – penggunaan air dalam sebarang bentuk, luaran atau dalaman di dalam merawat penyakit – yang dijalankan di Rumah St. Joseph (SJH).
Rumah jagaan itu merupakan salah satu rakan kongsi Hospital St. Luke dan menempatkan warga emas yang memerlukan rawatan pemulihan.
Di situ, beliau menggunakan sifat terapeutik air untuk membantu pesakit meningkatkan pergerakan, keseimbangan dan fleksibiliti dengan kesakitan yang minimum.
“Kolam air panas itu memberikan kesan analgesik.
“Ia memberikan kelegaan kesakitan kerana ia membantu mengurangkan tekanan pada sendi.
“Daya apungan pula membantu mengurangkan beban berat badan pesakit, sekali gus memudahkan mereka bergerak,” jelas Cik Fahria.
Dalam wawancara dalam talian bersama Berita Harian (BH), ibu dua anak itu menerangkan bahawa proses pemulihan adalah usaha bersama.
Ia melibatkan ahli fisioterapi, jurupulih pekerjaan serta pertuturan dan muzik, dalam membantu pesakit menumpukan perhatian kepada apa jua yang masih boleh mereka capai.
Menjelaskan tanggapan mengenai “sentuhan ajaib” ahli fisioterapi, Cik Fahria berkata:
“Kebanyakan masa, jika kerosakan pada otak akibat angin ahmar itu terlalu teruk, memang mustahil untuk kami membantu mereka bangun dan berjalan seperti sebelum mereka diserang angin ahmar.
“Di sinilah kami mula berbincang dengan pesakit – apa lagi yang mereka masih boleh lakukan? Bagaimanakah mereka masih boleh menyumbang secara bermakna dalam masyarakat dengan keadaan mereka sekarang?” terang beliau.
Antara pesakit yang Cik Fahria bantu termasuk mereka yang mengalami angin ahmar, patah tulang akibat nahas jalan raya atau terjatuh, serta warga emas yang hilang keupayaan fizikal selepas lama terlantar di hospital.
Mereka terdiri daripada individu muda dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an tahun yang mengalami angin ahmar ketika berada di kemuncak kerjaya, sehinggalah warga emas berusia lebih 90 tahun yang menjalani terapi pemulihan.
Menurut beliau, ada dalam kalangan pesakit yang berdepan jalan buntu atau putus asa semasa menjalani proses pemulihan.
“Ada yang boleh menerima keadaan mereka dan mula menyesuaikan diri serta menurut nasihat yang diberi.
“Namun, ada juga pesakit yang berasa kecewa dan berasakan diri mereka sebagai satu beban.
“Dalam situasi sebegini, kami akan merujuk mereka kepada pasukan penjagaan dan kaunseling kami yang akan memberi mereka sokongan emosi dan psikologi tambahan,” ujar beliau.
Di samping menjaga kebajikan pesakit, beliau membimbing ahli fisioterapi muda, seperti memberi tunjuk ajar dalam amalan klinikal dan mengamalkan teknik “lihat dan lakukan bersama” melalui pengalaman secara langsung.
Ini termasuk mengendalikan sesi rawatan secara bersama dalam menangani kes mencabar atau rumit dalam pengurusan pesakit, serta cara menyampaikan berita sukar secara bertahap dengan mengambil kira perasaan dan penerimaan pesakit serta keluarga mereka.
Mengimbas satu peristiwa, Cik Fahria berkongsi bagaimana seorang ahli fisioterapi lebih muda terus memberitahu keluarga pesakit tentang keadaan sebenar pada hari pertama, menyebabkan keluarga itu berasa sedih.
“Kadangkala, perkara seperti ini tidak diajar di sekolah. Apabila ia berlaku, saya akan jadikan ia sebagai pengajaran untuk menti saya dari segi cara menyampaikan berita itu dengan lebih baik.
“Mereka akan kata itu adalah hakikatnya. Benar, tetapi masanya mungkin belum sesuai,” jelas beliau.
Oleh itu, Cik Fahria menambah bahawa adalah penting untuk menunjukkan dahulu usaha yang sedang dilakukan, seperti rutin fisioterapi yang sesuai, sebelum membincangkan langkah seterusnya.
“Kami biasanya akan cuba dulu – beri peluang kepada pesakit dan keluarga mereka melihat sendiri kesannya.
“Kalau betul tiada perubahan, barulah kami bincangkan apa langkah seterusnya,” tambah beliau.
*Artikel ini telah dikemas kini untuk menambah ketepatannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg