Selama enam bulan, perpustakaan menjadi antara tempat yang kerap dikunjungi Ustazah Siti Aida Zulkifli, yang perlu banyak membaca demi mengumpul bahan kajian bagi projek tamat pengajian program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).

Bersama empat lagi anggota kumpulan lain – kesemuanya lelaki yang tidak dikenali beliau sebelum ini – Ustazah Siti Aida mendalami pemikiran sosioagama tokoh ulama setempat sekitar 1950-an dan 1960-an, khususnya Ustaz Ahmad Lutfi (Syed Abdullah Al-Edrus) dan Ustaz Abdullah Basmeih.

Kajian tersebut meneliti peranan penting kedua-dua tokoh itu dalam membimbing masyarakat Islam Singapura menerusi penulisan mereka dalam majalah agama, Majalah Al-Qalam.

Secara khusus, penyelidikan itu fokus terhadap usaha mereka memperkukuh akidah Islam serta menangani ajaran sesat pada zaman tersebut.

“Anggota kumpulan projek saya yang lain ada komitmen kerja, salah seorang daripada mereka juga mempunyai keperluan khas... jadi ia agak sukar bagi kami.

“Namun, apa pun, kami masih perlu bekerjasama. Bagi saya, projek tamat pengajian ini merupakan perkara yang paling mencabar (dalam pengalaman PCICS) tetapi saya bersyukur kami masih dapat menyelesaikannya,” kata Ustazah Siti Aida, 25 tahun, anak bongsu daripada empat beradik.

Namun, segala jerih payah yang dilaluinya itu ternyata membuahkan hasil apabila beliau dipilih sebagai wakil pelajar (valedictorian) pada majlis penyampaian sijil yang diadakan di Grand Ballroom, Parkroyal Beach Road, pada 18 April.

Seramai 84 asatizah telah berjaya menamatkan pengajian bagi kohort tahun akademik 2024/25 di bawah PCICS kendalian Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Jumlah tersebut mencatatkan bilangan graduan tertinggi dalam majlis konvokesyen kelima program berkenaan sejak ia mula diperkenalkan.

Dengan perkembangan terbaru itu, jumlah keseluruhan graduan PCICS kini mencecah 348 asatizah sejak pelancarannya pada 2020.

Peningkatan itu mencerminkan minat yang semakin bertambah terhadap kelayakan dipertingkat bagi guru-guru agama di Singapura, menurut Muis dalam kenyataannya.

Daripada 84 graduan bagi sesi 2024/25 itu, seramai 55 asatizah hadir bagi menerima sijil tamat pengajian serta pentauliahan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Tahap 1.

Antara mereka termasuk Ustazah Hannani Rehan, 25 tahun, yang merupakan Graduan Terbaik bagi Kohort 10 PCICS, dan Ustaz Ahmad Zahid Fauzan, 28 tahun, Pelajar Terbaik dalam Metodologi Pengajaran Islam dalam Masyarakat Kontemporari.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, hadir selaku tetamu kehormat.

Bertemu media usai majlis tersebut, Dr Faishal berkata asatizah yang menerima PCICS mencerminkan usaha Singapura membangunkan pemimpin agama yang bukan sahaja fasih dalam ilmu Islam namun peka dan mampu menyantuni realiti masyarakat majmuk berbilang kaum di sini.

“Mereka memikul amanah untuk memberi bimbingan agama yang berprinsip serta praktikal bagi masyarakat kita yang moden dan majmuk.

“Tahniah sekali lagi kepada semua graduan, saya yakin mereka akan terus menyumbang kepada masyarakat dan memartabatkan tradisi keilmuan Islam di Singapura,” ujar beliau.

Sementara itu, semasa menyampaikan ucapannya pada majlis tersebut, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata amanah membimbing masyarakat Muslim bukanlah suatu tanggungjawab ringan.

“Membimbing masyarakat bukan sekadar mengetahui atau menghafal ayat-ayat Al-Quran, atau sunah Nabi saw, atau teks-teks ulama besar kita.

“Membimbing masyarakat memerlukan penghayatan yang lebih mendalam terhadap keadaan sosial, ekonomi dan politik masyarakat kita, serta dunia secara amnya. Kita telah melihat bagaimana peristiwa dan perkembangan global, terutamanya krisis, konflik dan peperangan, memberi kesan kepada kita dan mempengaruhi keagamaan kita.

“Di Singapura, kita menyedari bahawa pemahaman yang lebih holistik tentang dunia di sekeliling kita adalah perlu sebelum kita boleh mengajar dan berdakwah,” kata Dr Nazirudin.