Walaupun Masjid Darul Makmur sedang menjalani kerja peningkatan sejak Mei 2023, keperluan penerima zakat yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) kekal menjadi keutamaan untuk dibantu oleh masjid ini.

Segolongan besar penerima zakat itu terdiri daripada golongan memerlukan – termasuk warga emas yang menghidap penyakit kronik, ibu tunggal dengan anak kecil atau keluarga yang sedang menjaga anak istimewa.

Buat masa ini, walaupun masjid ini sibuk mencari dana dengan menganjurkan beberapa projek mengumpul dana, ia tetap mementingkan bantuan yang diberikan kepada penerima zakat.

Bagi memastikan keperluan mereka terpelihara, pegawai masjid bersama sukarelawan masjid yang dikenali sebagai befrienders, atau pendamping, membuat lawatan ke rumah penerima zakat pada setiap suku tahun atau tatkala penerima zakat memerlukan pertolongan.

Penolong Pegawai Pembangunan Sosial (SDO) masjid ini, Cik Norsiha Aboo Bakar, berkata setiap keluarga memerlukan sokongan berbeza. Keluarga yang layak menerima bantuan zakat akan dibantu dengan sebaiknya.

“Dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Muis, individu atau keluarga dianggap layak menerima bantuan zakat berdasarkan pendapatan per kapita (PCI) berjumlah $500 atau lebih rendah,” jelas Cik Norsiha.

Menjelaskan proses memohon bantuan zakat, Cik Norsiha berkata setiap pemohon dikehendaki membuat janji temu dengan pihak masjid. Masjid kemudian akan menilai keadaan pemohon sebelum memberi kelulusan atau sebaliknya.

Bantuan zakat yang dihulurkan kepada penerima zakat adalah dalam bentuk wang. Ada juga diberikan baucar makanan setiap bulan.

Tempoh bantuan zakat pula berdasarkan keadaan setiap pemohon – ada yang bermula dari enam bulan hingga setahun. Penerima zakat kemudian dikehendaki memperbaharui permohonan bantuan zakat setiap tahun.

Menurut Cik Norsiha lagi, biarpun segolongan besar penerima zakat terdiri daripada warga emas atau mereka yang menghidapi penyakit kronik dan sukar bekerja, ada juga penerima zakat yang berusaha untuk berdikari.

Misalnya, dalam kalangan penerima zakat di kawasan Yishun dan Khatib kendalian Masjid Darul Makmur, terdapat seorang ibu tunggal dengan empat anak kecil.

Beliau mempunyai semangat kental dan berusaha mencari penjaga buat anak-anaknya dengan menghantar mereka ke pusat penjagaan kanak-kanak. Usaha ini diambil supaya beliau boleh bekerja dan menampung sebahagian daripada perbelanjaan keperluannya sendiri.

“Kisah ibu tunggal itu adalah satu inspirasi kerana beliau tidak bergantung sepenuhnya pada bantuan zakat dan mempunyai tekad berdikari.

“Terdapat juga penerima zakat yang menarik balik permohonan setelah dapat berdikari dan ingin bantuan seperti ini diberi kepada golongan yang sangat memerlukan,” kata Cik Norsiha.

Di samping memberi bantuan kewangan kepada penerima zakat, Masjid Darul Makmur juga mengadakan pelbagai program sebagai satu usaha untuk menerapkan nilai-nilai dan pendidikan Islam dalam kalangan penerima zakat.

Masjid biasanya akan memberitahu penerima zakat tentang acara-acara sambutan Islam yang utama, bengkel menjelang Ramadan, program cuti sekolah buat kanak-kanak penerima zakat, kelas mengaji dan bengkel keibubapaan.

“Menerusi pelbagai program berpendidikan Islam ini, kami berharap golongan penerima zakat dapat meraih manfaat,” ujar Cik Norsiha.

Masjid Darul Makmur turut menawarkan khidmat lain kepada penerima zakat seperti klinik guaman percuma, membantu mereka berhubung kait dengan Pejabat Khidmat Sosial (SSO) dan juga khidmat kaunseling secara percuma kepada penerima zakat dan masyarakat umum.

Cik Norsiha menambah, usaha membantu penerima zakat itu sama-sama dijayakan dengan sumbangan tenaga sukarelawan masjid, Pendamping Masjid Darul Makmur.

Masjid itu mempunyai sekitar 15 pendamping dengan sebahagian besar berusia 40 tahun ke atas.

“Pendamping Masjid Darul Makmur dianggap sebagai sayap kami kerana mereka mendampingi penerima zakat dan membantu menyampaikan apa sahaja kesukaran yang dialami penerima zakat kepada masjid,” kata Cik Norsiha.

Katanya lagi, pasukan pendamping itu berbakti dengan meluangkan masa dan tenaga dengan mendekati penerima zakat.

Antara projek mengumpul dana yang telah dianjurkan masjid ialah Projek Ibadah Korban yang dilakukan di Australia dan Indonesia.

“Masjid amat berterima kasih terhadap sokongan masyarakat bagi Projek Ibadah Korban yang dilakukan di Australia.

“Daging korban yang dibawa balik ke Singapura telah kami agihkan kepada lebih 150 keluarga penerima zakat yang berdaftar bersama kami, pada 28 Jun,” tambahnya.

SUMBANGAN DERMA

Sumbangan derma untuk Dana Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui:

1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001.

3. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.

4. Hadir di pejabat sementara masjid di Masjid Assyafaah pada waktu pejabat.

5. Hubungi pejabat masjid di talian 6752-1402 untuk pengambilan derma $500 ke atas dari rumah.

6. Layari laman web, https://campaigns.darulmakmur.sg

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan