Varian Covid-19, XFG, yang dikesan baru-baru ini di Malaysia kini merupakan strain utama jangkitan tersebut di Singapura.
Namun, negara ini tiada rancangan untuk mengenakan langkah kesihatan awam tambahan, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA).
Bukti setakat ini tidak menunjukkan bahawa XFG menyebabkan penyakit lebih teruk berbanding varian sebelum ini, kata agensi tersebut.
Menjawab pertanyaan media, CDA pada 20 September berkata varian baru ini kali pertama dikesan di Singapura pada April.
Pada 7 hingga 13 September, varian XFG menyumbang lebih dua pertiga daripada contoh tempatan yang dianalisis, menurut CDA.
“Jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat pada minggu yang sama dianggarkan rendah,” tambah agensi itu.
XFG merupakan cabang JN.1, dan kedua-duanya ialah varian yang bersumber daripada strain virus Sars-CoV-2 Omicron.
CDA berkata vaksin Covid-19 yang diluluskan dijangka masih berkesan dalam memberi perlindungan daripada penyakit teruk akibat varian baru.
Agensi itu mengesyorkan pengambilan vaksinasi Covid-19 bagi mereka yang berisiko tinggi mengalami penyakit teruk akibat jangkitan tersebut.
Ini termasuk individu berumur 60 tahun dan ke atas, serta petugas kesihatan dan mereka yang tinggal atau bekerja dengan individu yang lebih terdedah kepada jangkitan, lapor The Straits Times (ST).
Mereka yang mengalami gejala jangkitan pernafasan akut ringan dinasihatkan agar tidak keluar dari rumah sehingga simptom reda, kata CDA.
Individu yang terpaksa keluar ketika masih mengalami simptom Covid-19, digalakkan mengurangkan interaksi sosial dan memakai pelitup muka.
CDA menambah bahawa ia sedang memantau dengan teliti situasi Covid-19 di peringkat sejagat dan tempatan.
Menteri Kesihatan Malaysia, Encik Dzulkefly Ahmad, berkata pada 19 September bahawa varian XFG telah dikesan di Malaysia, dan ia menyumbang 8.2 peratus daripada 43,087 kes terkumpul yang dilaporkan pada minggu epidemiologi ke-35.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 25 Jun telah mengklasifikasikan varian XFG sebagai ‘varian di bawah pemantauan’ kerana kadar penularannya yang tinggi dan kemampuan lebih tinggi untuk mengatasi sistem imun tubuh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg