Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian tekan kepentingan salur bantuan kepada Gaza selagi gencatan senjata kekal

Cek $642,000 akan diserah kepada Program Makanan Sedunia untuk bantu mangsa perang Gaza
Nov 3, 2025 | 6:00 PM
Masjid Al-Aqsa, Baitulmakdis, Vivian Balakrishnan
Kubah al-Sakhrah atau ‘Dome of the Rock’ yang terletak di pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis. - Foto BH oleh NORMAN SAWI

Fasa pertama gencatan senjata di Gaza yang rapuh, tetapi masih kekal hingga ke hari ini, merupakan tempoh penting dalam memperkukuh keamanan yang wujud dan menyalurkan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan di sana, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Dr Balakrishnan berkata demikian dalam satu hantaran di media sosial sedang beliau dalam perjalanan ke Wilayah Palestin dan Israel untuk mengadakan lawatan kerja, antara 3 dengan 6 November.

Semasa lawatan itu, Dr Balakrishnan akan menyerahkan cek bernilai AS$500,000 ($642,000) kepada Program Makanan Sedunia bagi menyokong usaha badan itu yang penting dan amat diperlukan, kata beliau.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan berlakunya kebuluran di Gaza, pada 22 Ogos.

Berkongsi lanjut, Dr Balakrishnan berkata melebihi bantuan kemanusiaan segera, Singapura akan terus menyokong program membina keupayaan Penguasa Palestin dan membantu usaha antarabangsa dalam membangun semula Gaza dalam jangka panjang.

Dr Balakrishnan berkata Singapura mempunyai hubungan dan tahap kepercayaan yang baik dengan kededua pihak dalam konflik Israel-Palestin yang berlarutan dan tragik itu.

“Ini membolehkan kami memahami dengan lebih baik keadaan di sana dan memberi sumbangan secara membina.

“Kami terus menekankan lagi sokongan bagi penyelesaian dua negara yang dirundingkan, selaras dengan huraian Majlis Keselamatan PBB, sebagai satu-satunya laluan mencapai keamanan yang adil dan berkekalan,” ujar beliau.

Lawatan Dr Balakrishnan ke Wilayah Palestin dan Israel diadakan kurang sebulan selepas fasa pertama gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Gaza dilaksanakan pada 10 Oktober.

Dalam kenyataannya pada 3 November, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata lawatan Dr Balakrishnan itu menekankan lagi komitmen Singapura untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada warga Palestin yang menjadi mangsa perang di Gaza.

Turut menyertai rombongan MFA adalah dua Anggota Parlimen (AP), iaitu AP GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim, dan AP Yio Chu Kang, Encik Yip Hon Weng.

Encik Yip juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Pertahanan dan Ehwal Luar, yang turut dianggotai Cik Hazlina.

Buat masa ini, Singapura telah menghantar 10 pakej bantuan kemanusiaan bernilai lebih $24 juta untuk membantu warga awam Palestin.

Ini termasuk bantuan yang digugurkan dua kali dari udara oleh Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan pengerahan pasukan perubatan bagi merawat mangsa.

Negara ini akan menghantar satu lagi pasukan perubatan ke Mesir untuk merawat pelarian Palestin di sana, selain menyediakan alat prostetik atau anggota badan palsu untuk sekitar 100 rakyat Palestin di Gaza dan Jordan.

Berkongsi pandangannya menerusi dialog, Gaza Dari Lensa Kita, anjuran bersama akhbar Berita Harian (BH) dan Lianhe Zaobao (ZB) baru-baru ini, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata Singapura akan berusaha sedaya upaya untuk membantu mangsa dan membawa perubahan di Gaza.

Buat masa ini, Singapura telah mengumumkan beberapa usaha untuk membantu Gaza, termasuk daya usaha bernilai $10 juta di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) yang bertujuan membantu Penguasa Palestin membina keupayaan pegawai awam.

Ia juga bakal melancarkan dua usaha baru pada 2026, termasuk kolaborasi dengan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun untuk melatih polis di Palestin dan menganjurkam program perkongsian berkenaan pentadbiran awam untuk pemimpin muda dari Palestin.

Selain usaha pemerintah, warga Singapura serta agensi bantuan dan kemanusiaan setempat giat menghulur bantuan untuk Gaza.

Setakat ini, Palang Merah Singapura (SRC) telah menyumbang $1.9 juta dalam bantuan kemanusiaan, termasuk bekalan makanan, perubatan, khemah dan sokongan kesihatan mental, yang disalurkan melalui Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Ia sedang mengadakan kutipan derma keempat untuk Gaza yang dijadual berakhir 30 April 2026.

Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) pula, bersama rakan kerjasamanya, mengumpulkan $15 juta untuk Gaza sejak 2023.

Selain itu, warga Singapura juga telah menderma untuk membiaya kos pengajian ijazah sarjana dan sarjana muda tiga pelajar dari Palestin di sini, menerusi Inisiatif Biasiswa Palestin.

Pada 7 Oktober 2023, Hamas menyerang Israel dan membunuh 1,200 orang dan menculik lagi 251 individu.

Serangan itu mencetus serangan balas oleh Israel di Gaza, membunuh lebih 68,000 warga Palestin, termasuk kanak-kanak.

Angka ini merangkumi sekitar 200 warga Palestin yang terbunuh selepas gencatan senjata dilaksana, menurut BBC.

Di bawah perjanjian gencatan senjata, Hamas telah menyerahkan kepada Israel semua 20 tebusan yang masih hidup dan 20 daripada 28 mayat tebusan yang masih di bawah kuasanya.

Israel bersetuju melepaskan hampir 2,000 warga Palestin yang dipenjarakan dan tahanan semasa perang.

Namun, kededua Israel dan Palestin masing-masing masih terus saling menuduh berhubung pelanggaran gencatan senjata.

Bercakap di Parlimen pada September, Dr Balakrishnan berkata Singapura akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara apabila ia mempunyai pemerintah berkesan yang menerima hak Israel untuk wujud dan menolak pengganasan sepenuhnya. 

Bagaimanapun, keputusan itu akan dipertimbangkan semula jika keadaan terus meruncing atau jika Israel mengorak langkah lanjut untuk menghapuskan huraian dua negara.

Dr Balakrishnan juga berkata Singapura akan mengenakan sekatan ke atas pemimpin kumpulan petempatan sayap kanan radikal yang bertindak ganas terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg