Golongan belia yang sedang mencari pekerjaan kini berpeluang meneroka pelbagai pilihan kerjaya melalui wadah sehenti, Career Launch @ South East.
Inisiatif Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East itu menghubungkan belia dengan peluang pekerjaan merentas pelbagai sektor.
Ia turut menyediakan bimbingan kerjaya serta pandangan industri untuk membantu mereka mengemudi pasaran kerja yang sentiasa berubah.
Acara tersebut berlangsung dari 27 Oktober hingga 2 November di pusat beli-belah Parkway Parade.
Lebih 30 majikan dan penyedia latihan daripada pelbagai sektor termasuk penjagaan kesihatan, kewangan dan hospitaliti akan turut serta.
Setiap hari, acara itu akan memberi tumpuan kepada industri tertentu bagi meningkatkan interaksi yang lebih bermakna, dengan tujuan membantu peserta meneroka pelbagai laluan kerjaya dalam bidang diminati.
“Mencari pekerjaan yang benar-benar sepadan dengan kemahiran dan kelayakan, sambil berdepan tekanan untuk segera mendapat kerja, bukanlah sesuatu yang mudah.
“Pameran kerjaya untuk belia akan bermanfaat jika ia dapat menghubungkan kami dengan syarikat yang benar-benar ingin mengambil tenaga kerja muda, sambil memberikan panduan untuk memulakan kerjaya kami,” kata pelajar institut pengajian tinggi yang akan menamatkan pengajian pada 2025, Cik Rachel Lim.
Career Launch @ South East menampilkan tiga komponen utama bagi membimbing golongan belia daripada peringkat penerokaan kerjaya hingga ke peluang pekerjaan sebenar.
Komponen pertama adalah ‘Nasihat Kerjaya dan Kemahiran’.
Peserta boleh mendapatkan bimbingan kerjaya peribadi melalui sesi perundingan individu bersama jurulatih kerjaya, semakan resume, dan temu duga percubaan.
Selain itu, terdapat juga komponen, ‘Sesi Perkongsian, Jaringan dan Kegiatan’, di mana peserta boleh mendapatkan pandangan berharga daripada pengamal industri, selain berpeluang berinteraksi terus dengan pihak majikan.
Komponen, ‘Pameran Kerjaya dan Reruai Kemahiran’ pula membolehkan belia meneroka peluang pekerjaan dan latihan peningkatan kemahiran yang ditawarkan, serta menjalani temu duga segera bersama majikan yang sedang mencari calon sesuai.
“Saya berharap dapat mewujudkan lebih banyak laluan kerjaya untuk penduduk muda di daerah ini, agar mereka mempunyai alat dan sumber yang diperlukan untuk mempelajari kemahiran baru dan membina kerjaya mereka,” ujar Mayor CDC South East, Encik Dinesh Vasu Dash.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg