Agensi Tenaga Kerja, Kemahiran S’pura bakal ditubuh suku ketiga 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agensi Tenaga Kerja, Kemahiran S’pura bakal ditubuh suku ketiga 2026

Hasil gabungan SkillsFuture Singapura (SSG) dan Tenaga Kerja Singapura (WSG), agensi baru akan perkasa rakyat S’pura raih kemahiran masa depan, rebut peluang kerja
Mar 3, 2026 | 5:15 PM

Agensi Tenaga Kerja, Kemahiran S’pura bakal ditubuh suku ketiga 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, WWSG, SSG, WSG, COS
Agensi Tenaga Kerja dan Kemahiran Singapura (WSSG) yang baru akan dibentuk pada suku ketiga 2026 hasil gabungan dua agensi sedia ada – SkillsFuture Singapura (SSG) dan Tenaga Kerja Singapura (WSG). Gambar menunjukkan pengunjung di pameran ‘My Career Health Matters: SkillsFuture Singapore (SSG) and Workforce Singapore (WSG) Jobs and Skills’ pada November 2025. - Foto fail

Sebuah lembaga berkanun baru dipanggil Agensi Tenaga Kerja dan Kemahiran Singapura (WSSG) akan dibentuk pada suku ketiga 2026, umum Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Pembentukan lembaga berkanun baru itu adalah hasil gabungan dua agensi sedia ada – SkillsFuture Singapura (SSG) dan Tenaga Kerja Singapura (WSG) – yang diumumkan semasa Belanjawan 2026.

Agensi baru itu akan berada di bawah Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan diselia bersama dengan Kementerian Pendidikan (MOE).

Ia akan diterajui ketua eksekutif semasa WSG, Cik Dilys Boey.

Ketika ini, WSG merupakan badan berkanun di bawah MOM, manakala SSG di bawah MOE.

Berkongsi butiran dan misi agensi baru itu di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MOM di Parlimen pada 3 Mac, Dr Tan berkata:

“Misinya adalah untuk memperkasa rakyat Singapura membangunkan kemahiran yang sedia untuk masa depan dan mengakses peluang kerja yang baik; membolehkan perniagaan mewujudkan pekerjaan baik untuk rakyat Singapura dan membangunkan tenaga kerja mereka; serta menggalak budaya pembelajaran sepanjang hayat dan kesihatan kerjaya.”

Dr Tan berkata pemerintah akan membantu pekerja melayari pasaran pekerja dengan lebih baik dan merebut peluang baru dengan yakin, terutama di tengah-tengah persekitaran sejagat yang lebih rumit dan kemajuan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi yang pesat.

WSSG akan memanfaatkan maklumat pasaran pekerja dan rangkaian industri daripada MOM supaya dapat bertindak lebih cepat kepada perubahan dalam pasaran pekerja dan ekonomi.

Pada masa sama, ia akan menggunakan kepakaran MOE dalam sistem pendidikan, termasuk Institut Pengajian Tinggi (IHL), yang akan terus memainkan peranan besar dalam menyediakan kursus Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET).

Langkah menggabungkan SSG dan WSG menjadi satu agensi baru itu justeru akan mewujudkan “nadi penggerak tunggal yang berkuasa untuk pembangunan modal insan”, jelas Dr Tan.

WSSG akan bekerjasama dengan agensi lain dan pihak berkepentingan demi memberi manfaat kepada kedua-dua pekerja dan majikan.

Bagi pekerja, ini bermakna mereka mempunyai akses lebih mudah dan sokongan kerjaya lebih bersepadu dalam pasaran kerja yang berubah pantas, kata Dr Tan.

“Ia bermakna satu laman web tunggal untuk mengakses latihan, bimbingan kerjaya dan peluang pekerjaan, tanpa perlu berurusan dengan pelbagai agensi.

“Dengan menggabungkan data kerjaya dan kemahiran, kami dapat memberikan gambaran lebih jelas tentang peluang yang ada, sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan kerjaya dan latihan yang lebih baik,” tambah beliau.

Bagi majikan pula, penggabungan dua agensi tersebut akan membantu pemerintah menjadi lebih responsif terhadap keperluan bakat mereka.

WSSG boleh membantu mengurangkan ketidakpadanan kemahiran serta memendekkan masa untuk mengambil pekerja dengan maklumat pasaran pekerja dan kemahiran lebih tepat pada masanya dan menyeluruh.

“Langkah mewujudkan satu pusat hubungan tunggal juga akan memudahkan cara kami menyokong perniagaan dalam menangani keperluan pengambilan pekerja, latihan dan transformasi tenaga kerja,” kata Dr Tan.

WSSG juga akan memainkan peranan penting dalam memperluas gerakan kesihatan kerjaya, iaitu usaha yang melangkaui sekadar pemadanan kerja secara reaktif kepada perancangan kerjaya yang proaktif.

Dr Tan menyenaraikan beberapa inisiatif bagi pekerja dan majikan dalam gerakan kesihatan kerjaya, termasuk Career Health SG, yang dilancarkan pada 2025.

Sambutan bagi Career Health SG adalah menggalakkan, dengan hampir dua pertiga pekerja kini melihat nilai dalam mempertingkat kesihatan kerjaya mereka.

Beberapa alat praktikal juga telah dibangunkan untuk membantu rakyat Singapura dalam kesihatan kerjaya, seperti Pasport Kerjaya dan Kemahiran (CSP) yang membantu menilai kemahiran yang dimiliki, manakala CareersFinders pula membantu mencari pilihan kerja yang mungkin tidak pernah dipertimbangkan sebelum ini.

Dr Tan menambah bahawa sejak CSP disepadukan dengan laman kerja seperti JobStreet dan FastJobs, pihak rakan kongsi mendapati permohonan kerja yang disertakan dengan sijil atau kelayakan yang sah adalah 1.5 kali lebih kemungkinan disenarai pendek oleh majikan.

Usaha sedang dijalankan untuk memperluas kerjasama CSP ke lima lagi laman kerja lain – MyCareersFuture, Careers@Gov, EASE, FindSGJobs, dan eFinancialCareers, kata Dr Tan.

Ini selain menyepadukan alat itu dengan platform JobTech oleh firma teknologi sumber manusia (HR) yang membolehkan majikan mencari calon pekerja berdasarkan data kemahiran yang disahkan.

Bagi majikan pula, terdapat alat seperti TalentTrack and TalentTrack+ bagi membantu menilai kesediaan tenaga kerja dan mengenal pasti bakat dalam syarikat untuk peranan baru.

Dr Tan menambah bahawa WSSG juga akan membantu memperkukuh ekosistem penyedia khidmat kerjaya dan pekerjaan bagi memenuhi keperluan segmen tenaga kerja yang berbeza dengan lebih berkesan.

Dalam usaha itu, pemerintah telah membentuk Perikatan untuk Bertindak mengenai Memajukan Perkhidmatan Kerjaya dan Pekerjaan (AfA-ACES) pada September 2025.

Menurut beliau, sembilan inisiatif perintis akan dilancarkan bersama rakan sektor swasta di bawah kumpulan kerja itu untuk menguji khidmat baru, merangkumi pelbagai segmen individu dan majikan.

Contohnya, mereka akan menguji khidmat yang menggabungkan bimbingan kerjaya dan pendedahan industri untuk menyokong peralihan dari sekolah ke kerja bagi lulusan baru.

“Kumpulan kerja ini akan berkongsi saranannya dalam separuh kedua tahun ini (2026),” kata beliau.

“Misinya adalah untuk memperkasa rakyat Singapura membangunkan kemahiran yang sedia untuk masa depan dan mengakses peluang kerja yang baik; membolehkan perniagaan mewujudkan pekerjaan baik untuk rakyat Singapura dan membangunkan tenaga kerja mereka; dan menggalak budaya pembelajaran sepanjang hayat dan kesihatan kerjaya.”
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg