Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura sahut rintihan mangsa banjir Aceh, gerakkan misi kemanusiaan

Pengasas Gulf-Asean Exchange hulur bantuan ekoran prihatin tiada bantuan skala antarabangsa digerak secara rasmi
Jan 2, 2026 | 6:14 PM
khai asyraf, gulf-asean exchange, aceh,
Pengasas Gulf-Asean Exchange, Encik Khai Asyraf (dua dari kanan), berada di Banda Aceh dengan misi kemanusiaan untuk membantu mangs banjir di Aceh. - Foto ihsan KHAI ASYRAF

Penduduk di Aceh, Indonesia, telah mengibarkan bendera putih sebagai tanda mereka tidak lagi mampu menanggung beban berat yang menyukarkan kehidupan dek banjir berpanjangan.

Meskipun, jalan raya dan beberapa wilayah terus dibanjiri hujan tanpa henti, seorang individu dari Singapura, berbekalkan semangat, muncul memikul tanggungjawab kemanusiaan dengan memulakan satu usaha bantuan di Aceh.

Pengasas wadah perbincangan perniagaan dan dasar rentas rantau, Gulf-Asean Exchange, Encik Khai Asyraf, 39 tahun, yang telah berada di Banda Aceh, berkongsi pengalamannya dengan Berita Harian (BH), sambil menceritakan tentang kemusnahan yang disaksikan ketika memulakan kerja kemanusiaan di lapangan, baru-baru ini.

“Projek bantuan ini bertujuan sebagai memberi respons pantas dan fleksibel, bukan sebagai satu inisiatif kebajikan yang berstruktur.

“Banjir ini tidak diisytiharkan sebagai darurat nasional… bermakna mekanisme bantuan kemanusiaan antarabangsa berskala besar tidak digerakkan secara rasmi, walaupun keperluan di lapangan masih amat mendesak, khususnya di kawasan yang sukar diakses,” katanya.

Susulan Taufan Senyar pada November lalu (2025), bencana banjir besar telah meragut lebih 1,000 nyawa dan menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal di seluruh Pulau Sumatera.

Di Aceh pula, wilayah yang paling terjejas, mencatat hampir separuh daripada jumlah korban – ramai penduduk masih bergelut tanpa bekalan air bersih, makanan, bekalan elektrik dan keperluan perubatan, yang mencukupi.

Ketika menetap berdekatan Masjid Raya Baiturrahman di Banda Aceh, Encik Khai menyaksikan sendiri wajah penduduk setempat yang letih dan dimamah duka, ketika kesan kemusnahan yang meluas terus membebani kampung dan masyarakat mereka.

Bagi beliau, usaha untuk menembusi kawasan terpencil menjadi satu cabaran besar, apabila banyak jalan masih tidak dapat dilalui dan bantuan amat diperlukan dengan segera.

“Peranan saya bukan untuk mengendalikan satu program, tetapi untuk menjadi penghubung kerjasama agar sumber yang terhad dapat disalurkan kepada lebih ramai orang, secara langsung dan lebih berkesan,” ujarnya.

Ini melibatkan penyelarasan melalui rakan di Aceh yang dipercayai dan keupayaan bekerjasama dengan pemimpin masyarakat dan rangkaian pelajar termasuk Pengerusi Forum Mahasiswa Aceh Dunia (Formad), Encik Hafiz Akbar, yang sedang mengagihkan bantuan di Aceh Tamiang, sebuah kawasan yang tidak dapat dikunjungi Encik Khai akibat penutupan jalan. 

Selain itu, kerjasama turut dijalin dengan pertubuhan kemanusiaan, seperti pasukan tempatan Global Ehsan Relief Worldwide, yang mengendalikan pengagihan bantuan di Bireuen.

Usaha itu memastikan bantuan sampai ke pelbagai kawasan terjejas secara langsung.

View post on Instagram
 

Jauh sebelum dilanda banjir pada November 2025, Aceh telah lama mempunyai tempat yang istimewa di lubuk hati Encik Khai.

Susulan tragedi tsunami Disember 2004, Encik Khai, yang ketika itu berusia 19 tahun, pernah menjadi sukarelawan di sebuah madrasah anak yatim. 

Di situlah, beliau mendekati sekumpulan kanak-kanak Aceh dan menjalin ikatan yang mendalam.

Malah, beliau tidak rasa dibebani dengan tanggungjawab menceriakan kanak-kanak itu. 

Dalam diam, beliau berjanji kepada diri sendiri jika bencana menimpa lagi, beliau akan kembali untuk membantu mereka.

“Saya sekadar melakukan tanggungjawab saya melalui kerja kemasyarakatan yang sebati dalam hidup saya. Ia pernah saya lakukan sebelum ini. Lantas, saya membantu setakat yang mampu,” katanya lagi.

Sejak keberangkatannya ke Aceh pada 28 Disember, bantuan telah disalurkan di Pidie Jaya, merangkumi sekurang-kurangnya lima pusat penyelarasan atau bantuan sementara, yang didirikan semasa kecemasan hasil kerjasama dengan Global Ehsan Relief Worldwide.

Di Bireuen, empat pusat sementara juga mendapat bantuan bagi melegakan kesulitan.

Sokongan turut disalurkan ke Aceh Tamiang melalui Formad, memandangkan kekangan akses semasa yang memerlukan perjalanan melalui Medan.

Sumbangan yang dikumpulkan daripada rangkaian peribadi tertutup, kongsi Encik Khai, digunakan untuk menyediakan keperluan bantuan asas seperti beras, lampin, tuala wanita, barangan kebersihan diri serta snek untuk kanak-kanak. 

Dana tersebut turut dimanfaatkan bagi menampung kos pengangkutan dan logistik bagi menembusi kawasan terjejas.

Sebahagian sumbangan itu juga diperuntukkan bagi infaq Al-Quran melalui masjid dan meunasah (surau masyarakat kecil), yang turut dijadikan tempat perlindungan tidak rasmi atau pusat pengagihan bantuan.

“Harapan saya agar usaha ini dapat menyingkap realiti sebenar di lapangan, memelihara amanah yang diberikan kepada saya melalui ketelusan, dan meringankan beban mereka walaupun sedikit. 

“Saya juga harap ia dapat menggalakkan penyelarasan yang lebih erat antara para penggerak bantuan kemanusiaan, di mana-mana sahaja.

“Keperluan berterusan terhadap bekalan makanan asas dan air bersih kekal kritikal, di samping sokongan perubatan, khususnya bagi kanak-kanak yang mengalami jangkitan pascabanjir dan masalah kulit,” tambahnya.

“Saya juga harap ia dapat menggalakkan penyelarasan yang lebih erat antara para penggerak bantuan kemanusiaan, di mana-mana sahaja. Keperluan berterusan terhadap bekalan makanan asas dan air bersih kekal kritikal, di samping sokongan perubatan, khususnya bagi kanak-kanak yang mengalami jangkitan pascabanjir dan masalah kulit.”
Encik Khai Asyraf, pengasas wadah perbincangan perniagaan dan dasar rentas rantau, Gulf-Asean Exchange.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg