WP tolak tawaran calonkan Ketua Pembangkang baru ganti Pritam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WP tolak tawaran calonkan Ketua Pembangkang baru ganti Pritam

Pemerintah terima keputusan WP
Jan 21, 2026 | 6:52 PM

WP tolak tawaran calonkan Ketua Pembangkang baru ganti Pritam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
krisis, ketua pembangkang, WP, lawrence wong, pritam singh
Parti Pekerja (WP) tidak mencalonkan Anggota Parlimen (AP) lain untuk mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang (LO) setelah Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh dilucutkan daripada jawatan LO pada 15 Januari. - Foto fail

Parti Pekerja (WP) telah menolak tawaran Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, untuk menamakan seorang Anggota Parlimen (AP) daripada parti itu sebagai calon Ketua Pembangkang (LO).

Dalam kenyataannya pada 21 Januari, WP berkata ia menganggap ketua parti pembangkang terbesar di Parlimen sebagai Ketua Pembangkang.

“Dengan itu, WP telah menyampaikan kepada Perdana Menteri bahawa kami tidak akan menamakan sebagai calon seorang lagi anggota WP di Parlimen untuk menggalas jawatan Ketua Pembangkang,” kata WP.

Berikutan kenyataan WP itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata pemerintah menerima keputusan parti tersebut.

PM Wong telah melucutkan jawatan LO daripada Encik Pritam selepas Parlimen, pada 14 Januari, mendapati Encik Pritam tidak lagi layak menggalas tugas tersebut.

Keputusan Parlimen itu menyusuli perbahasan satu usul yang dibentangkan Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah untuk membahaskan sama ada Encik Pritam masih sesuai untuk meneruskan peranannya sebagai LO.

Usul itu dibentangkan susulan sabitannya berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).

Encik Pritam telah disabitkan kesalahan di Mahkamah Daerah kerana berbohong di bawah sumpah ketika memberi keterangan kepada COP – satu penghakiman yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau juga didapati oleh jawatankuasa itu telah membimbing bekas AP partinya, Cik Raeesah Khan, untuk meneruskan pembohongan yang diberitahu di Parlimen.

Respons WP pada 21 Januari diberikan hampir seminggu selepas Encik Wong mengirimkan surat kepada jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti tersebut meminta mereka mencalonkan seseorang AP WP yang boleh mengambil alih jawatan LO yang telah dikosongkan.

WP berkata penubuhan pejabat LO merupakan “satu langkah ke hadapan dalam pembangunan politik kita”.

Ia menambah bahawa parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), telah memperkenalkan jawatan LO pada 2020 “kononnya akibat daripada pengiktirafan keinginan yang kuat dalam kalangan warga Singapura untuk kepelbagaian pandangan yang lebih besar dalam politik”.

WP berkata pelantikan LO biasanya dilanjutkan kepada ketua parti pembangkang terbesar di Parlimen atau diputuskan oleh parti pembangkang tersebut.

“Adalah penting untuk menegaskan semula bahawa pelantikan LO di Parlimen timbul daripada kejayaan politik pembangkang di kotak undi. Undi oleh rakyat yang menjelaskan kehadiran AP pembangkang di Parlimen,” tambah kenyataan itu.

Parti tersebut turut memberi contoh sistem parlimen Westminster lain di mana jawatan LO ditubuhkan oleh undang-undang dan bukanlah hak eksklusif atau pilihan pemerintah semasa atau Perdana Menteri.

“Pendekatan ini menunjukkan kuasa dan kesucian undi rakyat,” kata WP.

Dalam kenyataan PMO yang dikeluarkan, ia berkata pemilihan ketua parti pembangkang utama di Parlimen sememangnya pilihan semula jadi untuk berkhidmat sebagai LO.

Dalam pada itu WP menambah bahawa meskipun ia tidak akan melantik LO baru, ia akan tetap meneruskan usahanya bagi rakyat Singapura.

“Kami terus fokus pada tugas utama kami, untuk bekerja bagi rakyat Singapura dan menyediakan pengawasan yang rasional, bertanggungjawab dan terhormat terhadap pemerintah,” kata parti tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg