Mungkin ada yang fikir bahawa Perdana Menteri baru Singapura, Encik Lawrence Wong, adalah seorang yang ‘sangat lembut dan lebih peramah’ berbanding para Perdana Menteri sebelumnya, tetapi sebenarnya beliau juga memiliki pendirian yang tegas, kata mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) dalam satu wawancara eksklusif pada 10 Mei, Dr Yaacob berkata Encik Wong mempunyai gaya tersendiri dan beliau telah melihat dengan sendiri ketegasannya dalam melakukan tugas semasa mereka bekerja bersama dahulu.
“Saya rasa kadang-kadang orang ‘terpedaya’ dengan caranya yang sangat lembut dan lebih peramah. Beliau sebenarnya tegas dalam menjalankan tugas. Jangan lupa, beliau pernah menjadi timbalan saya. Kami bekerja bersama sebelum ini.
“Ketika itu beliau adalah Menteri Kedua MCI (Kementerian Perhubungan dan Penerangan), dan sebelum itu, sebagai Menteri Negara Kanan.
“Saya mengenalinya sejak beliau bertugas sebagai setiausaha peribadi Encik Lee Hsien Loong. Kami pernah bekerjasama dalam beberapa projek Mendaki yang Encik Lee mahukan. Jadi, saya dapat melihat ketegasannya dalam menjalankan tugas dan ketegasan ini juga telah berkembang dari masa ke masa,” kata beliau.
Dr Yaacob menyertai politik pada 1997 dan telah menerajui beberapa kementerian sebagai Menteri sebelum beliau bersara daripada Kabinet pada 2018.
Antara jawatan yang disandangnya ialah sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan dari 2011 hingga 2018.
Encik Wong pernah bertugas bersama Dr Yaacob dalam kementerian yang sama, pertama sebagai Menteri Negara Kanan pada 2012, dan kemudian sebagai Menteri Kedua kementerian tersebut dari 2014 dan 2015.
“Caranya mungkin berbeza daripada Encik Lee Kuan Yew, Encik Goh Chok Tong atau Encik Lee Hsien Loong. Saya secara peribadi mahu beliau mencari gayanya sendiri untuk melakukan sesuatu.
“Beliau mungkin tidak akan memimpin mengikut gaya Encik Lee Kuan Yew. Beliau akan melakukannya dengan gaya dan caranya tersendiri untuk mendekati rakyat.
“Saya pernah melihat beliau mengambil pendirian tegas dalam beberapa proses perbincangan dan pertemuan dahulu. Dengan itu, saya yakin beliau akan maju dalam peranan barunya,” kata Dr Yaacob.
Dr Yaacob menambah bahawa Encik Wong mengambil alih jawatan Perdana Menteri dalam keadaan dunia yang lebih kompleks dan ketegangan geopolitik yang semakin mencabar.
Walaupun menghadapi “cabaran yang sukar”, Dr Yaacob berkata Encik Wong berada dalam “kedudukan permulaan yang baik” memandangkan beliau mendapat sokongan padu daripada Parti Tindakan Rakyat dan mewarisi sebuah negara yang stabil dari segi politik, berfungsi dengan baik dan mempunyai sistem tadbir urus yang betul.
“Ini bukan hanya bergantung kepada Encik Wong sahaja, malah pasukannya juga. Beliau mempunyai sebuah pasukan pemimpin yang mampu membawa Singapura ke tahap seterusnya.
“Saya mahu beliau berjaya dan saya mahu pasukannya berjaya. Kenapa? Kerana ia juga masa depan saya, masa depan anak-anak saya,” tambah Dr Yaacob.
Ketika ditanya sama ada pemimpin generasi keempat (4G) akan memimpin negara dengan cara yang lebih lembut dan populis demi untuk memikat lebih ramai hati rakyat, Dr Yaacob berkata beliau tidak fikir itu akan berlaku di bawah kepimpinan Encik Wong.
“Saya kenal Encik Wong, Encik Ong Ye Kung, Encik Chan Chun Sing. Mereka memang mudah didekati tetapi mereka juga mempunyai pendirian yang tegas dalam melaksanakan tugas masing-masing demi kepentingan negara.
“Mereka juga tahu bahawa dalam masyarakat seperti Singapura sekarang, dengan kita mempunyai golongan penduduk yang lebih muda yang berpengetahuan luas, mereka perlu lebih lembut dalam cara mereka menyampaikan sesuatu.
“Jadi saya fikir ia bukan tentang menjadi populis, tetapi memastikan pendirian mereka bernuansa dan dapat difahami oleh orang ramai. Jika anda cuba memuaskan hati semua orang, anda tidak akan boleh memuaskan hati semua orang. Ia tidak mungkin,” tambahnya.
Dr Yaacob berkata Encik Wong dan pasukan 4G-nya akan mempunyai gaya mereka tersendiri, dan beliau yakin mereka akan meninggalkan jejak mereka sendiri sebagai sebuah pasukan yang padu, kuat serta mampu membawa rakyat Singapura bersama-sama mengikuti visi mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg