Ye Kung: Keputusan ujian genetik negara tidak boleh diguna untuk insurans

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: Keputusan ujian genetik negara tidak boleh diguna untuk insurans

Hanya diagnosis perubatan perlu dinyata bagi sejarah perubatan dalam polisi insurans untuk penilaian
Jan 19, 2026 | 8:06 PM

Ye Kung: Keputusan ujian genetik negara tidak boleh diguna untuk insurans

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, Ong Ye Kung, genetic testing, MOH, insurance
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (tiga dari kiri), yang juga Menteri Penyelaras Dasar Sosial, merasmikan pembukaan Pusat Penilaian Genomik (GAC) kendalian SingHealth pada 19 Januari. Encik Ong memberi jaminan keputusan ujian genetik negara bagi individu berisiko menghidap kolesterol tinggi akibat faktor genetik, atau hiperkolesterolemia keluarga (FH), tidak akan digunakan untuk penilaian insurans. - Foto ST

Langkah perlindungan serta undang-undang baru yang bakal diperkenalkan di Singapura akan memastikan maklumat genetik pesakit tidak boleh digunakan oleh syarikat insurans perubatan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Pada pembukaan rasmi Pusat Penilaian Genomik (GAC) pertama negara di Pusat Jantung Negara (NHC), Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, memberi jaminan keputusan ujian genetik negara bagi individu berisiko menghidap kolesterol tinggi akibat faktor genetik, atau hiperkolesterolemia keluarga (FH), tidak akan digunakan untuk penilaian insurans.

FH ialah keadaan keturunan yang berpunca daripada mutasi gen, yang menjejaskan keupayaan tubuh memproses kolesterol. 

Jika tidak dirawat, paras kolesterol darah yang tinggi boleh membawa kepada masalah kesihatan serius dari masa ke masa.

Untuk penilaian insurans, hanya diagnosis perubatan, seperti hiperkolesterolemia, perlu dinyatakan dalam sejarah perubatan ketika membeli polisi insurans.

Sekiranya individu itu menjalani ujian genetik bagi FH, keputusan ujian tersebut tidak perlu didedahkan dan tidak boleh digunakan dalam penentuan insurans.

“Menjalani ujian genetik tidak akan menjejaskan kedudukan individu dalam penilaian insurans,” kata Encik Ong.

Namun, beliau menjelaskan terdapat pengecualian di mana syarikat insurans boleh meminta maklumat tambahan, termasuk keputusan ujian genetik, bagi mencegah penyalahgunaan perlindungan insurans.

Sebagai contoh, individu yang mengetahui dirinya membawa mutasi genetik berisiko penyakit serius mungkin terdorong untuk mengambil lebih banyak polisi insurans bagi perlindungan pada masa hadapan.

Justeru, bagi polisi bernilai sangat tinggi dengan tuntutan $1 juta atau lebih, syarikat insurans boleh meminta maklumat tambahan, termasuk keputusan ujian genetik, demi keadilan kepada semua pemegang polisi.

Amalan ini selaras dengan pendekatan di negara lain.

MOH bersama Persatuan Insurans Hayat (LIA) telah memperluaskan moratorium berkaitan ujian genetik dan insurans pada 30 Jun 2025, yang melarang sepenuhnya syarikat insurans hayat daripada meminta atau menggunakan keputusan ujian genetik daripada program ujian genetik FH negara dalam penilaian insurans. 

Ini dibina atas moratorium 2021 yang melarang penggunaan ujian genetik ramalan, kecuali dalam keadaan tertentu. 

Syarikat insurans juga tidak dibenarkan menggunakan keputusan ujian genetik daripada penyelidikan bioperubatan atau ujian genetik yang ditawarkan terus kepada pengguna.

Sejak GAC SingHealth memulakan operasi pada 30 Jun 2025, lebih 1,000 individu telah dirujuk untuk ujian genetik FH. 

Namun, hanya sekitar 40 peratus memilih untuk menjalani ujian. 

Menurut Encik Ong, kebanyakan yang menolak menyuarakan kebimbangan tentang kesan keputusan ujian terhadap insurans, pekerjaan, serta pandangan keluarga dan masyarakat.

“Langkah perlindungan ini memberi ketenangan kepada individu untuk menjalani ujian genetik FH dan menerima rawatan awal,” katanya.

MOH juga merancang untuk memperkukuh perlindungan ini melalui perundangan, dengan rundingan awam dan pihak berkepentingan dijadualkan pada separuh pertama 2026.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, FH yang tidak dirawat boleh menyebabkan serangan jantung dalam kalangan 50 peratus pesakit lelaki menjelang usia 50 tahun dan 30 peratus pesakit wanita menjelang usia 60 tahun.

Menekankan kepentingan ujian dan rawatan awal, Encik Ong berkata keputusan berkaitan ujian genetik harus dipandu oleh pertimbangan kesihatan, bukan insurans. 

Beliau turut memaklumkan bahawa pusat GAC di bawah NHG Health dan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) telah mula menerima rujukan.

Setakat ini, FH merupakan satu-satunya keadaan genetik yang sebahagiannya dibiayai di bawah program negara.

MOH sedang meneroka program serupa bagi keadaan genetik lain serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penjagaan kesihatan berasaskan genomik.

Menurut Encik Ong, piawaian profesional dan perlindungan sosial perlu seiring dengan kemajuan teknologi demi mengekalkan kepercayaan orang ramai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg