LONDON: Maghribi pernah mencuri tumpuan dunia apabila berjaya melangkah sehingga ke peringkat separuh akhir dalam kempen Piala Dunia 2022 di Qatar.

Kali ini, kemaraan pasukan dari utara Afrika itu tersekat di peringkat suku akhir selepas ia sekali lagi menyinar di pentas sejagat dengan beberapa pemainnya menarik perhatian dunia, terutama pemain remaja sensasi, Ayyoub Bouaddi telah

Pemain tengah berusia 18 tahun itu menjadi tumpuan utama di media sosial selepas mempamerkan aksi memukau dalam perlawanan pembukaan Maghribi menentang Brazil.

Persembahan mantap beliau malah membayangi gandingan pemain tengah berpengalaman lawan, Casemiro dan Bruno Guimaraes.

Kedua-dua pemain lawan itu beraksi dalam Liga Perdana England (EPL) musim lalu.

Bouaddi, yang kini beraksi untuk kelab Lille, mula menarik perhatian kelab-kelab terbesar di England dan Eropah, selepas bergelar antara bintang paling menyinar pada minggu-minggu awal Piala Dunia.

Pemain Canada, Jonathan David (kiri), beraksi menentang Bouaddi semasa perlawanan Pusingan 16, di Houston, Amerika, pada 4 Julai.
Pemain Canada, Jonathan David (kiri), beraksi menentang Bouaddi semasa perlawanan Pusingan 16, di Houston, Amerika, pada 4 Julai. - Foto EPA

“Sesiapa sahaja yang pernah melihat beliau beraksi di Lille pasti mengetahui tahap keupayaannya,” kata bekas pemain antarabangsa Maghribi, Hassan Kachloul, kepada BBC Sport.

“Menentang pemain seperti Casemiro, Lucas Paqueta dan Bruno Guimaraes, beliau bukan sahaja menunjukkan mutu permainan, bahkan juga personaliti dan keyakinan diri yang tinggi.

“Beliau mempunyai aura serta kehadiran yang kuat di atas padang, dan amat serasi dalam persekitaran seumpama itu,” tambah Hassan.

Pemain tengah setinggi 185 sentimeter itu kini dipantau rapat oleh kelab gergasi seperti Manchester City, Arsenal, Real Madrid, Barcelona dan Paris St-Germain (PSG).

Manchester City sebelum ini sudah bersetuju dengan perjanjian rekod kelab bernilai £116 juta ($201.23 juta), untuk membawa masuk pemain antarabangsa England, Elliot Anderson, dari Nottingham Forest, dan dilaporkan mahu memperkukuh jentera tengah mereka dengan menandatangani Bouaddi.

Sumber memberitahu BBC Sport, pemain muda itu berada dalam senarai sasaran City, manakala Hassan berpendapat Lille mungkin terpaksa melepaskan Bouaddi kepada pembida tertinggi, jika pemain itu sendiri mahu berhijrah.

Wartawan bola sepak Maghribi, Amine el Amri, memberitahu BBC Sport: “Adalah lumrah untuk seorang pemain yang sedang melalui kempen Piala Dunia yang baik dikaitkan dengan kelab-kelab besar.”

“Bagaimanapun, ini fasa yang sensitif sebagai sebahagian proses perkembangannya, dan beliau perlu kekal merendah diri serta tidak hanyut daripada realiti, memandangkan beliau baru berusia 18 tahun.

“Kelab EPL kini menyasarkan pemain lebih muda, ia bukan lagi soal pengalaman semata-mata, malah, kehebatan kemahiran bola sepak serta fizikal.

“Saya rasa beliau memiliki kesemua ciri tersebut.”

Bouaddi dilahirkan di Senlis, utara Paris, dan beliau membuat penampilan sulung bersama Lille ketika berusia 16 tahun.

Beliau setakat ini telah mencatat 96 penampilan buat kelab Perancis berkenaan.

Bouaddi yang baru melakukan penampilan sulung bersama Maghribi pada Mei lalu, telah beraksi sebanyak tiga kali dalam Piala Dunia kali ini, untuk membantu pasukannya melangkah ke pusingan 16 pasukan terakhir menentang Canada pada 11 Julai.

Semasa penampilan sulungnya menentang juara lima kali, Brazil, beliau menarik perhatian ramai dengan ketenangannya mengawal bola.

Beliau mendahului dengan sentuhan bola terbanyak (87) dan hantaran tepat tertinggi (60), berbanding rakan sepasukannya yang lain.

“Beliau mempunyai potensi untuk menjadi antara pemain tengah terbaik dalam sejarah bola sepak, bukan sahaja untuk Maghribi,” kata Amine.

“Beliau sangat berbakat tetapi perlu kekal tenang. Seseorang tidak boleh menjadi bintang tanpa kerja keras.”

“Pada pandangan pertama, beliau mengingatkan ramai pihak kepada pemain Sepanyol, Sergio Busquets.

“Beliau sangat tinggi tetapi tidak begitu berotot, berbeza dengan kelayakan biasa pemain di posisi nombor enam atau lapan.

“Kelebihan utamanya adalah ketenangan mengekalkan penguasaan bola dan ketika melakukan asakan.

“Beliau juga kurang melakukan kekasaran, ciri yang menjadikan Busquets seorang pemain tengah yang lengkap.”

Musim lalu, Bouaddi mendahului pelbagai metrik bagi pemain berusia 18 tahun ke bawah, di lima liga utama Eropah.

Beliau mencatatkan minit permainan terbanyak (2,329 minit) dan penampilan terbanyak (30 kali), mengatasi bintang Barcelona, Lamine Yamal.

Persembahannya yang bertenaga meletakkan beliau di kedudukan teratas dalam kategorinya selepas memenangi penguasaan bola sebanyak 151 kali, melakukan 59 asakan dan 27 pintasan bola.

Lille dilaporkan meletakkan harga antara £69 juta dengan £86 juta untuk Bouaddi.

Di Maghribi, semua menyayangi Bouaddi.

“Beliau bukan sahaja pemain yang baik, tetapi di luar padang, beliau seorang anak muda yang sempurna,” kata Amine.

Bouaddi memperoleh diploma sekolah tinggi dalam bidang matematik dan fizik, yang menunjukkan tahap kecerdasan (IQ) tingginya.

Beliau mempunyai segala-galanya untuk menjadi pemain hebat serta insan yang baik, dan rakyat Maghribi amat berbangga dengannya. – Agensi berita.

“Beliau mempunyai potensi untuk menjadi antara pemain tengah terbaik dalam sejarah bola sepak, bukan sahaja untuk Maghribi.”
Amine el Amri, wartawan bola sepak Maghribi.

“Beliau mempunyai aura serta kehadiran yang kuat di atas padang, dan amat serasi dalam persekitaran seumpama itu.”
Hassan Kachloul, bekas pemain antarabangsa Maghribi.