Setiap kali pemain Tanjong Pagar United leka dalam latihan hantaran, tiupan wisel bergema di Stadium Jurong East.
Ketua jurulatih pasukan itu Noh Alam Shah tidak teragak-agak mengarahkan pemainnya ‘drop 10’ atau melakukan 10 tekan tubi atau push-up.
Kerja keras itulah yang ingin diterapkan penyerang legenda Singapura itu sebelum mengharungi musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2025/26, katanya kepada Berita Harian (BH).
Usaha tersebut bertujuan meningkatkan cabaran dan menempatkan Harimau Kumbang (gelaran Tanjong Pagar) pada kedudukan yang lebih dihormati dalam SPL, iaitu pertengahan liga atau lebih baik tiga teratas.
Kelab itu, yang sering dikait rapat dengan kedudukan corot dalam liga profesional Singapura, dibolosi sebanyak 103 kali – terbanyak antara semua pasukan – manakala jaringan gol pula paling rendah, hanya 35, pada SPL 2024/25.
Justeru, tidak hairanlah apabila jurulatih yang mesra disapa sebagai ‘Along’ itu menanam sikap kerja keras dalam anak didiknya untuk mengubah haluan mereka.
“Berusaha gigih untuk mengurangkan jumlah gol yang dibolosi ialah perkara yang kami tumpukan selama tiga hingga empat minggu kebelakangan ini… daripada 103 gol kepada 35.
“Ini ialah langkah pertama sebelum kami memikirkan cara meningkatkan jumlah 35 gol yang kami jaringkan,” jelas Alam Shah yang menampilkan wajah serius sepanjang sesi latihan.
Sesuai dengan itu, beliau telah menguatkan jentera pertahanan dan mengekalkan pemain musim lalu yang berdisiplin agar mendengar arahan dan melaksanakan gaya permainan yang beliau tetapkan.
Ini termasuk mengekalkan penjaga gawang dari Canada, Matt Silva, dan mendapatkan khidmat penjaga gawang senior, Zaiful Nizam, daripada Hougang United.
Pemain asing yang didapatkan termasuk pemain pertahanan dari Australia, Aaron Evans; penyerang asal Sepanyol, Youssef Ezzejjari; pemain tengah dan sayap dari Brazil, Bruno Dybal dan Guilherme Rodrigues; dan pemain tengah asal Taiwan, Estevez Tsai.
Mereka juga mengekalkan khidmat pemain tempatan seperti pemain tengah muda Fathullah Rahmat dan pertahanan Faizal Roslan.
Alam Shah menggariskan Fathullah sebagai pemain yang perlu diberi perhatian kerana bukan sahaja beliau bermain untuk pasukan utama di SPL, malah merupakan kapten pasukan itu di SPL 2.
“Ini merupakan tanggungjawab besar yang perlu dipikul olehnya,” katanya.
Selain itu, Alam Shah akur pasukannya sering menampilkan permainan serangan ofensif pada musim lalu, lantas ingin menerapkan keseimbangan antara pendekatan serangan dengan penguasaan bola.
“Kami membawa masuk beberapa pemain tertentu yang boleh memahami, mengawal tempo permainan, dan beralih daripada permainan ofensif kepada permainan penguasaan bola sedikit demi sedikit.
“Sudah tentu, saya tidak mahu kehilangan gaya permainan utama saya, iaitu pendekatan menyerang, namun ada masa yang sesuai untuk melakukannya,” katanya sambil menggesa pasukannya menunjukkan semangat kesatuan dan bukan bergantung pada kehebatan individu.
Bukan sahaja pasukan Tanjong Pagar yang sedang melalui proses penambahbaikan, malah Alam Shah juga akan memulakan langkah peningkatan diri dalam bidang kejurulatihan dengan mengikuti kursus AFC Pro Diploma di Laos sehingga pertengahan 2026.
Beliau menjelaskan jadual kursus tersebut yang akan membawanya ke Laos, Doha, dan Arab Saudi pada tempoh Piala Singapura, sekitar November hingga Disember nanti.
Alam Shah, yang juga pernah menjalani latihan jurulatih selama enam bulan bersama kelab J1 League, Tokyo Verdy pada 2024, berkata beliau yakin dengan pasukan jurulatihnya untuk menguruskan tugasnya sewaktu ketiadaannya.
Menggariskan penolong jurulatih – Hafiz Osman dan Jaslee Hatta – yang akan mengambil alih, Alam Shah berkata:
“Sistem di Tanjong Pagar telah diterapkan sehingga menjadi identiti yang sudah mereka kenali. Jadi, sama ada saya berada di sini atau tidak, mereka mampu melakukannya sendiri.
“Satu-satunya isu yang perlu mereka tangani ialah cara mengurus emosi para pemain, suatu aspek berbeza yang perlu mereka hadapi dan atasi sendiri.”
Tanjong Pagar kini segar selepas jelajah pramusim di Malaysia, yang menyaksikan mereka berdepan tiga pasukan di sana, termasuk kekalahan 1-5 kepada Negeri Sembilan.
Tanjong Pagar dijadual membuka tirai perlawanan SPL menentang BG Tampines Rovers pada 13 September.
Sebagai persiapan, mereka akan mengharungi empat perlawanan persahabatan, tersebut termasuk menentang Balestier Khalsa dan Johor Darul Takzim 3 (JDT 3) di Singapura, serta JDT 2 di Johor dan sebuah pasukan dari Indonesia di sana.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg