LONDON: Liga Perdana England (EPL) telah mengumumkan ia akan mempunyai dua jendela perpindahan musim panas ini untuk membolehkan Manchester City dan Chelsea menandatangani pemain sebelum Piala Dunia Kelab.
Tempoh perpindahan itu akan dibuka antara 1 dan 10 Jun, kemudian ditutup selama lima hari sebelum disambung dari 16 Jun hingga 1 September.
Musim panas ini menampilkan Piala Dunia Kelab Fifa yang diperluas buat kali pertama, yang melibatkan 32 pasukan dan menggunakan format Piala Dunia.
Chelsea dan Manchester City adalah pasukan EPL yang beraksi dalam kejohanan itu, yang berlangsung di Amerika Syarikat mulai 15 Jun.
Keputusan itu dibuat selepas badan induk bola sepak dunia Fifa memutuskan kelab yang mengambil bahagian Piala Dunia Kelab akan mempunyai pilihan untuk membuka “jendela pendaftaran luar biasa” pada Jun sebelum acara itu bagi menandatangani pemain.
Keputusan itu dijangka membolehkan pasukan seperti Manchester City dan Chelsea mengukuhkan skuad mereka dan melanjutkan kontrak sebelum saingan bermula pada 14 Jun.
Walaupun keputusan Fifa memihak kepada peserta Piala Dunia Kelab, banyak pasukan EPL yang tidak terlibat dalam kejohanan itu bimbang akan terjejas daripada pasaran perpindahan dalam tempoh tersebut.
Seperti yang dilaporkan The Guardian, beberapa kelab telah melobi agar jendela perpindahan domestik dibuka lebih awal supaya mereka juga boleh menjalankan transaksi sebelum pertandingan.
Sebelum ini, Fifa mengumumkan perincian hadiah terbesar dalam sejarah kejohanan kelab bagi edisi baru Piala Dunia Kelab, yang akan menampilkan 32 pasukan buat kali pertama.
Edisi baru piala tersebut bakal menyaksikan kehadiran kelab-kelab gergasi Eropah seperti Real Madrid, Bayern Munich, Paris Saint-Germain, Inter Milan, Juventus, Manchester City, Chelsea dan Atletico Madrid.
Sebanyak AS$1 bilion ($1.3 bilion) diperuntukkan kepada pasukan bertanding, manakala tambahan AS$100 juta disediakan sebagai pembayaran perpaduan kepada kelab yang tidak layak.
“Piala Dunia Kelab Fifa bukan sahaja menjadi kemuncak bola sepak peringkat kelab, tetapi juga lambang perpaduan yang akan memberi manfaat kepada kelab secara menyeluruh dalam skala yang belum pernah dilihat sebelum ini,” kata Presiden Fifa, Gianni Infantino. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg