MONZA (Italy): Kimi Antonelli seakan-akan tidak percaya selepas meraih kemenangannya yang menakjubkan bagi pasukan Mercedes walaupun bermula daripada petak ke-19, memberikan peminat Monza pemenang tempatan pertama di Grand Prix Italy dalam tempoh 60 tahun.

Ketika beliau bergelut dengan emosinya, Antonelli, yang baru mencecah usia 20 tahun dua minggu lalu, menyatakan “ia terasa seperti satu mimpi”.

Kemenangannya dicapai daripada kedudukan permulaan paling jauh sejak John Watson memacu ke arah kemenangan untuk McLaren di Grand Prix Amerika Syarikat 1983 di Long Beach daripada petak ke-22.

Lebih menarik lagi, kemenangan ke atas rakan sepasukannya, George Russell, membuka kelebihan 66 mata dalam perlumbaan kejuaraan.

“Ia adalah impian yang menjadi kenyataan. Sungguh hari yang luar biasa. Saya tidak dapat melakukannya tanpa pasukan saya, keluarga saya dan semua yang menyokong saya,” tambahnya dengan penuh girang.

Meskipun begitu, beliau mengawal perasaan untuk bercakap tentang menjadi juara dunia yang pertama sejak Alberto Ascari pada 1953.

“Masih ada beberapa perlumbaan lagi, jadi kami akan cuba untuk terus fokus dan berusaha.

“Saya tidak menjangkakan perkara ini. Sukar dipercayai. Saya sangat gembira.

“Saya tidak dapat membayangkan akan berada di sini hari ini, tetapi kami berjaya melakukannya dan saya benar-benar sangat gembira,” katanya lagi.

Antonelli berdepan satu detik mencemaskan dalam perlumbaan tersebut, empat pusingan sebelum tamat apabila beliau cuba memotong Russell dan mendapati dirinya berada di kawasan batu kelikir.

“Ia agak menakutkan kerana permukaan trek mula pecah, tetapi saya masih berfikir bahawa saya boleh mengambil selekoh itu.

“Saya teruskan sahaja. Saya fikir mungkin saya telah kehilangan peluang, tetapi bernasib baik kerana masih mengekalkan kelajuan dan saya dapat meraih kemenangan,” kongsinya.

Memulakan perlumbaan pada 6 September daripada petak belakang grid akibat penalti selepas menggunakan unit kuasa baru, Antonelli berkata beliau berasa mampu untuk menang selepas naik dari tempat ke-19 ke tempat ke-12 pada pusingan awal.

Kemudian, pemandu Ferrari, Charles Leclerc, melanggar keretanya, yang menyebabkan pengeluaran bendera merah dan perlumbaan dimulakan semula.

“Selepas permulaan semula yang kedua, saya berada di kelompok hadapan dan saya tahu saya ada peluang untuk menang. Jadi sudah tentu saya mempercayainya, terutamanya apabila saya berada di belakang George,” katanya.

“Tetapi agak sukar untuk melepaskan diri memandangkan saingan begitu sengit. Dengan tayar yang lebih baru, saya dapat meningkatkan kelajuan dan meraih kemenangan,” jelas Antonelli.

Ketua pasukannya, Toto Wolff, memberikan Antonelli sepenuh pujian kerana muncul sebagai pemenang tuan rumah pertama di Monza sejak Ludovico Scarfiotti pada 1966.

“Ia sukar dipercayai. Beliau begitu terkawal, terus fokus dan tidak mengambil sebarang risiko sepanjang perlumbaan. Beliau memotong mereka satu demi satu. Pemanduan yang menakjubkan,” kata Wolff. – AFP.

“Ia adalah impian yang menjadi kenyataan. Sungguh hari yang luar biasa. Saya tidak dapat melakukannya tanpa pasukan saya, keluarga saya dan semua yang menyokong saya... Saya tidak dapat membayangkan akan berada di sini hari ini, tetapi kami berjaya melakukannya dan saya benar-benar sangat gembira.” 
Kimi Antonelli.