DALLAS (Amerika Syarikat): Seorang artis terkenal memfailkan saman AS$25 juta ($32 juta) terhadap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) serta beberapa rakan kongsi, selepas mendakwa satu mural ikonik di pusat bandar Dallas ditutup tanpa kebenarannya sempena persiapan Piala Dunia 2026.

Robert Wyland memfailkan saman itu di Mahkamah Persekutuan Texas selepas mural setinggi lapan tingkat yang dikenali sebagai ‘Ocean Life’ atau ‘Whaling Wall 82’ didakwa dicat semula dengan warna biru bulan lalu.

Menurut dokumen mahkamah, menjelang 18 Mei lalu, sebahagian besar mural berkenaan sudah ditutup sepenuhnya, sekali gus menghilangkan karya seni yang dihasilkan pada 1999 itu.

Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia Fifa North Texas sebelum ini memaklumkan mural itu digantikan dengan karya seni baru bagi “meraikan dan membangkitkan keterujaan menjelang Piala Dunia 2026”.

Bagaimanapun, pihak jawatankuasa enggan mengulas lanjut, manakala Fifa pula menegaskan mereka tidak terbabit secara langsung dalam tindakan berkenaan dan mengarahkan pertanyaan dikemukakan kepada penganjur tempatan.

Selain Fifa, Wyland turut menamakan syarikat pemilik dan pengurus bangunan itu sebagai defendan dalam saman berkenaan.

“Dallas dan Wyland berhak menerima layanan yang lebih baik,” menurut tuntutan itu yang turut menyifatkan pemusnahan karya berkenaan sebagai tragedi peribadi kepada artis serta masyarakat setempat.

Peguam Wyland berhujah tindakan menutup mural itu melanggar undang-undang persekutuan Amerika yang melindungi karya seni tertentu daripada dimusnahkan tanpa kebenaran bertulis artis.

Wyland sebelum ini terkenal dengan siri mural berskala besar yang memfokuskan kesedaran terhadap pencemaran laut dan karya itu dianggap antara mercu tanda seni awam di Dallas.

Dallas dijadual menjadi tuan rumah sembilan perlawanan Piala Dunia 2026 termasuk satu aksi separuh akhir, dengan perlawanan pertama di bandar itu membabitkan Belanda dan Jepun pada 14 Jun depan. – Agensi berita.