Balestier Khalsa akhirnya meraih kemenangan pertama mereka di musim Liga Perdana Singapura 2025/26, selepas mengatasi Young Lions 2-1 di Our Tampines Hub (OTH) pada 21 September.
Jaringan penyamaan daripada Masahiro Sugita dan selanjutnya Elijah Lim pada minit ke-110, cukup untuk mematahkan jaringan penalti awal daripada Sergio Mendonca pada minit ketujuh.
Keputusan itu bermakna anak buah Marko Kraljevic meraih kemenangan pertama selepas tiga perlawanan liga, mengumpul empat mata.
Ia juga bermakna tiada permulaan impian buat anak didik Firdaus Kassim yang membuka tirai kempen liga mereka dalam musim yang mendahului misi pasukan di Sukan SEA pada Disember nanti.
Perlawanan bermula dengan seimbang apabila kedua-dua pasukan memberi asakan kepada lawan.
Kelincahan Harry Spence di sebelah kanan sejurus selepas sepak mula memberikan pelbagai masalah kepada bek kiri Balestier, Harith Kanadi.
Dalam cuba membendung Spence, Harith dipersalahkan selepas menjatuhkan pemain berasal dari Britain itu di dalam kotak penalti.
Mendonca, salah seorang pemain import Young Lions dari Brazil, mengambil sepakan penalti itu dan berjaya menyempurnakannya pada minit ketujuh.
The Tigers kemudian menyamakan kedudukan apabila Sugita menggelecek dari sebelah kiri dengan dengan gerakan menarik, sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gawang Young Lions, Benjamin Zerak, di hujung bawah gawang pada minit ke-12.
Pada minit ke-41, Nathan Mao berdepan situasi satu lawan satu dengan Zerak, namun penjaga gawang itu berjaya menyelamatkan rembatan beliau.
Separuh masa pertama diteruskan dengan tiada peluang yang menguji penjaga gawang kedua-dua pasukan.
Pada separuh masa kedua, Balestier meneruskan asakan dan usaha mereka hampir membuahkan hasil apabila Tin Matic melepaskan rembatan terus ke Zerak, hasil hantaran baik daripada Daniel Goh pada minit ke-47.
Pada minit ke-60, Goh berjaya menjaringkan gol hasil daripada tepisan Zerak yang gagal menampan kemas hantaran lintang Matic.
Namun, pembantu pengadil menaikkan bendera menandakan Goh berada dalam kedudukan offside.
Pada minit ke-93, Bogdan Mandic hampir menjaringkan gol selepas menerima hantaran leret daripada Jakov Katusa, namun rembatanya tersasar.
Young Lions juga mempunyai dua peluang jaringan pada waktu kecederaan menerusi larian menarik daripada Abner Vinicius, dan Spence tetapi kedua-duanya gagal menewaskan Mustapic.
Elijah Lim akhirnya menjadi wira Balestier 10 minit waktu kecederaan, apabila beliau meledak gol menerusi rembatan melengkung dari luar kotak penalti.
Jaringan yang memukau peminat Balestier di OTH cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Balestier.
Balestier kini mempunyai satu bulan rehat, dengan perlawanan seterusnya menentang BG Tampines Rovers pada 19 Oktober.
Sementara itu, Young Lions perlu segera mengatur semula pasukan bagi menghadapi Tanjong Pagar United pada 25 September.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg