Topik diikuti
Pergi ke BHkuBarcelona bersemangat meskipun ditunduk PSG buat kali ketiga berturut-turut
Jurulatih Hansi Flick tetap positif, ingin tingkat prestasi pasukan
Barcelona bersemangat meskipun ditunduk PSG buat kali ketiga berturut-turut
PARIS: Pemain tengah Barcelona, Pedri, berkata pertembungan dengan Paris Saint-Germain (PSG) bakal mengukur kedudukan pasukannya dalam bola sepak Eropah.
Kekalahan 4-2 pada 20 Oktober menunjukkan pasukan di bawah bimbingan Hansi Flick masih belum setanding dengan pasukan elit Eropah, namun jurang itu mungkin semakin mengecil.
Barcelona tiba di Paris dengan rekod kemenangan sempurna dalam semua pertandingan musim ini.
Namun di Sepanyol, PSG dilihat sebagai kayu pengukur yang lebih tepat bagi menilai kemampuan Barcelona dalam Liga Juara-Juara, satu-satunya kejuaraan utama yang belum diraih di bawah bimbingan Flick.
Ketajaman jentera serangan Barcelona membolehkan mereka mengatasi lawan dengan mudah dalam saingan LaLiga, namun masih timbul keraguan sama ada sifat menyerang Flick menyebabkan pasukannya terdedah kepada serangan pasukan Eropah yang lebih kuat.
Kebimbangan itu kembali timbul apabila penyerang PSG, Desire Doue, membuka jaringan pada minit ke-38.
Bagaimanapun, Barcelona menghadapi beberapa kekangan.
Pemain tengah bertahan Marc Bernal secara mengejut diturunkan dalam kesebelasan utama menggantikan Rodri, manakala dua pemain pertahanan, Eric Garcia dan Jules Kounde, tidak dapat beraksi akibat kecederaan.
Lapan aksi menyelamatkan gawang oleh penjaga gol Barcelona, Joan Garcia, pada separuh masa pertama membuktikan PSG lebih selesa dengan rentak pantas permainan yang cuba diterapkan Barcelona.
Selepas Garcia sekali lagi menyelamatkan gawang dengan cemerlang pada awal separuh masa kedua, Barcelona mula menemui rentak dan menguasai permainan.
Pemain pertahanan Barcelona, Xavi Espart, 19 tahun, menjaringkan gol penyamaan dalam penampilan pertamanya sebagai pemain kesebelasan utama Liga Juara-Juara Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), sambil mempamerkan ketenangan luar biasa bagi pemain seusianya.
Pemain sayap Barcelona, Lamine Yamal, turut muncul sebagai tonggak utama serangan pasukannya selepas kurang menyerlah pada separuh masa pertama.
PSG bergelut mengekang hantaran tajam Yamal yang menembusi benteng pertahanan mereka dan semakin terdedah ketika Barcelona lebih banyak menguasai bola, sebelum pemain pertahanan PSG, Lucas Hernandez, menjaringkan gol menerusi situasi bola mati pada minit ke-72.
Akhirnya, serangan bertubi-tubi PSG berjaya mematahkan benteng pertahanan Barcelona. Namun begitu, keyakinan pasukan itu tetap tidak terjejas.
“Walaupun keputusan hari ini tidak memihak kepada kami, kami memberikan saingan sengit,” kata kapten Barcelona, Raphinha, kepada Movistar+.
Beliau turut berkata bahawa “perlawanan ini ujian yang baik dan membuktikan kami mampu bersaing.”
Flick turut menyuarakan pandangan yang positif.
“Kami perlu menilai perlawanan ini, tetapi saya melihat banyak perkara positif yang boleh dijadikan asas untuk meningkatkan prestasi. Saya tidak mahu bersikap negatif, sebaliknya kekal positif,” katanya.
Jurulatih dari Jerman itu mengakui PSG bermain lebih baik.
Bagaimanapun, Barcelona berjaya mengelakkan beberapa kelemahan yang menjejaskan dua kempen Eropah terdahulu di bawah bimbingannya, khususnya masalah disiplin dan kelemahan menghadapi serangan balas.
Kekalahan ketiga berturut-turut kepada PSG di bawah bimbingan Luis Enrique pasti mengecewakan, namun Barcelona pulang dari Paris dengan keyakinan bahawa jurang kemampuan antara mereka dengan juara Eropah itu semakin rapat. – Agensi berita.