COLORADO: Bintang Seni Bela Diri Campuran (MMA) syarikat promosi UFC, Conor McGregor, telah memulakan proses disertakan semula bagi ujian antidadah.
Ahli sukan MMA yang berasal dari Ireland itu telah dikeluarkan daripada ujian tersebut pada 2022 selepas kakinya patah dalam pertarungan menentang Dustin Poirier pada Julai 2021.
McGregor, 35 tahun, dijangka bertarung dengan Michael Chandler pada 2023 tetapi beliau tidak dapat kembali beraksi sehinggalah disertakan semula untuk ujian oleh Agensi Antidadah Amerika Syarikat (Usada) bagi tempoh enam bulan.
“Beliau belum disertakan semula secara rasmi untuk ujian Usada. Beliau akan kemukakan dokumennya,” kata Presiden UFC, Dana White.
Sebelum ini McGregor berkata, sejak kakinya patah dalam pertarungan pada 2021 itu, beliau agak kurang percaya sekiranya dapat meneruskan kerjaya MMA-nya tetapi beliau kini lebih yakin untuk kembali beraksi.
Ahli MMA, Chandler yang berasal dari Amerika Syarikat telah muncul dalam siri realiti televisyen UFC, ‘The Ultimate Fighter’ bersama McGregor pada 2023.
Namun pertarungan antara Chandler dengan McGregor telah ditangguhkan selepas terdapat maklumat bahawa McGregor belum diuji.
Keputusan UFC mengeluarkan McGregor daripada ujian itu dilaporkan menimbulkan kontroversi, memandangkan peraturan Usada menyatakan bahawa seorang ahli MMA hanya akan ditarik keluar daripada diuji sekiranya mereka “bersara, kontrak ditamatkan atau dikeluarkan daripada ujian tersebut”.
Ditanya bila McGregor mungkin kembali beraksi, White berkata: “Saya belum ada sebarang perancangan dengan Conor McGregor buat masa ini.
“Dokumen telah dikemukakan. Kami akan pantau dan perhatikan bagaimana semuanya berjalan kelak. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan berkaitan dengan pertarungan itu. Dan kemudian kami akan tinjau pula bagaimana ia berjalan.”
Dengan acara UFC 300 kian hampir pada 2024, Chandler berkata beliau dan McGregor akan menjadikan pertarungan mereka paling utama dalam promosi sukan tersebut. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg