Pemain dari pasukan Liga Perdana Singapura (SPL), Balestier Khalsa, baru-baru ini bermain perlawanan bola sepak persahabatan dengan rentak gerakan yang lebih perlahan daripada biasa.
Ini apabila mereka menyertai Walking Football4Health Global (Waf4H) menentang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ FC) dari Malaysia.
Perlawanan persahabatan itu berlangsung di Stadium Bishan pada 22 Februari.
Waf4H merupakan daya usaha yang dimulakan oleh Dr Dee Dee Ayra Salle, lebih dikenali sebagai Dr Dee Dee Mahmood, pada 2016 untuk menggalak orang ramai bermain bola sepak berjalan demi kesihatan.
Bola sepak berjalan merupakan versi permainan bola sepak yang diubah agar ia sesuai untuk semua tahap keupayaan, kecergasan dan usia.
Dengan kerjasama pasukan seperti MBPJ FC dan Balestier, beliau berharap dapat mengubah persepsi bahawa bola sepak berjalan kurang menyeronokkan atau kurang rasa daya saing.
“Ramai mempunyai tanggapan yang salah. Mereka berasakan bola sepak berjalan ini mudah.
“Namun, dengan ruangnya yang kecil, pemain harus sentiasa bergerak,” jelas Dr Dee Dee.
Menurutnya, ramai berasa rentak bola sepak berjalan terlalu perlahan.
Namun, ramai tidak sedar bahawa bola sepak berjalan memerlukan proses pemikiran yang sangat pantas dan tajam, ujarnya.
Ini kerana pemain perlu memikirkan strategi untuk menjaringkan gol dan menghalang lawan daripada menjaringkan gol.
Perlawanan persahabatan itu menampilkan pemain profesional dari Balestier seperti Ho Tung Han, Tariq Shahid dan Reycredo Beremanda Bukit.
Bagi MBPJ FC pula, bekas pemain Piala Malaysia seperti Zakaria Ismail, Ramlan Tahar, Salam Saimin, V. Alargaswamy, Fuad Zohdi, Abdullah Murad dan Hisham Md Arof membuat perlawanan tersebut lebih sengit dan menghiburkan.
Perlawanan itu berakhir dengan pasukan MBPJ menang 2-1.
“Anda dapat lihat, semasa perlawanan, terdapat pelbagai pemain dari latar belakang berbeza – pemain profesional, pemain yang sudah berusia dan juga pemain yang muda – dengan tahap kemahiran yang berbeza,” kata Dr Dee Dee.
Bola sepak berjalan bukan sekadar bola sepak rentak perlahan, malah dapat menyerlahkan semangat penyatuan bola sepak, jelasnya.
Acara itu memupuk persahabatan rentas sempadan dan menggalakkan penyertaan berbilang generasi dalam sukan baru itu.
Memandang ke hadapan, Waf4H kini menumpukan perhatian untuk memilih pemain bagi menyertai Kongres Dunia dan Kejohanan Bola Sepak Berjalan Kaki Antarabangsa Bali pada 28 hingga 30 November 2025.
Mereka yang berminat boleh hubungi Dr Dee Dee melalui e-mel drdee@waf4h.com atau menelefonnya di 9180-7372.
Beliau berharap acara itu dapat meningkatkan profil sejagat sukan ini dan memupuk lebih banyak kerjasama antarabangsa melalui bola sepak berjalan.
“
“Ramai mempunyai tanggapan yang salah. Mereka berasakan bola sepak berjalan ini mudah. Namun, dengan ruangnya yang kecil, pemain harus sentiasa bergerak. Anda dapat lihat, semasa perlawanan, terdapat pelbagai pemain dari latar belakang berbeza – pemain profesional, pemain yang sudah berusia dan juga pemain yang muda – dengan tahap kemahiran yang berbeza.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg