Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura lawan Thai lebih dari sekadar tebus maruah, perlu main ‘mati-matian’

Hadapi penyingkiran dari Sukan SEA 2025, Firdaus Kassim dan pemainnya akan bermati-matian untuk layak ke separuh akhir
Dec 10, 2025 | 5:07 PM
Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Firdaus Kassim, menggesa pemainnya untuk bermati-matian di padang ketika menentang Thailand di Stadium Rajamangala pada 11 Disember.
Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Firdaus Kassim, menggesa pemainnya untuk bermati-matian di padang ketika menentang Thailand di Stadium Rajamangala pada 11 Disember. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Ia lebih daripada sekadar maruah yang akan dipertaruhkan apabila Singapura turun padang menentang Thailand pada 11 Disember di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Walaupun peluang untuk layak ke separuh akhir Sukan SEA 2025 sangat tipis, pemain bola sepak bawah 22 tahun negara ingin membuktikan mereka sebenarnya lebih baik daripada apa yang ditampilkan ketika tewas 1-3 kepada Timor-Leste pada 5 Disember.

Ini turut didorong oleh tekad mereka untuk menunjukkan sokongan penuh terhadap jurulatih, Firdaus Kassim, yang kini berdepan kritikan atas prestasi pasukannya sejak mengambil alih pasukan itu.

Mereka kini berada di ambang penyingkiran daripada Sukan SEA, sekali lagi gagal melepasi peringkat kumpulan sejak kali terakhir layak ke separuh akhir pada 2013.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di penginapan pemain di Hotel Al Meroz, Bangkok, Thailand, pada 10 Disember, pemain pertahanan Singa Muda, Andrew Aw, berkata:

“Apabila kami kalah, senang untuk penonton meletakkan kesalahan semuanya kepada jurulatih.

“Tetapi, apa yang pasukan rasakan ialah beliau sudah katakan dengan jelas kepada kami sejak hari pertama, kami mempunyai mutu yang perlu dicapai setiap hari.

“Kami semua percaya dan sehaluan dengan prosesnya, dan mendapat sokongan Firdaus,” ujarnya.

Aw percaya segala kerja belakang tabir yang telah dilakukan Firdaus seperti video analisis dan taktik telah membantunya untuk meningkat sebagai pemain.

Beliau akur persembahan yang dipamerkan sejak kali pertama Firdaus mengambil alih kerusi panas itu pada Jun bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan – tanpa sebarang kemenangan di perlawanan kompetitif.

Namun menurutnya, mereka sedang dalam proses memperbaiki persembahan.

Menjelang perlawanan menentang Thailand, Aw bertekad menunjukkan prestasi yang boleh dibanggakan penyokong setempat.

“Tiada alasan untuk Thailand bermati-matian lebih daripada kami, terutamanya selepas kekalahan yang mengecewakan menentang Timor-Leste.

“Saya ingin memberikan yang terbaik dalam perlawanan seterusnya, dan harap pasukan saya akan melakukan yang sama untuk berikan segala-galanya di padang.

“Kami mempunyai keinginan yang membara untuk mempersembahkan prestasi yang membanggakan bagi kami dan Singapura.

Kritikan terhadap Firdaus semakin hangat diperkatakan di media sosial, terutamanya selepas beliau gagal memberikan keputusan memuaskan sejak menyandang jawatan itu.

Beliau gagal meraih sebarang kemenangan di Kelayakan Piala Asia bawah 23 tahun pada September, dan Liga Perdana Singapura (SPL) dalam lima perlawanan pertama.

Ini sekali gus menimbulkan tanda tanya jika beliau adalah individu yang tepat untuk menerajui pasukan.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila anak buahnya tewas kepada Timor-Leste dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Sukan SEA 2025, dengan penyokong tempatan, Singa Brigade, turut menuntut prestasi lebih baik daripada Firdaus.

Namun, Firdaus tidak ingin terlalu memikirkan mengenai isu tersebut, malah menumpukan pada perlawanan yang akan datang. Beliau berkata:

“Setiap orang ada pendapat masing-masing, dan saya menghormatinya.

“Tetapi saya rasa apa yang lebih penting sebagai jurulatih ialah untuk memberi tumpuan pada perlawanan seterusnya dan tidak terlalu memikirkan apa yang dikatakan di atas talian.”

Dengan ada pihak yang mengatakan Singapura perlu berhati-hati ketika menentang Thailand – agar episod pahit tewas 0-7 kepada Malaysia di Sukan SEA 2023 tidak menghantui mereka – Firdaus menegaskan mereka tetap berusaha mencapai kemenangan kerana kelayakan ke separuh akhir masih boleh tercapai.

Ini di samping menggesa pemainnya untuk bermati-matian dan bermain dengan maruah.

Hanya pasukan teratas dari tiga kumpulan dan pasukan kedua terbaik akan layak ke separuh akhir.

Singa Muda perlu memenangi perlawanan dengan jurang gol yang besar dan berharap keputusan kumpulan lain memihak kepada mereka.

“Saya ingin pemain menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik daripada menentang Timor-Leste.

“Dari segi pendekatan, kami tidak akan hanya akan berdiam diri menentang Thailand walaupun mereka salah satu pasukan yang kuat.

“Kami perlu turun padang dengan niat untuk bersaing, bukan sekadar bermain untuk maruah semata-mata.

“Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku walaupun peluang untuk layak mungkin sangat tipis, namun menerusi format ini, apa sahaja boleh berlaku,” katanya.

Firdaus juga menambah beliau sering berhubung dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengenai nasib jawatannya dan menurutnya, mereka memahami cabaran yang dihadapinya.

“Saya tidak mahu meninggalkan tugas ini pada saat pertama menghadapi kesukaran.

“Pihak pengurusan memahami sepenuhnya sifat kerja ini serta cabaran yang kami hadapi kerana kami sudah jelas sejak awal saya dilantik.

“Malah, mereka sangat menyokong dan saya rasa sokongan itu ditunjukkan melalui segala sumber dan persiapan yang disediakan,” ujar beliau.

Singa Muda akan menentang Thailand di Stadium Rajamangala pada 11 Disember pada 8 malam (waktu Singapura) dan disiarkan langsung di saluran meWATCH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg