BANGKOK: Pasukan polo air lelaki negara memenangi pingat emas di Sukan SEA dengan menewaskan Indonesia 19-16 dalam final di Pusat Akuatik Universiti Thammasat pada 19 Disember.
Ini ialah pingat emas ke-29 yang dimenangi Singapura dalam 30 edisi Sukan SEA yang menawarkan sukan tersebut.
Singapura, juara bertahan acara tersebut ketinggalan 0-1, 1-2 dan 5-6 di awal permainan, tetapi mengakhiri suku pertama dengan kelebihan 8-6.
Juara 2019, Indonesia bangkit pada suku kedua untuk menyamakan kedudukan menjadi 11-11 pada waktu rehat.
Namun, Singapura berjaya meraih kelebihan dan mempertahankannya pada separuh masa kedua.
Sebelum final ini, Singapura telah menewaskan Malaysia 23-8; Thailand 14-13 dan Filipina 33-6.
Indonesia satu-satunya pasukan yang pernah memenangi emas dalam acara ini.
Sebagai perancangan jangka panjang untuk memperbarui pasukan, jurulatih Kan Aoyagi membentuk skuad yan mempunyai usia purata 21 tahun, termasuk 11 pemain yang tampil buat kali pertama di Sukan SEA.
Hanya Cayden Loh dan Darren Lee tinggal daripada skuad yang memenangi pingat emas pada 2023.
Kemenangan terkini ini mengakhiri 2025 yang bersejarah dengan ceria bagi skuad polo air negara yang memenangi perlawanan pertama di Kejohanan Akuatik Dunia dan mengakhiri pertandingan di kedudukan 15 daripada 16 pasukan.
Mereka kini mengalihkan tumpuan ke Sukan Asia 2026 di mana mereka memburu kedudukan lebih tinggi berbanding tangga kelima yang diraih di Hangzhou pada 2023.
Dalam pada itu, pasukan polo air wanita bakal berdepan dengan hos, Thailand dalam final.
Singapura kali terakhir memenangi pingat emas pada 2011, sementara Thailand telah memenanginya empat kali berturut-turut sebelum 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg