Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Renang sekali lagi jadi harapan ‘lombong emas’ S’pura

Jujitsu, bot naga sasar jadikan titik peluh tunjang kemenangan
Dec 9, 2025 | 5:30 AM
Perenang Singapura, Gan Ching Hwee, menjadi harapan negara dalam meraih pingat emas di Sukan SEA 2025 selepas menampilkan beberapa persembahan cemerlang pada 2025.
Perenang Singapura, Gan Ching Hwee, menjadi harapan negara dalam meraih pingat emas di Sukan SEA 2025 selepas menampilkan beberapa persembahan cemerlang pada 2025. - Foto fail

Acap kali, pasukan renang negara tidak pernah mengecewakan dan menjadi pendahulu dalam rebutan pingat di Sukan SEA.

Pada temasya 2023 di Kemboja, mereka membolot sebanyak 47 pingat – 22 emas, 15 perak dan 10 gangsa.

Malah, 22 pingat emas yang diraih mereka hanya kurang satu daripada jumlah terbaik yang pernah dicatatkan pada 2015 dan 2019.

Di Sukan SEA 2025 di Thailand, pasukan renang Singapura bakal menampilkan 21 atlet, dengan gabungan pengalaman dan bakat muda.

Nama-nama besar seperti Quah Ting Wen, Quah Jing Wen, Teong Tzen Wei, dan Jonathan Tan akan memimpin pasukan, yang juga terdiri daripada perenang muda termasuk Julia Yeo, Victoria Lim, dan Zackery Tay, untuk Sukan SEA sulung mereka.

Bagi Gan Ching Hwee pula, beliau berkobar-kobar untuk meneruskan pencapaian cemerlangnya pada tahun ini (2025) di Sukan SEA.

Di Kejohanan Akuatik Dunia pada Julai lalu, beliau memecahkan tiga rekod negara dalam dua hari.

Antaranya, acara gaya bebas wanita 400 meter – rekod yang sudah bertahan selama 15 tahun –, 800 meter, dan 1,500 meter.

Gan juga menjadi wanita Singapura pertama sejak 2007 yang mara ke peringkat akhir Kejohanan Akuatik Dunia, apabila layak di tempat keempat dalam pusingan kelayakan gaya bebas 1,500 meter wanita.

Beliau kemudian menamatkan saingan di tempat ketujuh di peringkat akhir.

Seorang lagi perenang yang berhasrat untuk melakar kemenangan di Sukan SEA kali ini ialah, Ardi Zulhimi Mohamed Azman.

Menyertai temasya ketiganya, Ardi ingin memperbaiki daripada pingat perak beliau di Sukan SEA 2023 di acara ganti-ganti (relay) gaya bebas lelaki 4 x 200 meter.

Beliau kini menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya pingat untuk setiap acara yang akan beliau tandingi.

Ini termasuk 200 meter gaya bebas, 200 meter kuak kupu-kupu.

Beliau juga berharap diberi peluang untuk beraksi di perlumbaan berganti-ganti 4x100 meter dan 4x200 meter – kedua-duanya gaya bebas.

Sementara itu, Akuatik Singapura (SAQ) – yang merangkumi renang, renang air terbuka, polo air, renang artistik, dan terjun – menyasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya 20 pingat emas kali ini.

SAQ menghantar 71 atlet dengan purata umur 21.8 tahun – 40 daripadanya merupakan peserta sulung.

Satu lagi sukan yang patut diberi perhatian ialah jujitsu yang menampilkan 25 atlet di temasya kali ini.

Antara atlet jujitsu ialah penerbit podcast Berita Harian (BH), Natasha Mustafa; pasangan suami isteri, Salihin Suran dan Atiq Syazwani; ibu dua anak, Ervika Trinny Kamarol Zaman; dan Fuad Bakar.

Selepas bulan-bulan berhempas pulas untuk menempah tiket ke Thailand, atlet-atlet ini bukan sahaja menyasarkan pingat, malah menaikkan lagi nama sukan itu agar ia lebih dikenali di Singapura.

Sementara itu, pasukan bot naga wanita berhasrat untuk menamatkan kemarau 10 tahun tanpa pingat di Sukan SEA.

Hasil usaha mereka akan diketahui pada 18 dan 19 Disember, di mana mereka akan beraksi di perlumbaan 200 dan 500 meter.

Pasukan seramai 14 atlet itu, yang bukan atlet sepenuh masa dan mempunyai kerja tetap yang lain, ingin menjadikan usaha mereka berbaloi dengan meletakkan Singapura di persada laut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg