Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arena WCH akan kekal, terbuka untuk awam, perenang kebangsaan hingga 2030

Oct 16, 2025 | 2:44 PM
renang, Arena WCH
Arena WCH, sebuah kemudahan sementara, tidak akan dirobohkan. Penggunaannya akan dilanjutkan sehingga 2030 dan ia akan melengkapi kemudahan renang ActiveSG yang sedia ada. - Foto fail

Menjelang akhir Oktober 2025, penduduk Singapura berpeluang berenang di kolam renang yang sama dengan tempat bintang Perancis, Leon Marchand, memecahkan rekod dunia acara 200 meter ‘medley’ lelaki dengan catatan masa 1 minit 52.69 saat semasa peringkat separuh akhir Kejohanan Akuatik Dunia (WCH) pada 30 Julai.

Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, mengumumkan pada 15 Oktober bahawa Arena WCH, sebuah kemudahan sementara, tidak akan dirobohkan tetapi dibuka untuk kegunaan atlet kebangsaan dan orang awam sehingga 2030.

Dalam satu jawapan bertulis kepada soalan Parlimen oleh Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar), Encik Neo berkata: “Arena WCH telah menerima maklum balas positif daripada penonton antarabangsa dan tempatan, atlet dan pegawai.

“Berikutan selesainya satu kajian kebolehlaksanaan, kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa penggunaan Arena WCH akan dilanjutkan sehingga 2030.

“Arena WCH akan melengkapi kemudahan renang ActiveSG yang sedia ada serta akan dibuka untuk kegunaan awam dan latihan pasukan kebangsaan.”

Arena tersebut, yang mempunyai kapasiti 4,800 tempat duduk, dijangka dibuka untuk kegunaan awam menjelang akhir Oktober dengan butiran lanjut akan dikongsikan dalam beberapa minggu akan datang, lapor The Straits Times (ST).

Menurut Encik Neo, Arena WCH juga berpotensi menjadi tuan rumah bagi acara pada masa hadapan seperti Sukan SEA dan Sukan Para Asean apabila Singapura menjadi tuan rumah kedua-dua temasya dwitahunan itu pada 2029.

Ini di samping Pusat Akuatik OCBC berhampiran, dengan kapasiti 3,000 tempat duduk, yang turut mampu menganjurkan acara antarabangsa seperti Kejohanan Renang Para Dunia.

Dibina di tempat letak kereta bersebelahan Kallang Leisure Park, Arena WCH itu menjadi tuan rumah bagi acara renang dan renang artistik WCH yang berlangsung di sini dari 11 Julai hingga 3 Ogos.

Sebelum kejohanan utama itu, arena tersebut turut menjadi pentas bagi Kejohanan Belia Asia Tenggara dari 19 hingga 29 Jun, yang berfungsi sebagai acara ujian.

Ia juga menampilkan kolam renang saiz Olimpik untuk pertandingan dan latihan serta blok permulaan OSB11 merah seperti yang digunakan semasa Olimpik Paris 2024.

Arena WCH itu dilengkapi dengan kolam renang sepanjang 50 meter dan selebar 26 meter dengan ukuran tiga meter dalam, berbanding kolam sementara di La Defense Arena semasa Olimpik Paris 2024.

Dibina oleh kontraktor Italy, Myrtha Pools, La Defense Arena hanya selebar 25 meter dan sedalam 2.15 meter.

Selain keupayaan mengawal suhu air pada 25 hingga 28 darjah Celsius bagi mengoptimumkan prestasi dan keselesaan, kedalaman kolam Arena WCH yang ditingkatkan itu juga berupaya mengurangkan gelora air.

Air yang lebih tenang biasanya menghasilkan catatan masa yang lebih pantas, sekali gus menyaksikan tiga rekod dunia dan 12 rekod kejohanan lain dicatat semasa temasya dunia tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg