Topik diikuti
Pergi ke BHkuEndometriosis tidak halang Freya renang kejar impian
Endometriosis tidak halang Freya renang kejar impian
Endometriosis tidak halang Freya renang kejar impian
GLASGOW: Renang sememangnya antara sukan paling mencabar pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, namun cabarannya menjadi lebih sukar apabila seseorang atlet perlu hidup dengan penyakit jangka panjang seperti endometriosis.
Itulah hakikat yang diharungi perenang England, Freya Anderson yang mengimbangi latihan bertaraf elit dengan kesakitan berpanjangan sejak lebih sedekad lalu.
“Apabila saya mula datang haid, saya tahu ada sesuatu yang tidak kena.
“Tiada seorang pun rakan saya mengalami masalah sakit teruk dan pendarahan seperti saya. Saya mula mengambil pil hormon ketika berusia 16 tahun pada usia agak muda,” katanya kepada BBC.
Anderson, yang memenangi pingat perak dalam acara gaya bebas berganti-ganti 4x100 meter wanita, hanya disahkan menghidap endometriosis tahun lalu ketika menghadiri kem latihan menjelang Kejohanan Dunia.
“Saya berasa lega, tetapi pada masa yang sama, saya sedar perjalanan yang panjang sedang menanti saya. Saya baru sahaja disahkan menghidap penyakit kronik yang tiada penawarnya,” katanya.
Endometriosis menjejas satu daripada setiap 10 wanita. Penyakit ini bermula selepas baligh hingga putus haid (menopause), namun kesannya boleh berlarutan sepanjang hayat.
Di Britain, lebih 1.5 juta orang hidup dengan penyakit itu. Anderson menjalani pembedahan membuang tisu endometriosis pada Disember 2025.
Menurut Anderson, pembedahan itu membantunya, namun beliau masih menghadapi pelbagai cabaran akibat penyakit berkenaan.
Beliau turut menubuhkan inisiatif ‘Fast and Female’ bagi memberi pendidikan serta sokongan kepada kanak-kanak perempuan, selain membantu mereka terus aktif dalam sukan.
“Apabila gejala saya semakin teruk, saya dapat melihat kesannya pada kulit, sendi dan lutut. Saya juga mengalami masalah pada bahu akibat berenang kuak lentang.
“Banyak perkara yang perlu saya hadapi pada masa yang sama.” – Agensi berita