Pemain ski ‘Alpine’ pertama Singapura, Faiz Basha, berjaya meraih tempat pertama dalam acara slalom lelaki di satu perlumbaan antarabangsa di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), pada 3 November.

Pencapaian tersebut sekali gus mencatat apa yang disifatkan sebagai pencapaian podium pertama Singapura dalam sukan salji di peringkat antarabangsa.

Atlet berusia 24 tahun itu mencatat masa keseluruhan 53.84 saat menerusi tiga larian di Ski Dubai, yang terletak di pusat beli-belah Mall of the Emirates, untuk menewaskan Emir Lokmic dari Bosnia dan Herzegovina dengan kelebihan 0.40 saat.

Lokmic merupakan atlet yang pernah menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk sebanyak dua kali iaitu pada 2018 dan 2022.

Sementara itu, Achille Barthe dari Perancis pula menduduki tempat ketiga.

Kemenangan itu merupakan kejayaan sulung Faiz dalam pertandingan yang diiktiraf secara rasmi oleh Persekutuan Ski Antarabangsa (FIS).

Berkongsi kejayaannya ketika dihubungi Berita Harian (BH) selepas perlumbaan itu pada 3 November, Faiz berkata kemenangan tersebut merupakan satu pencapaian amat bermakna selepas beberapa musim menunjukkan prestasi yang membolehkannya melayakkan diri ke kejohanan besar.

Beliau berkata meskipun pernah beraksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Kejohanan Dunia, beliau belum pernah menamatkan sesuatu perlumbaan di atas podium sebelum ini.

“Perlumbaan di Dubai ini merupakan satu pertandingan di peringkat antarabangsa. Walaupun tidak sebesar Sukan Olimpik Musim Sejuk, ia tetap satu pertandingan antarabangsa dan tahap persaingan yang ingin saya capai, khususnya menjelang Sukan Asia yang menjadi sasaran utama saya.

“Jadi, kejayaan ini menunjukkan kemajuan yang telah saya capai. Bagi saya, ia bermakna saya semakin menunjukkan peningkatan. Kedudukan di podium sebenarnya merupakan hasil daripada peningkatan prestasi.

“Saya juga berjaya melakukan lebih baik berbanding tahun lalu (2025) dan ini merupakan permulaan baik bagi musim ini, lebih-lebih lagi dengan beberapa kejohanan besar yang bakal berlangsung,” ujar beliau yang pernah mewakili Singapura di Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026 di Italy pada Februari.

Pertandingan di Dubai itu, berlangsung dari 3 hingga 6 November, merangkumi beberapa perlumbaan yang masing-masing diberikan kedudukan dan mata ranking secara berasingan.

Setiap perlumbaan terdiri daripada tiga larian, dengan masa dicatatkan bagi setiap larian digabungkan untuk menentukan kedudukan akhir peserta.

Menurut Faiz, kemenangan itu turut lebih bermakna selepas beliau melalui pengalaman kurang meyakinkan di lokasi sama pada 2025, apabila keputusan terbaiknya ketika itu hanya di luar kelompok 10 peserta teratas.

“Tahun lepas, saya pernah menduduki tempat kedua dalam satu larian, tetapi tidak dapat mengekalkan kedudukan itu dalam larian-larian seterusnya,” katanya.

Meskipun berjaya meraih kemenangan, Faiz berpendapat masih terdapat ruang bagi beliau memperbaiki prestasinya.

“Saya rasa saya masih boleh meluncur dengan lebih pantas. Keyakinan itu sebahagiannya datang daripada kesedaran bahawa saya sengaja mengurangkan kelajuan sekitar 10 hingga 30 peratus untuk perlumbaan ini bagi memastikan saya tidak melakukan sebarang kesilapan.

“Kini, setelah berjaya meraih kemenangan pertama, saya boleh mula mengambil sedikit risiko dan menguji sejauh mana kemampuan sebenar saya,” ujarnya.

Setakat 4 November, beliau telah memenangi dua daripada tiga perlumbaan slalom yang disertainya, termasuk perlumbaan pada 3 November dan satu lagi perlumbaan pada 4 November.

Dalam perlumbaan terbaru itu, Faiz mencatat masa 59.24 saat untuk menewaskan Meng Qingze dari China, yang mencatat masa 59.59 saat, serta Lokmic yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan masa 59.92 saat.

Pemain ski ‘Alpine’ pertama Singapura, Faiz Basha (tengah), mengangkat tangan tanda meraikan kejayaannya selepas sekali lagi muncul juara dalam acara slalom lelaki di Ski Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), pada 4 November. Faiz mencatat masa 59.24 saat untuk menduduki tempat pertama, diikuti Meng Qingze dari China (kiri) di tempat kedua dengan masa 59.59 saat, manakala Emir Lokmic dari Bosnia dan Herzegovina menduduki tempat ketiga dengan masa 59.92 saat.
Pemain ski ‘Alpine’ pertama Singapura, Faiz Basha (tengah), mengangkat tangan tanda meraikan kejayaannya selepas sekali lagi muncul juara dalam acara slalom lelaki di Ski Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), pada 4 November. Faiz mencatat masa 59.24 saat untuk menduduki tempat pertama, diikuti Meng Qingze dari China (kiri) di tempat kedua dengan masa 59.59 saat, manakala Emir Lokmic dari Bosnia dan Herzegovina menduduki tempat ketiga dengan masa 59.92 saat. - Foto ihsan FAIZ BASHA

Beliau dijadual menyertai tiga lagi perlumbaan slalom di Dubai pada 5 dan 6 November sebelum beralih tumpuan kepada disiplin luar dewan seperti giant slalom dan super-G.