SPH Logo mobile
Langgan|

Fasa akhir penjualan tiket dibuka pada 1 April

Fasa akhir penjualan tiket dibuka pada 1 April

Fasa ‘saat akhir’ ini akan dibuka hingga tamat kejohanan dari 11 Jun hingga 19 Julai
Mar 26, 2026 | 2:42 PM

Fasa akhir penjualan tiket dibuka pada 1 April

Kira-kira tujuh juta tiket Piala Dunia dijangka dijual, berdasarkan keupayaan 16 stadium di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico.
Kira-kira tujuh juta tiket Piala Dunia dijangka dijual, berdasarkan keupayaan 16 stadium di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Fasa keempat dan terakhir penjualan tiket Piala Dunia 2026 akan dibuka pada 1 April, umum Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada 25 Mac, tanpa menyatakan jumlah tiket yang akan ditawarkan.

Fasa ‘saat akhir’ ini akan dibuka hingga tamat kejohanan dari 11 Jun hingga 19 Julai, menurut Fifa dalam satu kenyataan.

Tiket dijual secara ‘siapa cepat dia dapat’ dan “dikeluarkan secara berperingkat, termasuk pada sesetengah masa, bagi perlawanan berlangsung pada hari yang sama”.

Fasa saat akhir ini ialah fasa rasmi keempat dan terakhir penjualan tiket. Dalam fasa sebelumnya, menurut Fifa, lebih satu juta tiket telah dijual daripada lebih 500 juta permintaan.

Secara keseluruhan, kira-kira tujuh juta tiket dijangka dijual, berdasarkan keupayaan 16 stadium yang digunakan untuk kejohanan di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico.

Namun, Fifa menerima kritikan hebat berhubung harga tiket, dengan Football Supporters of Europe (FSE) memfailkan saman pada 24 Mac kepada Suruhanjaya Eropah berhubung “harga tiket yang berlebihan”.

Kumpulan itu mendakwa Fifa “menyalahgunakan monopoli untuk mengenakan harga tiket berlebihan serta syarat dan proses pembelian yang tidak telus dan tidak adil terhadap peminat Eropah menjelang Piala Dunia 2026”.

Fifa mempertahankan harga tiket, dengan presidennya Gianni Infantino menyatakan ia didorong oleh permintaan yang “luar biasa”.

Di bawah tekanan, Fifa mewujudkan kategori tiket berharga AS$60 ($77) yang dikhaskan untuk kelab penyokong rasmi.

Menurut FSE, kategori ini hampir laris sebelum jualan dibuka kepada orang ramai.

Fifa turut mengumumkan pada 25 Mac mereka akan membuka semula platform rasmi untuk penjualan semula dan pertukaran tiket pada 2 April.

Platform itu turut dikritik kerana harga jualan semula yang melambung, namun Fifa berkata ia tidak campur tangan dalam “pasaran antara peminat”, di mana penjual menetapkan harga tiket. – AFP.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg