ZURICH (Switzerland): Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) telah membuka prosiding tatatertib terhadap Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dan beberapa pemainnya atas pelbagai dakwaan pelanggaran pada Piala Dunia, termasuk tindakan mengangkat sepanduk yang menuntut kedaulatan Argentina ke atas Kepulauan Falkland.

Selepas kemenangan Argentina ke atas England pada peringkat separuh akhir di Atlanta, beberapa pemain mengangkat sepanduk bertulis “Las Malvinas Son Argentinas” (“Kepulauan Falkland adalah milik Argentina”).

Fifa berkata penggunaan acara sukan untuk tujuan bukan sukan mungkin melanggar kod tatatertib Fifa.

Pada 2014, Fifa mendenda Argentina sebanyak 20,000 paun ($34,438) kerana mengangkat sepanduk serupa sebelum satu perlawanan persahabatan menentang Slovenia.

Antara dakwaan pelanggaran lain pada Piala Dunia ialah laungan dan isyarat berunsur diskriminasi, sepak mula yang lewat, kegagalan mematuhi protokol keselamatan, mesej yang tidak sesuai daripada pasukan dan penonton, serta tindakan penyokong membaling objek dalam beberapa perlawanan sepanjang kejohanan itu.

Sementara itu, prosiding tatatertib turut dibuka terhadap beberapa pemain selepas perlawanan akhir di New Jersey yang menyaksikan Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 selepas masa tambahan.

Pergaduhan singkat tercetus sebaik wisel penamat dibunyikan apabila pemain tengah Argentina, Leandro Paredes, menolak pemain tengah Sepanyol, Pablo Martín Páez Gavira (Gavi), sehingga terjatuh ketika pemain-pemain simpanan Sepanyol meluru ke padang bagi meraikan kemenangan.

Paredes berdepan tiga pertuduhan melakukan serangan, manakala pemain pertahanan kanan Argentina, Nahuel Molina, dikenakan dua pertuduhan. Molina, penyerang Argentina, Thiago Almada, pegawai Argentina, Roberto Ayala, serta pemain Sepanyol, Gavi, masing-masing dikenakan satu pertuduhan atas kelakuan tidak bersemangat sukan.

“Selaras dengan Kod Tatatertib Fifa, pihak yang berkenaan kini telah diberi peluang untuk mengemukakan pendirian masing-masing sebelum Jawatankuasa Tatatertib Fifa mengeluarkan keputusan pada masa yang sewajarnya,” kata Fifa. – Agensi berita.